December 7, 2009

Akhirnya Nik Aziz Berdoa Juga Untuk Kemusnahan Najib


Akhirnya
Nik Aziz Berdoa Juga
Untuk Kemusnahan Najib



GOMBAK, 6 Dis (Harakahdaily): Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan. Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz

"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."

"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."

Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu. Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman. Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.

Ulasan Saya :

Kalau begitu Doa Nik Aziz, maka kami ahli-ahli UMNO juga akan berdoa, doanya seperti ini, "Ya Allah kami ahli-ahli UMNO sering dituduh sesat dan jahat oleh PAS dalam ceramah-ceramah politik mereka, maka Engkau berikanlah kesedaran kepada mereka agar mereka kembali kepanggal jalan serta menerima ajak UMNO untuk mewujudkan kerajaan Perpaduan antara PAS dengan UMNO. Kami juga sering dituduh sebagai menolak Agama-Mu, dan menzalimi rakyat Kelantan, maka Engkau tunjukkanlah kepada Nik Aziz, sesungguhnya kami sama sekali tidak menzalimi sesiapa pun. Ya Allah, Engkau berikanlah kesedaran kepada Nik Aziz dan pemimpim-pemimpin PAS yang lain. Amin"

December 5, 2009

UMNO Juara Rakyat


UMNO
Juara Rakyat


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu kaedah pemutihan ahli parti akan diperkenalkan supaya senarai ahli yang ada di setiap bahagian adalah mengikut daftar yang terkini. Beliau berkata, ini perlu dilakukan disebabkan mengikut pindaan perlembagaan parti yang dilakukan baru-baru ini, tidak akan ada lagi kutipan yuran tahunan ahli.

''Oleh itu adalah penting untuk memastikan kesahihan senarai ahli UMNO dengan pihak ibu pejabat akan berhubung dengan semua bahagian untuk menerangkan kaedah pemutihan itu.

''Selain itu Pendaftar Pertubuhan telah luluskan pindaan Perlembagaan UMNO yang dilakukan baru-baru ini dan berkuat kuasa 10 November lalu," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan yang mesyuarat MT malam ini meluluskan program UMNO untuk tahun depan yang bertemakan 'UMNO Juara Rakyat'. Menurutnya, walaupun demikian, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di peringkat bahagian akan diajak bersama bagi menjayakan program ini.

''Program-program ini meliputi pelbagai jenis aktiviti antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, bidang sosial dan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Di samping itu pelbagai jenis lagi program yang telah pun kita tentukan yang mana garis panduannya diluluskan MT. Program ini akan kita jalankan mulai Januari tahun depan dan merupakan program berterusan," jelasnya.


Ulasan Saya :

1. Saya setuju dengan slogan UMNO Juara Rakyat.

2. Saya setuju kerana UMNO sudah lama tidak bermain dengan retorik seperti Anwar Ibrahim dan Nik Aziz. Anwar cukup terkenal dengan slogan-slogan kosong yang hanya mengaburi mata rakyat.

3. Kita lihat pada hari ini rakyat mahukan slogan yang manis-manis seperti mana yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat - walaupun banyak slogan yang berbohong tetapi rakyat tetap percaya. Jadi, UMNO juga harus bermain dengan retorik bahasa di samping kita ada kuasa untuk melaksanakannya.

4. Mana-mana cadangan yang baik dari Pakatan Rakyat kita akan ikut secara berhikmah, biar mereka putih mata.

5. Untuk menjadi Juara Rakyat kita harus faham ianya bukan bermaksud apa-apa sahaja yang rakyat pinta kerajaan harus penuhi, yang dimaksudkan dengan menjadi Juara Rakyat adalah merujuk kepada ketegasan kerajaan terhadap perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat kepentingan negara dan masyarakat. Jika kita berjaya melakukannya - InsyaAllah rakyat akan menghormati kerajaan dan menyokongnya kembali. Wallahualam.

December 4, 2009

Tafsir Al-Azli (2) : Bangkangan : PAS Tidak Ikut Cara Islam?


Tafsir Al-Azli (2)
Bangkangan : PAS Tidak Ikut Cara Islam?


Pada umumnya terdapat dua jenis bangkangan dalam Islam. Pertama disebut sebagai bangkangan yang dibenarkan atau dipanggil sebagai masyru’ah. Kedua disebut sebagai bangkangan yang tidak dibenarkan atau dikenali sebagai ghairu masyru’ah. Bangkangan jenis pertama adalah merujuk kepada bangkangan yang tidak menyimpang daripada ajaran Islam,baik dengan tujuan mahu pun caranya. Bangkangan jenis ini boleh dilihat dalam sejarah bangkangan pada zaman Rasulullah dan Khulafar ar Rasyidin.


Para sahabat pada masa itu, sentiasa memastikan bangkangan yang mereka lakukan tidak melampau batas-batas agama serta menyalahi Sunah rasulnya. Bangkangan jenis pertama saya kira tidak perlu dibincangkan secara panjang lebar, hal ini adalah kerana yang menjadi permasalahannya di sini adalah berkenaan kekeliruan dalam kalangan orang ramai berkenaan bangkangan jenis ghairu masyru’ah. Perkara ini bertitik tolak daripada terdapatnya dalam kalangan umat Islam yang meyakini bahawa unsur-unsur cacian, makian dan membuka aib orang lain, merupakan salah satu kaedah bangkangan yang diizinkan oleh Islam.


Terdapat segelintir masyarakat yang jahil pula mempercayai bahawa, Malaysia yang mengamalkan sistem politik demokrasi mengizinkan parti pembangkang untuk membangkang apa-apa sahaja yang dilakukan oleh parti pemerintah, tidak mengira betul atau pun salah, golongan ini akan terus-menerus membangkang pihak kerajaan. Malah, atas nama parti pembangkang, golongan ini seolah-olah menghalalkan apa-apa sahaja kaedah bangkangan termasuklah menyelitkan unsur-unsur cacian, makian dan sumpah-seranah kepada para pemimpin kerajaan. Fahaman sebegini merupakan fahaman yang jauh terpesong daripada ajaran Islam, bahkan menghampiri tatacara puak Syiah dan Khawarij yang sanggup mengkafirkan para sahabat serta kaum muslimin.


Berkenaan hal ini, Dr. Jabir Qumaihah di dalam bukunya berjudul, Bangkangan Dalam Islam menyatakan, “Bangkangan yang tidak dibolehkan adalah bangkangan untuk kepentingan peribadi yang mengabaikan kepentingan umum dan tidak mengendahkan nilai-nilai ajaran Islam. Pembangkangan jenis ini banyak dilakukan oleh orang-orang munafik, seperti bangkangan orang murtad terhadap Abu Bakar. Pembangkangan juga terjadi pada zaman Uthman yang berakhir dengan kematian khalifah ketiga itu. Selain itu, bangkangan yang tegas dilarang adalah bangkangan kaum Khawarij terhadap Khalifah Ali bin Abi Thalib, kerana bangkangan jenis ini menyebabkan mereka keluar daripada jamaah Islam.”


Jelaslah bahawa bangkangan yang tidak dibenarkan oleh Islam adalah bangkangan yang boleh mencetuskan fitnah serta menimbulkan pemberontakan di dalam sesebuah negeri, umpamanya bangkangan yang dilakukan oleh Muhammad bin Mudzalifah terhadap kepimpinan Saidina Uthman. Beliau tidak hanya membangkang dan mengkritik dasar-dasar pentadbiran khalifah tersebut, bahkan bagi mempertajamkan lagi bangkangannya itu, beliau telah menulis sebuah buku dengan menggunakan nama isteri-isteri Rasulullah untuk memfitnah Saidina Uthman. Akhirnya, fitnah al-Kubra ini menjadi semakin kronik apabila orang ramai mula membanjiri jalan-jalan raya bagi menunjukkan protes dan demonstrasi terhadap Khalifah Rasullah itu. Fitnah ini berterus sehinggalah Khalifah Uthman dibunuh dengan kejam.


Bangkangan seperti ini bukanlah daripada ajaran Islam kerana terbukti ia hanya menimbulkan kerosakan dan perpecahan dalam kalangan kaum muslimin. Allah telah mengingatkan kita berkenaan persoalan ini di dalam surah az-Zukhuruf ayat 43, yang bermaksud, “Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu, melainkan kerana membantah semata-mata (bukan mencari kebenaran) bahkan mereka itu adalah kaum yang suka mengemukakan bantahan.”


Bangkangan yang terbaik adalah bangkangan yang berdasarkan keikhlasan serta menjauhi sebarang unsur-unsur fitnah yang mampu merosakkan masyarakat dan negara. Selain itu, bangkangan yang baik juga haruslah berteraskan kepada amar ma’ruf nahi mungkar, dan bukan kerana mempunyai niat serta tujuan tertentu. Islam membenarkan bangkangan yang yang mampu meningkatkan taraf hidup, sahsiah dan kesatuan umat Islam. Lantaran itu, Islam sama sekali tidak berkompromi dengan kaedah bangkangan yang boleh memecah-belahkan kesatuan umat Islam, seperti mana firman Allah yang bermaksud, “Telah mensyariatkan Allah bagi kamu perkara-perkara agama sebagaimana yang telah Dia perintahkan kepada nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahikan kepadamu (wahai Nuh) dan juga yang telah kami perintahkan kepada nabi Ibrahim dan nabi Isa, iaitu tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisih padanya.” (as-Shura ayat 13).


Oleh yang demikian, seharusnya umat Islam tidak terpengaruh dengan bangkangan yang bercampur-baur dengan maksiat, seperti melakukan demonstrasi atau tunjuk perasaan di jalan-jalan raya yang tidak hanya menyusahkan orang ramai, bahkan mampu merosakkan harta benda awam dan ekonomi sesebuah negara. Justeru itu, al-Quran banyak menyarankan kepada kita, agar menggunakan akal dan fikiran sebelum melakukan bangkangan. Hal ini adalah jelas, agar bangkangan yang kita lakukan itu berteraskan kepada lunas-lunas syariat serta melalui pertimbangan yang waras. Yang lebih penting lagi, bangkangan yang mengikut syariat Islam adalah bangkangan yang dilakukan secara berhikmah dan bukan secara membuta-tuli.


Menurut Dr. Jabir Qumaihah lagi, bangkangan yang menurut Islam adalah berorentasikan kepada kepentingan umat, efektif, menumpaskan kemungkaran, di samping mendidik masyarat agar bersikap berterus-terang, jujur dan berprinsip. Menurut beliau, terdapat dua prinsip utama dalam tatacara menyampaikan bangkangan, iaitu pertama bangkangan mestilah bermatlamatkan amar ma’ruf nahi mungkar, seperti mana firman-firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 104, 110 dan surah al-Taubah ayat 71.


Kedua, bangkangan mestilah dilakukan secara berhikmah seperti mengadakan mesyuarat. Baik mesyuarat yang bersifat khusus seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika meminta pendapat sebahagian daripada para sahabatnya berkenaan masalah Aisyah yang telah difitnah, mahupun mesyuarat yang bersifat umum dalam membicarakan soal peperangan, ekonomi dan politik, seperti mana perintah Allah yang berbunyi, “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan soal-soal keduniaan itu. Kemudian, apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah.” (Ali Imran 159).


Bermesyuarat merupakan Sunah dan amalan para sahabat besar pada zaman Rasulullah, seperti mana kenyataan Abu Hurairah, “Aku tidak pernah melihat orang yang selalu bermesyuarat dibandingkan para sahabat.” Kaedah sebegini merupakan cara yang terbaik untuk kaum muslimin mengemukakan pandangan, bangkangan serta pendapat-pendapat mereka, umpamanya mesyuarat Rasulullah dengan para sahabat dalam perang Uhud, sama ada pasukan muslimin bertahan di dalam Kota Madinah atau melakukan serangan gerila di luar kota, akhirnya ternyata Rasulullah mengikut suara ramai. Begitu juga halnya dengan mesyuarat yang dilakukan oleh para sahabat di Saqifah bani Sa’idah untuk melantik khalifah, walaupun berlaku perdebatan yang sengit, namun demikian, akhirnya Abu Bakar berjaya mententeramkan keadaan, sekali gus dilantik menjadi khalifah yang pertama.


Bangkangan yang terbaik adalah bangkangan yang dilakukan secara bermusyawarah dan bukan dilakukan secara kurang ajar di pentas-pentas ceramah umum yang bercampur-baur dengan kata-kata nista dan cacian yang mengaibkan golongan tertentu. Tatacara begini sama sekali membelakangkan Sunah Rasulullah yang mulia. Malah, Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya termasuk riba yang paling parah ialah membicarakan kehormatan orang muslim tanpa alasan yang benar.” ( Riwayat Abu Dawud).


Bangkangan yang bercampur-baur dengan kata-kata kotor dan menghina sesame kaum muslimin, merupakan bangkangan yang amat jelas menyimpang daripada roh Islam. Bangkangan seumpama ini merupakan bangkangan yang dilakukan oleh golongan yang mempunyai kepentingan tertentu, malah lebih gemar melihat umat Islam terus keliru dan semakin jauh daripada persaudaraan dan ukhwah Islamiyyah. Ingatan Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 31-32 harus kita renungi, “Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing, serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa-apa yang ada padanya.”


Jelaslah bahawa golongan yang memasukkan celaan dan kata-kata kesat dalam bangkangannya merupakan golongan yang mahu melihat umat Islam terus berpecah-belah, di samping membawa budaya fitnah dalam masyarat. Bangkangan jenis ini adalah bangkangan ghairu masyru’ah. Kembali kita soal pokok, umat Islam, khususnya di negara ini harus lebih berhati-hati, kita sewajarnya tidak mudah terpengaruh dengan budaya bangkangan yang bersifat ala-Khawarij ini. Sesungguhnya, umat Islam pada hari ini perlu mengukuhkan ikatan persaudaraan mereka demi menghindari daripada terus ditekan oleh musuh Islam itu sendiri.

December 3, 2009

Menjawab Kenyataan Nik Aziz


Menjawab Kenyataan Nik Aziz

KOTA BHARU, 3 Dis (Harakahdaily): Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan manipulasi yang dimainkan media punca ramai keliru isu doa yang disebutnya sebelum ini. “Saya sendiri tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, dalam doa tu saya sebut dua perkara, meminta Allah perbetulkan pemikiran Perdana Menteri serta menteri-menterinya supaya membayar royalti kepada Kelantan.

“Dan sekiranya Perdana Menteri masih enggan menyerah royalti kepada kerajaan negeri barulah saya mendoakan sesuatu yang tidak baik, itu kaedah biasa,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini. Semalam segelintir penyokong Umno yang berselindung di sebalik Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan mengadakan perhimpunan di depan Kota Darulnaim bagi mendesak Menteri Besar supaya meletak jawatan.

Sebelum itu, akhbar melaporkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mendoakan supaya dimusnahkan masa depan politik pemimpin Umno sekiranya enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan. Oleh itu Menteri Besar hari ini melahirkan rasa dukacita kerana doa yang disebut sebelum ini tidak ditulis secara betul sehingga menyebabkan ramai tidak faham.

“Sekiranya ingin mengulas tentang doa, ia harus diambil isi doa tersebut secara keseluruhan iaitu meminta kepada Allah supaya memperbetulkan jalan berfikir Perdana Menteri agar menerima Islam yang syamil (menyeluruh),” katanya. Malah kata beliau mana mungkin seseorang yang dikhianati mengambil sikap berdiam diri tanpa dilakukan sebarang tindakan.

Beliau menjelaskan Islam tidak pernah melarang umatnya mendoakan sesuatu yang buruk terhadap musuh atau atau kepada mereka yang berniat jahat.

“Jika kita rajin membaca sejarah doa-doa yang dilakukan para Nabi, kita tentu akan berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa dan Nabi Muhammad saw yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

“Saya juga merasa hairan kenapa sesuatu yang tidak baik sahaja digambarkan, yang elok tidak diperbesarkan,” ujarnya. Katanya juga memandangkan Perdana Menteri agak terasa apabila berdoa menyebut namanya maka tidak perlu disebut sewaktu berdoa beramai-ramai kecuali secara individu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menempelak demontrasi yang mendesaknya melepaskan jawatan. Kata beliau Umno Pasir Mas menggunakan topeng Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan untuk berselindung di sebalik perhimpunan tersebut.

“Ini lagi peliklah, kenapa dah malu ke nak menggunakan nama Umno sehingga terpaksa berselindung di sebalik nama lain pula.

“Malah CD yang disebutkan ada bersama memorandum tersebut untuk dijadikan bahan tidak pula disertakan.

“Biar pun tidak membaca kesemua kandungan bantahan itu, saya sudah dapat menyukat betapa tidak terurusnya sebuah rancangan yang kononnya mahu menggugat sebuah kerajaan,” katanya. Menurut beliau juga isu membabitkan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman di Perbandanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan haji sudah selesai. Katanya juga mustahil baginya meletak jawatan semata-mata mengikut kerenah beberapa orang ‘budak nakal’ yang berhimpun semalam.


Ulasan Saya : Saya cuma ingin menjawab dua perkara sahaja berhubung laporan Harakahdaily di atas, iaitu :

1. Saya setuju nabi Muhammad memang pernah mendoakan bala untuk musuh-musuh Islam, tetapi DS Najib bukan musuh Islam - sebaliknya DS Najib orang beriman! DS Najib hanya bermusuh dengan PAS dan bukan dengan Agama Islam yang syumul ini. Minda Nik Aziz harus diperbetulkan - PAS bukan Islam dan Islam bukannya PAS. Terlalu banyak bezanya. Tiada maknanya melaungkan Islam! Islam! Islam! tetapi ahli-ahli PAS masih mengamalkan perbuatan jahiliah yakni mengumpat, memfitnah dan membuka aib kepimpinan negara. Jadi, Nik Aziz harus selesaikan dahulu sikap dan perangai ahli-ahli PAS, agar mereka dahulu mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

2. Isu Royalti - Kerajaan mempunyai alasan yang kukuh mengapa Kelantan tidak mendapat royalti. Lagi pun kerajaan akan memberi wang saguh hati yang disalurkan terus kepada rakyat Kelantan dan bukan kepada PAS. Nik Aziz harus faham ada beza antara rakyat Kelantan dengan ahli PAS. Tidak semua rakyat Kelantan adalah ahli PAS. Kerajaan hanya mahu membantu rakyat Kelantan sahaja dan bukan kepada Kerajaan PAS. Ini bukan zalim namanya. Kita harus faham, berpuluh-puluh tahun lamanya, kerja sebahagian besar pemimpin PAS adalah memaki hamun, mengkafir serta mengaibkan kepimpinan negara dan UMNO - jadi PAS zalim terhadap kerajaan Malaysia dan kepimpinan negara yang dipilih oleh rakyat - maka organisasi yang zalim seperti PAS, seharusnya diberi sedikit pengajaran agar dan hukuman - agar selepas ini parti tersebut taidak dengan mudah memburuk-burukkan kerajaan, walau pun kerajaan di bawah pimpinan DS Najib bertambah baik. Pada saya Kerajaan Pusat tidak menzalimi rakyat Kelantan, sebaliknya Kerajaan Pusat mahu PAS Kelantan sedar bahawa perbuatan zalimnya yang selama ini suka membuka aib dan memfitnah kononnya UMNO menolak Islam - harus diberi sedikit pengajaran dan hukuman. wallahualam.

Doa Laknat Untuk PAS dan Nik Aziz?


DOA LAKNAT
UNTUK PAS DAN NIK AZIZ?


KOTA BHARU 2 Dis. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ambil peduli desakan supaya beliau meletakkan jawatan daripada orang UMNO yang dianggapnya ‘budak-budak nakal’. Beliau juga menegaskan tidak perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ‘doa kemusnahan’ terhadap pemimpin negara itu.

Malah Mursyidul Am Pas itu mencadangkan kepada orang ramai supaya terus berdoa beramai-ramai tanpa menyebut nama Najib kononnya bagi menjaga hati Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya kepada media berhubung perhimpunan aman oleh ratusan orang semalam yang menunjukkan bantahan terhadap tindak-tanduknya, beliau berkata:

“Mustahil saya perlu akur (letak jawatan) semata-mata kerana digesa oleh 200 ‘budak-budak nakal’, bawah pohon jati di pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Jika sebab desakan UMNO, sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa jadi ketua pembangkang negeri, sebaliknya dia pula yang ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.” Di samping itu, beliau mempersoalkan mengapa harus tunduk kepada suara kumpulan itu yang jumlahnya begitu kecil agar meminta maaf kepada Najib yang juga Presiden UMNO.

“Sedangkan Presiden UMNO selaku orang nombor satu tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik,” ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengulas mengenai perhimpunan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) semalam. Mereka berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini bagi menunjukkan rasa tidak senang hati terhadap kemelut dalam kepimpinan negeri dan memintanya melepaskan jawatan.

Kumpulan tersebut menyerahkan memorandum dua muka surat kepada Nik Abdul Aziz yang memintanya melepaskan jawatan, menarik balik ‘doa kemusnahan’ dan meminta maaf secara terbuka kepada Najib. Nik Abdul Aziz sebaliknya bersyukur kerana perhimpunan semalam seolah-olah sebagai tanda kejayaannya mengkucar-kacirkan UMNO.

“Secara logiknya semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Pas. Jika UMNO yang mendesak saya, maka saya sewajarnya bersyukurlah bahkan berbangga kerana sudah dikira berjaya mengkucar-kacirkan mereka.

“Mereka sudah keluh kesah. Jika saya terus dilarang untuk memohon kemusnahan UMNO secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersendirian.

“Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah menurunkan kemusnahan termasuklah pemimpin UMNO yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu daripada melalui kerajaan negeri,” tambahnya. Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini, beliau bertegas dengan pendiriannya membenarkan rakyat negeri ini mendoakan agar diturunkan bala terhadap Perdana Menteri. Bagaimanapun, katanya, doa itu biarlah dibuat secara individu bukan dilafazkan secara umum atau beramai-ramai.

Jelasnya, rakyat tidak perlu menyebut nama Najib ketika melafazkan doa tersebut secara beramai-ramai dan hanya melakukannya secara peribadi untuk menjaga perasaan pemimpin nombor satu kerajaan itu.

“Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa maka saya minta tak payah sebut nama Yang Berhormat beramai-ramai cuma boleh sebut dalam doa bersendirian,” katanya.


Ulasan Saya : Nik Aziz seperti bangga dengan sikap egonya bagi mempertahankan tindakan berdoa laknat untuk Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini. Malah, beliau seolah-olah tidak sedikit pun berasa dosa atas perbuatannya yang jelas berkiap zalim terhadap kepimpinan negara di samping tidak mahu mendengar nasihat ulama lain seperti Mufti Perak yang jelas mengecam tindakan beliau itu. Jika kita meneliti mazhab Nik Aziz yang menghalalkan perbuatan melaknat sesama kaum muslimin beralaskan alasan jika seseorang muslim itu berlaku zalim, maka kita dibolehkan berdoa laknat kepada individu tersebut - maka pada pandangan saya, sikap Nik Aziz dan PAS ini sudah boleh dikira sebagai zalim terhadap UMNO, pemimpin-pemimpin negara dan kerajaan Malaysia. Hakikatnya, PAS dan Nik Aziz juga melakukan kezaliman terhadap kerajaan dan pemimpin-pemimpin negara. Dosa-dosa mereka yang jelas adalah seperti berikut :

1. PAS bersengkongkol dengan DAP yang jelas tidak mahukan Islam bagi menjatuhkan orang Islam itu sendiri : JADI PAS DIKIRA ZALIM

2. PAS dan pemimpim ulamanya tidak pernah menegur para penceramahnya yang suka memfitnah, mencaci, memaki dan membuka aib kepimpinan negara, dan pada masa yang sama PAS tidak mahu taat kepada pemerintah, sedangkan Islam mengharamkan umatnya memaki hamun terhadap orang Islam lain : MAKA PAS DIKIRA ZALIM

3. Nik Aziz dalam kenyataannya sebelum ini telah melebelkan UMNO itu sesat, sedangkan ulama-ulama muktabar dunia termasuk para mufti di Malaysia tidak pernah menghukum UMNO sebagai sesat : MAKA PAS DIKIRA ZALIM

4. PAS berbohong kepada rakyat kononnya mahu menegak negara Islam, tetapi pada masa yang sama PAS mengaku kepada DAP bahawa parti tersebut tidak berniat untuk menegakkan negara dan hukum Islam : MAKA PAS DIKIRA ZALIM

5. PAS tidak mahu mewujudkan negara perpaduan - walau pun cadangan tersebut datangnya daripada PAS sendiri. Malah soal perpaduan adalah wajid seperti mana yang dituntut oleh Islam : MAKA PAS DIKIRA ZALIM


Maka lima perkara ini sudah cukup menunjukkan PAS adalah parti yang zalim. Dan jika menurut fahaman Nik Aziz yang songsang seperti mana di atas tadi, maka kita dibenarkan/diizinkan untuk mengucapkan doa laknat kepada sesiapa sahaja yang dikira zalim. - walaupun seseorang itu mukmin dan beriman kepada Allah. Maka oleh yang demikian, saya menyeru semua ahli UMNO agar segera mengadakan sembahyang hajat dan mendoakan pula dengan doa laknat kepada parti PAS - yang jelas mempergunakan Islam untuk mendapatkan keuntungan dunia. Malah, saya juga berpandangan bahawa "tiada salahnya jika ahli UMNO dan DS Najib pula yang melakukan doa laknat terhadap Nik Aziz dan PAS" kerana sudah terbukti Nik Aziz dan PAS telah berlaku zalim atas nama Islam! Dan kali ini biar laknat Allah kembali kepada mereka semula. Wallahualam.

December 2, 2009

Ini Untuk PAS!

Antara dakwah, politik Pas

(Artikel ini saya petik dari Utusan hari ini. Sangat menarik dan berguna untuk kita fikir-fikirkan)


IDENTIFIKASI kumpulan dakwah dengan aliran pemikiran tertentu menjadi salah satu ciri utama gerakan dakwah di negara kita. Setiap kumpulan dakwah meyakini bahawa uslub dakwahnya lebih awla (utama) dan lebih asalah (tulen) dari jemaah lain. Ketaksuban pemikiran jemaah seperti inilah sering membawa kepada lahirnya pandangan bersifat ekstrem sehingga memperlekehkan jemaah lain. Malah ada yang sanggup mengkafirkan individu atau jemaah lain.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya perpecahan, persengketaan, benci-membenci, permusuhan dan terungkainya perpaduan di kalangan umat Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu bersengketa maka kamu akan gagal (lemah) dan hilang kehebatan kamu." (al-Anfal:46).

Paling mengelirukan ialah apabila wujud gerakan Islam yang bersifat politik tetapi dalam masa yang sama meletakkan dirinya sebagai organisasi dakwah. Demikianlah Pas yang mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi bergerak dan berdaftar sebagai pertubuhan politik. Gerakan Islam seperti ini melihat 'kuasa politik' sebagai matlamat untuk menegakkan Islam.

Pas mendakwa perjuangannya adalah menentang kezaliman penguasa (kerajaan). Justeru, UMNO yang dilihat sebagai saingan politik dianggap musuh yang perlu dihadapi sebagai satu jihad.

Anggapannya, UMNO adalah jemaah (parti) taghut semata-mata kerana perjuangan UMNO berasaskan nasionalisme. Perjuangan UMNO juga dituduh bersifat sekular.

UMNO sering dikaitkan dengan kekufuran sehingga Mursyidul Am Pas pernah menyatakan perjuangan yang dibawa UMNO tidak melayakkan ahli-ahlinya masuk syurga.

Pas meletakkan dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam tulen mengikut al-Quran dan Hadis. Kerana pegangan itulah maka Pas pernah mengeluarkan fatwa bahawa haram bekerjasama dan bersekutu dengan parti yang tidak mendukung Islam.

Peliknya, sejak Pilihan Raya Umum ke-12, keadaan sudah terbalik. Pas bukan sahaja bersekutu tetapi mempertahankan DAP sepenuh jiwa dan raga. Mungkin inikah ijtihad baru Pas, atau mungkin juga jihad terbaru yang di bawa Pas?

Hari ini, ramai ahli Pas yang terpukau dengan retorik Lee Guan Eng yang kononnya mahu mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Memang tidak salah mencontohi khalifah Islam yang mulia itu tetapi kepalsuan Guan Eng tersingkap apabila beliau pernah menyatakan bahawa menegakkan negara Islam dan undang-undang hudud bukannya matlamat perjuangan pakatan pembangkang dan ia tiada dalam manifesto pakatan pembangkang.

Kenyataan yang sama juga pernah disebut oleh bapanya, Lim Kit Siang. Ini bermakna Pas bersetuju dengan manifesto tersebut yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai perjuangan pakatan itu. Adakah pentadbiran Umar Abdul Aziz sedemikian sifatnya? Khalifah Umar adalah khalifah yang tinggi kewarakan dan ketakwaan serta sangat ikhlas dan telus dalam melaksanakan hukum dan keadilan sosial Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Sighn juga kekal dengan pendiriannya menolak pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam. Karpal pernah mencabar Pas supaya melangkah mayatnya dulu jika mahu melaksanakan agenda menegakkan hukum hudud dan negara Islam yang dicita-citakan Pas. Keangkuhan Karpal terbukti lagi apabila pernah dalam perbahasan di Parlimen beliau mengeluarkan ungkapan "Singh is King". Apa yang tersirat dari ungkapan Karpal itu ialah mencabar politik Melayu-Islam.

Perlu diingat bahawa di antara tujuan politik Melayu di negara ini adalah mempertahankan Islam. Sama ada Pas atau UMNO, kedua-duanya mempunyai cita-cita untuk memelihara agama Islam di negara ini. Dalam hal ini UMNO lebih berupaya merealisasikan hasrat itu. Pas tidak pernah mahu mengakui bahawa UMNO adalah parti yang banyak berjasa dalam menegakkan syiar dan pembangunan umat Islam di negara ini. Sesiapa pun boleh membuat penyelidikan tentang fakta ini. Ia adalah hakikat dan Pas tidak mampu menafikannya.

Benarkah kerajaan yang ditentang Pas itu zalim? Bagi penulis, ia adalah persepsi politik Pas semata-mata. Dalam politik hari ini, pendekatan persepsi adalah pendekatan berkesan mempermain dan mempengaruhi emosi dan minda rakyat.

Kekuatan pembangkang ialah bermain dengan persepsi, bukannya fakta. Ia bukanlah satu pendekatan dakwah yang bijak kerana persepsi politik biasanya tidak bersifat benar, apatah lagi kalau ia cuba dikaitkan dengan kedudukan akidah orang lain.

Hari ini Pas lebih banyak berpolitik daripada berdakwah. Oleh kerana terlalu banyak berpolitik banyak perkara aneh muncul dari Pas. Terbaru ialah tindakan Mursyidul Am Pas "berdoa laknat" untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO. Jika benar Pas mengutamakan kerja dakwah maka tidak sepatutnya perkara ini menjadi amalan Pas. Apa yang dilakukan Pas itu boleh mencemarkan imej Islam bahkan boleh menjerumuskan Islam kepada fitnah.

Sebagai sebuah parti yang mendakwa melaksanakan aktiviti amal Islam serta bercita-cita meninggikan kalimah Allah SWT maka Pas sepatutnya kaya dengan prinsip Islami, adab dan akhlak berasaskan wahyu dan sunah.

Dalam konteks ini, berakhlakkah apabila mendoakan perkara-perkara buruk untuk orang lain? Berprinsipkah apabila menolak usaha perpaduan dengan UMNO yang boleh memperkukuhkan lagi kekuatan ummah di negara ini. Bukankah seruan perpaduan ummah itu adalah prinsip asas yang ditekankan Islam?

Berakhlak dan beradabkah Pas apabila membiarkan beberapa pemimpin bukan Islam yang bersekutu dengannya menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik mereka? Pas sepatutnya tahu tentang keutamaan dalam berdakwah yang jauh lebih besar dari berpolitik. Prinsip dakwah Islami mesti diutamakan dan perpaduan ummah sepatutnya dilihat jauh lebih penting dari memburu kuasa.

Penulis pasti Nik Aziz arif tentang perkara ini tetapi kerana terlalu berpolitik, maka Mursyidul Am Pas itu seolah-olah menjadi seorang ulama yang keliru dalam persoalan mengenai "kuasa politik" dan tanggungjawab mengutamakan "prinsip asas Islam". Lantaran politik dendam maka terkeluarlah pelbagai ucapan dan fatwa yang mengelirukan umat sehingga Islam dilihat sebagai ajaran yang 'aneh'.

Pas seharusnya mengutamakan tanggungjawab dakwah, khusus dalam memimpin fikrah, peribadi dan spiritual masyarakat. Ingatlah bahawa keindahan dan kehebatan dakwah itu tidak terbentuk melalui 'doa laknat' dan perpecahan umat. Seorang pendakwah sepatutnya sentiasa berdoa dengan penuh kesabaran melalui doa-doa yang baik untuk sasaran dakwahnya.

Apa yang berlaku hari ini ialah keghairahan berpolitik Pas tidak banyak membantu tanggungjawab asas itu. Malah dalam kebanyakan hal, cara berpolitik Pas banyak menanamkan bibit-bibit kebencian dan 'kekasaran sahsiah' pengikutnya, bukan personaliti yang budiman.

Hari ini terbukti bahawa kebanyakan pemimpin Pas semakin menjadi keliru dengan perjuangan Pas sebenarnya. Oleh kerana itulah wujud pelbagai masalah dalaman Pas yang semakin membelit kepemimpinan parti itu. Sebagai seorang Muslim saya doakan moga Pas kembali kepada 'fitrah dakwah' yang sebenarnya, bukan hanyut dengan 'ngauman politik' yang terlalu bernafsu memburu kuasa.


PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Awam. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

December 1, 2009

Di Sini Tiada Lagi Nik Aziz!


Di Sini Tiada Lagi Nik Aziz


KOTA BHARU 30 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri yang semakin menyimpang jauh apabila kepimpinannya mula dipertikaikan umum. Sehubungan itu Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menggesa agar Mursyidul Am Pas itu tidak terus mempertahankan jawatannya supaya maruah dan harga dirinya terus terpelihara.

''Nik Abdul Aziz perlu segera melepaskan jawatan agar tidak merugikan lagi agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, biar pun dirinya mula menjadi sasaran cemuhan dan diperlekehkan, namun menjadi kewajipannya untuk bersama-sama membetulkan keadaan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz makin menyimpang.

''Biarpun saya dianggap tidak mempunyai tauliah dan cetek tentang perkembangan semasa, saya tetap terdedah kepada perkhabaran yang sesetengahnya sudah cukup jelas dan nyata.

''Bayangkan selama ini beliau cuba menyamakan sifat Tuhan dengan manusia seperti Tuhan mencarut dan samseng. Tetapi yang lebih memilukan saya dia menolak perpaduan sesama Islam dalam saat getir.

''Pemimpin parti seperti Haji Hadi dan Nasaruddin dihina sedemikian rupa hanya kerana mereka ingin mencari kebaikan. Malah sudah kedengaran janji memberikan status seimbang antara Islam dan bukan Islam apabila Pas dapat memerintah,'' katanya. Sehubungan itu, katanya, adalah wajib bagi semua pihak menegakkan kebenaran dan membetulkan sebarang penyelewengan.

''Saya tidak punyai kepentingan lain selain mahu turut menghentikan segala penyimpangan yang berkait dengan nafsu politik," tegasnya.

Baru-baru ini Abdullah dilaporkan berkata Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Katanya, sudah sampai masanya untuk beliau membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur. Susulan itu, lidah rasmi Pas melaporkan Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan Abdullah yang tidak mempunyai tauliah mengajar.

Pemegang Amanah PPPB, Mohamad Awang dilaporkan berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.

Guru pondok itu dikatakan sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa. Abdullah menjelaskan, beliau mengakui tidak diberikan tauliah sebelum ini, namun segala-galanya kerana sikapnya yang mempertahankan Pas sehingga kini.

''Saya belajar agama selama 37 tahun dan saya dapat membezakan tafsiran yang benar dan bukannya berteraskan nafsu serta menyimpang," katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Pas tidak dapat mempertahankan keistimewaan orang Melayu Islam dan pemerintahan Islam dalam kerakusan untuk berkuasa.

''Hari ini apabila Pas menolak perpaduan kerana sanggahan keras Nik Abdul Aziz, beliau tidak mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan pemerintahannya, maka seluruh orang Pas bersalah jika apa yang dibimbangi berlaku kelak," katanya.

Ulasan Saya :

1. PAS tidak akan mendengar apa-apa juga nasihat daripada sesiapa pun selagi orang tersebut tidak menyokong PAS

2. PAS hanya akan menerima Islam yang mengikut tafsiran mereka sahaja - tafsiran orang lain jika benar sekali pun adalah salah. Tidak kiralah siapa juga orang tersebut sama ada Harussani, Tok Guru sebuah Sekolah Pondok, Dr. Asri atau ulama luar negara - semua tafsiran atau nasihat mereka akan ditolak mentah-mentah oleh PAS jika pandangan mereka atau tafsiran mereka tentang Islam bercanggah dengan pandangan ulama-ulama PAS - terutamanya Nik Aziz.

3. Ibu fitnah yang melanda PAS sekarang adalah berpunca daripada Nik Aziz - dan beliau mesti meletakkan jawatan dengan segera.

4. PAS - mahu atau pun tidak harus kembali kepada al-Quran dan As-Sunnah. Parti tersebut harus melihat diri sendiri terlebih dahulu, sebelum menghukum orang lain bersalah atau menyimpang daripada al-Quran.

5. Nik Aziz semakin tidak relevan lagi dalam dunia politik Islam masa kini - gaya kefahaman Islamnya sangat merbahaya dan terdapat sedikit gaya pemikiran ala-Khawarij.

November 29, 2009

NiK Aziz Yang Satu Lagi

Nik Aziz Yang Satu Lagi


PERKEMBANGAN politik Pas terutama di Kelantan makin panas sehingga menyebabkan cengkaman politik Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat goyah. Kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman atas tuduhan rasuah, membawa episod baru apabila beliau diarahkan melepaskan jawatan. Dalam sebuah laman blog, Mohd. Ariff Fahmi dan isterinya yang juga anak Nik Aziz, dikecam teruk. Belum pun reda isu tersebut dan isu penajaan haji kepada Nik Aziz oleh sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kontrak di Kelantan, tercetus pula pergeseran antara Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Husam Musa dan anak kepada Nik Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Husam dalam satu laporan media menyatakan beliau ‘diserang’ menerusi kritikan anak Nik Aziz. ‘‘Jika dijawab (serangan itu) nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru. Jadi saya bersabar,” katanya. Beberapa hari sebelum kenyataan itu, berdasarkan sumber dalaman Pas Kelantan, Husam dilaporkan mahu melepaskan jawatan tetapi beliau menafikan laporan tersebut.

Nik Abduh pula menyuarakan simpati terhadap bapanya yang menjadi mangsa permainan politik yang sengaja dirancang, yang sesetengah pemerhati mengaitkannya dengan proksi pemimpin tertentu.

Menurut Nik Abduh, berita peletakan jawatan seorang pemimpin Pas yang dianggap kesayangan bapanya telah kedengaran lebih awal. Walaupun tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Husam. Apa maknanya? Yang pasti, pergeseran itu menambah kekusutan Nik Aziz terutama sejak isu cadangannya memanggil muktamar agung luar biasa bagi membersihkan parti itu daripada beberapa kerat pemimpin pro Presiden Pas, Hadi Awang ditolak. Ia digantikan dengan seminar yang akhirnya mengundang kritikan balas perwakilan.

Siapakah yang Nik Aziz mahu memihak sama ada Husam, yang merupakan ayam tambatan politiknya atau anak beliau sendiri yang juga mempunyai karisma? Pendirian kedua-duanya berhubung sama ada wajarkah Nik Aziz berundur atau terus kekal, juga berbeza. Husam mencadangkan agar Nik Aziz mempertahankan kerusi DUN dan turut bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Nik Abduh pula lantang mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya daripada berundur suatu hari nanti.

Awang nampak ada kebijaksanaan dan keberanian Nik Abduh dalam komen dan tindak-tanduknya. Sebelum ini, beliau pernah membuat pendedahan bahawa bapanya telah menerima salah nasihat dan mendapat gambaran tidak betul daripada golongan tertentu, yang dikaitkan oleh pemerhati dengan puak Erdogan.

Awang melihat Nik Abduh bintang baru yang boleh menjadi sandaran Pas. Beliau tidak hipokrit. Lebih penting, beliau tidak terikat dengan pengaruh luar, yang imej itu tebal kepada Husam.


Ulasan Saya : Mengapa sejak akhir-akhir ini, PAS seolah-olah telah ditimpa bala? satu demi satu masalah dalaman parti semakin terdedah dan terlondeh - sekali gus memperlihat sebahagian daripada akhlak buruk dan keji dalam kalangan ulama-ulama PAS. Namun demikian, saya ada jawapannya - mengapa PAS semakin menuju ke arah kehancurannya. Segala-galanya bermula apabila Nik Aziz Nik Mat menolak perintah Allah yang jelas melalui ayat ke-10 dalam surah al-Hujrat yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." Bukankah ayat ini tidak perlu lagi ditakwil berkenaan kewajipan umat Islam bersatu dan melupakan sengketa? Bukankah ahli PAS dan UMNO itu adalah beragama Islam? Jadi mengapa mesti Nik Aziz menolak cadangan Kerajaan Perpaduan yang pernah diilhamkan oleh Hj Hadi pada satu ketika dahulu? Bukankah Hj Hadi hanya menurut perintah Allah sepertimana kehendak-Nya dalam ayat di atas itu? Mengapa Nik Aziz marah-marah tatkala UMNO dan PAS semakin menemui titik temunya untuk bersatu dan membentuk sefahaman? Bukankah ahli UMNO juga adalah orang beriman? seperti mana orang PAS juga? Bukankah kiblat bagi ahli PAS dan UMNO juga sama? Jadi mengapa Nik Aziz terlalu membenci ahli-ahli UMNO secara melampaui batasan?


Nah sekarang perhatikan apakah bala yang telah menimpa parti tersebut? Bermula dengan kritikan hebat Nik Aziz terhadap Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa - dengan mendakwa beliau merupakan boneka UMNO dan perlu disingkirkan. Sebelum itu - kita juga disaljikan dengan kritikan pedas anak Nik Aziz, iaitu Nik Abduh terhadap orang yang dikatakan rapat dengan Nik Aziz (Husam Musa) dan cuba mencalar nama baik bapanya itu. Husam Musa diserang bertalu-talu tanpa belas kasihan di dalam blog Nik Abduh. Tak cukup dengan itu - PAS sekali dikejutkan dengan cadangan Nik Aziz untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan pemimpin-pemimpin PAS yang dikatakan sangat menyokong idea Kerajaan Perpaduan - nama-nama yang patut disingkirkan menurut Nik Aziz termasuklah Dr Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa.


PAS bergelora sekali lagi apabila Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hassan at-Tantawi mengaku terdapat pengaruh luar yang cuba merosakkan PAS. Semua itu masih belum menyedarkan PAS - sehinggalah isu menantu Nik Aziz yang diangkat menjadi CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan menjadi fitnah kepada Nik Aziz dan keluarganya. Tidak cukup dengan itu - Nik Aziz dilanda badai bencana lagi apabila isu berkenaan tajaan yang Nik Aziz peroleh bagi menunaikan haji ke Mekah dari pihak tertentu - dikatakan mempunyai unsur rasuah, malah SPRM bertekad akan menyiasat kes tersebut, sekali pun Nik Aziz telah menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini. Lagi pun - dalam soal ini, saya berpandangan rasanya tidak perlulah menaja Nik Aziz untuk menunaikan haji sekali lagi - bukankah Nik Aziz sudah pun menunaikan haji wajibnya sebelum ini? Bukankah elok jika tajaan itu diberikan kepada fakir miskin atau orang-orang tua yang tidak cukup duit untuk menunaikan haji mereka?


Dugaan terus melanda PAS akibat daripada sifat sesetengah ulama PAS yang tidak mengikut ajaran Islam yang menekankan soal persaudaraan dan kesatuan ummah - kali ini Nik Aziz mendakwa bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerusi MB Kelantan - malah menurut beliau lagi, usaha ini sudah lama berjalan. Nik Aziz turut mendakwa individu yang ingin menjatuhkan beliau itu bernama Kolonel Mat - dan jika hal ini adalah benar mengapa baru sekarang Nik Aziz dedahkan setelah pelbagai kes menyelubungi beliau dan pentadbirannya? Apakah ini satu cara untuk mengkambingkan hitamkan orang tertentu dan menutup kelemahan diri sendiri? Isu ini tidak selesai di sini sahaja - sekali lagi Allah uji kesabaran Nik Aziz - namun ternyata Nik Aziz lebih selesa meletakkan dirinya sebagai seorang suci dengan mendoakan pula kehancuran terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkenaan isu royalti minyak untuk Kelantan.


Soalnya, apakah Nik Aziz tidak tahu bahawa kita diwajibkan taat kepada pemerintah sekali pun mereka zalim? Sabda nabi bermaksud, "Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara (pemerintah) yang tidak mengikut petunjukku dan tidak menjalani sunnahku. Dan akan bangun pada mereka laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Kata Huzaifah : Aku bertanya, Bagaimana saya hendak lakukan jika saya menemuinya ya Rasulullah? Rasulullah bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim).


Sabda nabi lagi, "Para imam yang jahat ialah yang kamu benci mereka dan mereka benci kepada kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah ditanya, Ya Rasulullah, bolehkah kami melawan mereka dengan pedang? Baginda menjawab, Tidak! selama mereka mendirikan solat. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak sukai daripada pemerintah kamu, maka hendaklah kamu bencikan amalannya dan jangan kamu menarik tangan kamu dari ketaatan" (Riwayat Muslim) dan, "Satu ketika nabi ditanya, Ya Rasulullah, jika kami mempunyai pemerintah-pemerintah yang mengerjakan selain ketaatan kepada Allah, bagaimana? Rasulullah bersabda, Mereka memikul apa-apa yang dibebankan ke atas mereka dan kewajiban kamu adalah apa-apa yang dibebankan ke atas kamu" (Riwayat Bukhari).


Sebenarnya apa-apa yang sedang berlaku ke atas PAS dan Nik Aziz adalah disebabkan oleh tangan-tangan mereka sendiri - dan bukan orang lain. Apabila Allah menyuruh orang beriman agar bersatu-padu, kita degil dan bongkak, kita tunjuk ego dan sombong kepada Allah. Inilah akibatnya. Apabila UMNO mahu bermuzakarah dengan PAS - mereka tolak dengan pelbagai alasan - sebaliknya dengan musuh Islam seperti DAP- PAS begitu rapat serta menunjukkan kasih sayang, apakah maknya semua ini? Apakah PAS lupa ayat di bawah ini? "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Wahai, orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-ngolokkannya.(al-Hujurat ; 10).


Sebelum ini saya sudah meramalkan bahawa selagi PAS menjadikan DAP sebagai kawan rapat dan pembantu mereka untuk menegakkan Islam di Malaysia - maka selagi itulah PAS akan menemui kegagalan. Dan saya melihat apa-apa yang sedang berlaku kepada Nik Aziz dan PAS pada hari ini merupakan bibit awal kejatuhan parti tersebut yang terang-terang melaungkan Islam, tetapi tidak beramal dengan seluruh perintah yang terkandung di dalam al-Quran. Allah sudah mengingatkan kita semua melalui firman-Nya di dalam surah al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."


Jadi jelaslah selagi PAS menolak ajakan UMNO untuk membentuk kesatuan dan perdamaian - maka selagi itulah PAS akan gagal mengejar cita-citanya. Dan PAS akan tetap gagal sampai bila-bila selagi mereka meninggalkan orang-orang beriman (UMNO) dalam urusan pentadbiran dan politik. Hal ini sudah dijelaskan oleh Allah di dalam ayat di atas tersebut. Sesungguhnya DAP sama sekali tidak akan berjaya membantu PAS bagi merealisasikan cita-cita Islam parti tersebut. Fikir-fikirkan. Wallahualam.

November 25, 2009

Mukhriz Calon DUN Kota Siputeh?


Mukhriz Calon DUN Kota Siputeh?


Walau apa-apa pun alasan yang bakal kita dengar di dalam keputusan mahkamah kelak - hakikatnya satu lagi Pilihan Raya Kecil akan tetap juga diadakan di Kota Siputeh. SPRM menggunakan alasan implikasi kewangan bagi mengharapkan ihsan mahkamah agar Pilihan Raya Kecil di DUN tersebut tidak perlu diadakan. Dengan bajet Rm200 ribu bagi tujuan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil - alasan ini - sekurang-kurangnya membuktikan bahawa duit rakyat jangan dibazirkan kepada sesuatu yang boleh diselesaikan secara hikmah. Namun demikian, andaikata jika DUN Kota Siputeh bukan milik UMNO - apakah SPRM akan mempertahankannya juga? Saya fikir - untuk lebih jujur, Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh harus diadakan secepat mungkin, sebelum ia memberi implikasi yang negatif terhadap undang-undang dan perlembagaan negara. Malah, jika Pilihan Raya Kecil tidak diadakan - saya khuatir rakyat akan menuduh kononnya SPRM adalah kuda tunggangan UMNO/BN - hal ini harus segera dielakkan. Saya yakin dan percaya, jika diadakan Pilihan Raya Kecil di DUN tersebut, InsyaAllah UMNO akan menang - bukan sahaja menang selesa, malah mungkin akan menang dengan majoriti yang lebih baik. Namun demikian, yang ingin saya perkatakan di sini hanya satu - berkenaan desas-desus yang mendakwa bahawa kemungkinan besar Ahli Parlimen Jerlun - Datuk Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai calon yang paling layak untuk memberi kemenangan besar kepada BN/UMNO di kawasan tersebut. Pada hemat saya, saya sangat bersetuju jika Datuk Mukhriz dicalonkan sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh hal ini berdasarkan kepada beberapa faktor :

1. Datuk Mukhriz Mahathir dianggap ikon generasi muda dan pengikut-pengikut Tun Dr Mahathir.

2. Peribadinya bersih dan tidak ada skandal politik wang atau pun wanita

3. Kredibiliti Datuk Mukhriz juga disegani oleh parti pembangkang

4. DUN Kota Siputeh terletak di bawah Parlimen Jerlun dan tiada masalah jika Datuk Mukhriz dicalonkan di kawasan tersebut.

5. Pembangkang tiada isu yang boleh dimainkan bagi menjatuhkan karisma dan kredibiliti Datuk Mukhriz.

6. Jika benar Datuk Mukhriz dicalonkan di kawasan tersebut hal ini bermakna harapan untuk BN merampas kembali negeri Kedah semakin cerah - berikutan tafsiran masyarakat yang percaya bahawa mungkin dalam PRU ke-13 kelak jika BN/UMNO berjaya merampas negeri Kedah, Datuk Mukhriz akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah - hal ini sudah tentu membimbangkan parti pembangkang. Wallahualam.

November 23, 2009

Selamat Jalan Husam!


Nik Aziz Nik Mat 2009
Selamat Jalan Husam!


ALOR SETAR 22 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membincangkan hasrat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dikatakan mahu melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kunjungannya ke Kelantan Khamis ini. Menurut Abdul Hadi, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dan hanya membaca menerusi laporan media.

"Saya tidak tahu menahu, cuma mengetahui mengenainya daripada laporan media dan saya kena tunggu maklumat sebenarnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melihat sesi perbahasan sebelah pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini. Mingguan Malaysia hari ini melaporkan keputusan Husam Musa yang disifatkan sebagai satu lagi episod menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu. Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga Exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.


Ulasan Saya : Jika pergolakan di dalam MCA menjadi semakin kronik - saya kira ia sama juga halnya dengan PAS. Soal peletakan jawatan Husam Musa sudah lama kedengaran, bermula awal minggu lalu. Namun demikian ia masih menjadi tanda tanya. Menurut beberapa sumber, peletakan semua jawatan oleh Husam adalah bertitik tolak daripada hilangnya kepercayaan Nik Aziz terhadap beliau. Mungkin juga ramai yang tidak percaya bahawa ramai pemerhati politik yang mengandaikan Husam seolah-olah telah menikam Nik Aziz dari belakang. Pendedahan demi pendedahan berhubung kepincangan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan, dikatakan bertitik tolak daripada pendedahan Husam kepada pihak tertentu - sejauh mana kebenaran tersebut hanya Allah sahaja yang tahu. Namun begitu - saya tidak fikir Husam sanggup menganiaya Nik Aziz kecuali jika jelas Nik Aziz telah melakukan kesalahan yang besar dan merugikan parti. Seperti kita semua - Nik Aziz juga manusia biasa. Hampir 20 tahun mentadbir Kelantan, akhirnya sedikit sebanyak Nik Aziz tetap juga akan melakukan kesalahan. Sama ada kesalahan besar atau pun kecil - Nik Aziz tetap diperhatikan. Jika dahulu Nik Aziz menentang kronisme, mungkin kali ini penyakit tersebut terkena kepada Nik Aziz. Walau bagaimana pun, saya percaya ada sesuatu yang disimpan kemas oleh Husam Musa berkenaan Nik Aziz. Seperti pemimpin parti yang lain juga - Nik Aziz hakikatnya sudah menemui jalan untuk pulang dan harus berhenti daripada arus politik negara. Tetapi, PAS tidak bisa mengorbankan Nik Aziz demi seorang manusia bernama Husam Musa. Selamat tinggal Husam! Wallahualam.

November 16, 2009

Mari Kita Menilai Nik Aziz


Mari Kita Menilai Nik Aziz


KOTA BHARU 15 Nov. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman didesak meletak jawatan ekoran penajaan bagi menunaikan ibadat haji. Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian menegaskan, kedua-dua mereka wajar berundur berikutan salah laku serius Nik Abdul Aziz menerusi pengakuan terbuka bahawa ada pihak menaja beliau dan keluarga untuk ke tanah suci Mekah.

Beliau turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera terhadap dakwaan tersebut demi kepentingan rakyat kerana terdapat asas kukuh berhubung salah laku.

“Kenapa Nik Abdul Aziz boleh membenarkan dirinya dan keluarga ditaja untuk menunaikan haji dengan kos begitu tinggi?

“Disebabkan itu, kita mendesak beliau dan menantunya meletakkan jawatan kerana dakwaan salah laku itu sangat serius dan memalukan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil SPRM negeri di sini hari ini.

Penyerahan memorandum tersebut berikutan laporan media berhubung penajaan haji yang diterima oleh Nik Abdul Aziz dan keluarganya serta penyelewengan yang berlaku dalam PMBK. Rabu lalu media melaporkan pengakuan Nik Abdul Aziz bahawa beliau ditaja oleh pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 seorang dan mendapat layanan bertaraf VVIP. Difahamkan rombongan tersebut dijangka disertai 10 individu termasuk isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak; anaknya, Nik Amalina dan menantunya, Abdul Ariffahmi.

Menurut blog http://ruangbicarafaisal.blogspot.com, syarikat yang bertanggungjawab menaja Menteri Besar Kelantan dan keluarganya adalah Abroad Technology Sdn. Bhd. yang berpejabat di sini.

Syarikat itu mendapat hak eksklusif untuk memasang papan tanda di seluruh negeri itu.

Ekoran kenyataan terbuka itu, SPRM dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut. Dalam hal ini, Anuar percaya jumlah keseluruhan kos tajaan haji yang melibatkan Nik Abdul Aziz bersama ahli keluarga adalah beratus-ratus ribu ringgit. Beliau berkata, perkara tersebut turut didedahkan dalam sebuah blog http://pemudapadangrengas.blogspot. com dan telah menjadi pengetahuan umum.

“Nik Abdul Aziz juga telah membuat pengakuan berhubung tajaan untuk menunaikan haji daripada beberapa individu sebelum ini sepanjang menjadi Menteri Besar,’’ ujarnya.

Bagi beliau, banyak aspek perlu dilihat secara mendalam termasuk kredibiliti Abdul Ariffahmi yang dilantik sebagai CEO dalam masa yang amat singkat. Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, menantu Nik Abdul Aziz itu dikatakan mula bertugas di Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

“Beliau kemudian dipinjamkan di PMBK bagi menjaga Projek Bandar Baru Tunjong yang diambil alih daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU),’’ katanya. Menurut beliau, selepas itu Abdul Ariffahmi dilantik sebagai Ketua Bahagian Hartanah PMBK sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi awal tahun lalu dan pelantikannya turut dipertikaikan.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba dia dilantik menjadi CEO. Kita mahu tahu secara jelas, atas sebab apa dia dilantik ke jawatan yang besar ini dalam usia yang sangat muda. Adakah rekod yang dimilikinya amat baik?” soal Anuar.


Ulasan Saya : Saya tidak mahu komen lebih, tetapi saya mohon agar para pembaca sekalian menilailah sendiri. Wallahualam.

November 13, 2009

Isu Bai'ah : Datuk Mustafa Ali Tetap Tidak Mengaku


DATUK MUSTAFA ALI
TETAP TIDAK MENGAKU


Bukankah sudah saya jelaskan dalam posting saya sebelum ini, bahawa akhirnya jawapan berkenaan isu bai'ah talak tiga ini sudah ada skrip jawapannya? PAS tetap tidak akan mengaku, walaupun sudah jelas buktinya melalui rakaman video dalam YouTube. Di dalam Harakahdaily, lidah rasmi parti tersebut sudah awal-awal meletakkan tajuk utamanya yang berbunyi, "Tiada Lafaz Talak Tiga dalam Bai'ah PAS" Tulisan saudara Dzulfikar Mashoor. Lihatlah laporan beliau di bawah ini.


KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS hari ini mendedahkan bai'ah (janji setia) dengan lafaz menceraikan isteri dengan talak tiga adalah bukan lafaz rasmi dari parti itu. Penafian itu dibuat Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali setelah beliau sendiri menyiasat dakwaan tersebut sebagaimana diarah Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, kesemua negeri menggunakan lafaz bai'ah rasmi tersebut kecuali sedikit berbeza bagi wakil rakyat mereka di Selangor.

"Presiden kata benda ini (bai'ah talak tiga) tidak berlaku dan dia minta saya siasat semua negeri."

"Semua negeri mengikut rasmi, ikut pusat kecuali Selangor, ada kelainan sedikit." jelasnya.

Dalam sidang media di pejabat Agung PAS pagi tadi, beliau turut mendedahkan beberapa skrip baia'ah rasmi PAS yang diguna Abdul Hadi, beliau sendiri dan Mohammad Sabu.

Kesemuanya adalah sama dan tiada langsung berkait 'cerai talak tiga' kecuali yang ada hanya lafaz laknat jika mengkhianati parti.

"WaLlahi wa biLlahi wa taLlahi. Bahawa saya, Hj. Mustafa bin Ali yang diamanahkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk bertanding dalam pilihanraya umu kali ke-12 dalam kawasan DUN N17 Alor Limbat bersumpah dengan nama Allah sama ada saya menang atau kalah di dalam pilihanraya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini,iaitu Islam.

"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini (iaitu Islam), maka saya akan dilaknat oleh Allah, para Malaikat dan para pelaknat, " lafaz baiahnya dibaca di hadapan wartawan.

Jelasnya, bai'ah yang dilakukan PAS sekadar mekanisme biasa bagi mengikat wakil rakyat parti demi memastikan para mereka tidak mengkhianati amanah parti.

"Oleh kerana PAS memperjuangkan Islam, maka menggunakan bai'ah...sama seperti BN sendiri, wakil rakyat yang menang diminta tandatangan satu surat tanpa tarikh yang ditujukan kepada Speaker (Dun dan Parlimen) memaklumkan bahawa dia meletak jawatan. Jadi, Surat itu digunakan bila wakil rakyat lompat parti."

Tambahnya lagi, bai'ah PAS Selangor beberbeza dengan negeri-negeri lain mungkin disebabkan bimbang para wakil rakyatnya dibeli BN kelak.

"Ada kebimbangan akan ada wakil rakyat lompat parti sebab yang beli biasa parti pemerintah (Umno dan BN)." Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa pemimpin PAS yang menggunakan media untuk mengulas isu 'bai'ah talak tiga', telah pun diberi nasihat agar tidak mengeruhkan keadaan lagi. Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak memanjangkan isu tersebut, setelah mendengar penjelasannya hari ini.

Kesimpulan saya adalah mudah : PAS tidak boleh dipercayai lagi. Malah, PAS hanya percaya bahawa parti mereka sahaja yang betul dan benar. Parti lain semua tidak betul. PAS tidak pernah buat dosa, apa-apa sahaja yang buruk tentang PAS, semuanya tidak benar. Inilah PAS.

November 12, 2009

Bai'ah Ceraikan Isteri : PAS Sudah Ada Skrip Jawapan


BAI'AH CERAIKAN ISTERI
PAS SUDAH ADA SKRIP JAWAPAN




KUALA LUMPUR, 12 Nov: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan hasil siasatannya berhubung dakwaan wujud bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga dalam PAS esok. Pendedahan itu akan dibuat pada satu sidang media yang akan diadakan di bangunan PAS, Jalan Raja Laut jam 11.00 pagi.

Beliau sebelum ini telah diarah oleh Presiden Parti, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyiasat dakwaan terbaru itu setelah beberapa media perdana dan laman blog membangkitkan perkara tersebut.

Perkara itu didakwa timbul selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan beberpa blogger. Kemudiannya mendapat liputan meluas sehingga PAS diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Selain Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz serta Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub turut menafikan dakwaan tersebut. Ianya kerana Majlis Syura Ulama tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar yang menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah sedemikian. Mereka juga berpendapat, isu ini hanya sengaja dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan PAS.


Ulasan Saya : Saya sudah dapat menduga jawapan yang bakal diberikan oleh Datuk Mustafar Ali berkenaan isu bai'ah ceraikan isteri yang didakwa berlaku di dalam parti PAS esok. Jawapannya adalah mudah iaitu, "tiada kes bai'ah yang melibatkan wakil rakyat PAS." Pendek kata, PAS tetap akan mendakwa kononnya isu tersebut merupakan permainan 'nakal' UMNO dan BN bagi mencemar naik baik PAS di mata rakyat. Dengan kata lain, PAS sebenarnya tidak pernah buat salah, walaupun sedikit. Selain itu, Nik Aziz juga akan bersikap lepas tangan dengan mendakwa, Syura Ulama PAS tidak pernah mengizinkan bai'ah ceraikan isteri terjadi di dalam parti tersebut. Sebaliknya, individu-individu tertentu sahaja yang rela mengadakan bai'ah demi perjuangan politik PAS tanpa pengetahuan Syura Ulama. Kesimpulannya, PAS tetap tidak akan mengaku wujudnya pemahaman sesat dalam parti tersebut - sehingga sanggup mengutamakan parti melebih daripada agama itu sendiri. Akhir kata, esok, Datuk Mustafar akan membuat kesimpulan yang sudah pun disediakan skripnya yang berbunyi seperti berikut :


1. "Kita sudah buat siasatan, dan terbukti tidak berlaku sama sekali bai'ah di dalam PAS, ini semua fitnah yang datangnya daripada UMNO/BN".

2. "Majlis Syura Ulama tidak pernah memberi arahan agar wakil rakyat-wakil rakyat PAS mengadakan bai'ah, ini semua fitnah terhadap PAS."

3. "Kami tidak menemui bukti tentang wujudnya bai'ah di dalam PAS."

4. "Bai'ah di dalam PAS adalah satu pembohongan dan sengaja direka-reka oleh UMNO dan BN"

5. "Masyarakat salah faham istilah bai'ah dengan maksud taat setia kepada perjuangan parti. Yang berlaku hanyalah kepada pasangan suami isteri yang kedua-duanya reda dengan bai'ah, ia bukan arahan pimpinan tertinggi PAS, ia hanyalah suka rela."


Inilah serba sedikit yang saya rasa akan dikatakan oleh Datuk Mustafar Ali dalam sidang medianya esok. PAS tidak pernah mengaku buat silap dan bersalah - mereka fikir, hanya mereka sahaja yang Allah suka. Begitulah buruknya fahaman Islam yang dipraktikan di dalam PAS. Wallahualam.

November 11, 2009

Dr. Asri Akan Sertai UMNO, InsyaAllah!


Dr. Asri Akan Sertai UMNO,
InsyaAllah!



Saya secara peribadi menyambut baik niat Dr Asri untuk menyertai politik, andaikata hak beliau untuk bersuara dan berceramah disekat oleh pihak tertentu. Sebelum ini, Dr Asri membayangkan bahawa beliau berkemungkinan akan menyertai parti politik tertentu sebagai jalan terakhir untuk beliau terus berdakwah. Persoalan yang timbul sekarang ialah, mana satu parti politik yang sangat dekat di hati Dr Asri? PAS kah?, UMNO kah? atau PKR? Harus juga diingati bahawa terdapat juga mantan mufti Pulau Pinang yang menyertai politik tetapi tidak menyertai PAS, sebaliknya menyertai PKR.


Namun demikian, pada hemat saya, jika Dr Asri benar-benar mahu ke medan politik sepenuh masa - saya sangat menggalakkannya. Malah, parti politik yang sesuai untuk beliau ialah UMNO, dan bukannya PAS! Sepanjang pengetahuan saya - kebiasaan bagi golongan salaf (seperti saya juga) lebih berminat dan lebih cenderung bersama golongan pemerintah. Golongan salaf-as-soleh berpegang teguh kepada hadis shahih yang mewajibkan agar rakyat taat kepada pemerintah, selagi pemerintah tersebut mengerjakan solat dan tidak menghalang rakyat jelatanya untuk membuat ibadah. Terdapat beberapa kebaikan jika Dr Asri menyertai UMNO antaranya :


1. Memudahkan golongan salaf di Malaysia menyedarkan masyarakat Islam di negara ini berkenaan metod atau uslub/manhaj salaf-as-soleh dalam melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan seharian.

2. Menghidupkan budaya keagamaan dan penghayatan Islam yang kukuh di dalam UMNO , di samping pada masa yang sama, menjadi penegur kepada tindak-tanduk ahli-ahli UMNO yang melangkaui batasan agama.

3. Menegakkan kalimah tauhid secara bijaksana - iaitu dengan membantu dan menegur pihak kerajaan secara berhikmah dan bukan secara maki-hamun yang sering diamalkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin PAS.

4. Menjadikan UMNO lebih Islamik dalam memperjuangankan agama, bangsa dan negara secara menyeluruh dan tidak hanya menumpukan perhatian terhadap satu aspek perjuangan semata-mata.

5. Membentuk generasi muda UMNO yang dekat dengan agamanya, di samping mewujudkan golongan muda UMNO yang menjauhi maksiat serta mencintai akhirat.

6. Akhir kata, semoga Allah membukakan hati Dr. Asri agar menyertai UMNO. Amin!

November 10, 2009

Transformasi Budaya II


Transformasi Budaya II


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar ahli yang gagal mematuhi disiplin dan ideologi parti itu sebagai 'pengacau' di dalam PKR. Sambil memberi amaran kepada individu terlibat Anwar berkata, mereka harus berundur daripada parti sebelum disingkirkan.

"Saya dengan tegas memberi amaran kepada seluruh anasir-anasir 'pengacau' dalam parti yang gagal patuh kepada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkirkan," katanya di dalam blognya www.anwaribrahim.com. PKR baru-baru ini berhadapan dengan krisis dalaman yang menyaksikan dua pemimpinnya di Sabah iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Naib Presiden, sementara Christina Liew pula meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Seorang wakil rakyatnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pula bertindak keluar parti itu dan menjadi ADUN bebas.

Ketiga-tiganya memberi alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu yang diterajui '3A' iaitu Anwar; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; dan Naib Presidennya, Azmin Ali.


Ulasan Saya : Hayat Anwar Ibrahim dalam politik nasional semakin malap. Dengan pelbagai krisis yang sedang melanda parti tersebut, ditambahkan lagi dengan masalah dalaman PAS - menjadikan parti pembangkang semakin hilang arah tuju dan perjuangan. Punca berlakunya semua ini adalah natijah daripada para pemimpin pakatan rakyat yang sebenarnya tidak ikhlas berjuang untuk rakyat, sebaliknya mereka lebih menumpukan perhatian untuk menumbangkan BN dan UMNO. Inilah kesilapan pembangkang. Seharusnya, Pakatan Rakyat menumpukan perhatian kepada usaha-usaha yang boleh membangunkan negara dan bukan mencari keburukan BN semata-mata. Kita harus sedar, jika perkataan seperti Kronisme, Nepotisme, Rasuah, Ketelusan, Zalim dan sebagainya diulang-ulang ratusan kali, akhirnya rakyat akan bertambah muak dan meluat kepada Anwar. Sudah berbuih-buih mulut Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya menuduh kononnya kerajaan BN dan UMNO begitu zalim, tetapi Anwar Ibrahim masih hidup dan bebas bergerak. Jika benar BN dan UMNO begitu zalim, bukankah lebih baik Anwar itu ditembak sahaja? Hakikatnya, Anwar perlu menerima kenyataan ini, iaitu:


1. Pengaruhnya semakin berkurangan sejak beliau membohongi rakyat berkenaan PR akan mengambil alih kuasa kerajaan pusat pada 16 September 2008.


2. Rakyat semakin celik berkenaan niat sebenar Anwar Ibrahim adalah untuk menjadi PM semata-mata dan bukan untuk membela rakyat. Sifat retorik Anwar sudah disedari oleh ramai pihak.


3. Pendekatan politik mencari buruk kerajaan sudah berakhir dan berlalu. Pada hari ini, rakyat mahukan keamanan dan keselesaan. Jika parti-parti politik boleh duduk semeja memikirkan masalah rakyat, maka mengapa hal itu tidak dilakukan.


4. Pemikiran politik generasi muda sudah semakin berubah, yakni berubah daripada mengikut emosi kepada lebih memikirkan masa depan anak-anak. Generasi muda seakan-akan sudah hilang kepercayaan kepada semua pemimpin politik - menurut satu tinjauan, golongan muda semakin ramai yang berpendirian atas pagar - mereka lebih suka tunggu dan lihat. Idealisme sesebuah parti politik tidak lagi menjadi daya tarikan kepada mereka - yang penting sekarang sejauh mana pemimpin-pemimpin politik boleh mendampingi golongan tersebut. Soal akhlak seseorang pemimpin sudah ditolak ketepi. Sebagai contoh, sekali pun seseorang pemimpin itu sudah dikenali sebagai perasuah atau suka main perempuan - hal tersebut tidak akan menjejaskan sokongan golongan muda terhadapnya, selagi beliau memahami dan mempunyai hubungan yang rapat dengan golongan muda.


5. Oleh yang demikian, keputusan PRU ke-13 akan ditentukan oleh dua faktor penting - iaitu, sejauh mana dasar kerajaan akan bersifat mesra "generasi muda", umpamanya masalah pinjaman PTPTN dan isu pembayaran balik pinjaman tersebut yang masih menjadi duri dalam daging generasi muda. Faktor kedua pula ialah, sejauh mana pemimpin politik memandang serius penglibatan generasi muda di dalam sesebuah organisasi politik dan sejauh mana, sesebuah parti politik boleh memahami aspirasi diri mereka.

November 9, 2009

PAS dan Nik Aziz 2012 : 2 Kilometer Dari Bencana!


PAS dan NIK AZIZ 2012
Dua Kilometer Dari Bencana!



Salam dan selamat sejahtera kepada semua, kiranya saya masih belum terlewat untuk memberi sedikit pandangan berhubung Seminar Pemerkasaan PAS yang berlangsung tempoh hari serta isu pendedahan yang dilakukan oleh Profesor Madya Dr Hassan Hasbullah berkenaan terhakisnya pengaruh PAS dalam kalangan generasi muda. Pada hemat saya - kenyataan yang mendakwa bahawa generasi muda menolak UMNO dalam PRU yang lepas adalah bertitik tolak daripada kebencian dan kemarahan mereka terhadap kepimpinan UMNO yang selama ini mengamalkan kronisme dan rasuah - tetapi, harus diingat sokongan yang berasaskan kepada rasa benci dan marah tidak akan bertahan lama - sifat orang marah ini, sampai masanya ia akan reda juga. PAS akan tetap gagal selagi menjadikan rasa benci dan marah sebagai garis panduan untuk mendapatkan sokongan berterusan daripada rakyat. PAS perlu mewujudkan rasa kesedaran - hanya melalui kesedaran sahaja - sokongan akan berkekalan. Izinkan saya bercakap secara jujur dan berterus-terang.



Punca utama pengaruh PAS menjadi lemah dan tidak lagi mendapat kepercayaan daripada generasi muda adalah mudah, iaitu PAS mengamalkan sikap cakap tidak serupa bikin. Apabila PAS melaungkan, slogan, "Kami memperjuangkan Islam dan menjunjung al-Quran" - maka sudah tentulah setiap tingkah-laku parti tersebut mestilah berlandaskan kepada al-Quran dan As-Sunnah - tetapi malang, sejak hubungan PAS begitu akrab dengan DAP dan Anwar Ibrahim - dasar perjuangan parti tersebut sudah mula berubah dan goyah. Niat PAS sudah mula berubah daripada bercita-cita mahu melaksanakan tuntutan Islam sepenuhnya, kepada niat untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya dan menghancurkan UMNO semata-mata.



Niat PAS dalam politik perdana pada hari ini jika diamati sudah semakin berubah - PAS lebih menumpukan perhatian ke arah menguatkan parti di samping memberi penekanan yang serius terhadap cara untuk menarik sokongan bukan Islam kepada parti tersebut. Sebaliknya PAS harus memberi perhatian yang besar terhadap usaha untuk menguatkan Islam, dan bukannya parti, hal ini termasuklah melalui usaha menyatupadukan umat Islam di Malaysia . Namun demikian, nampaknya PAS lebih selesa dengan slogan PAS for All berbandingan dengan slogan Islam for All. Pemimpin-pemimpin PAS lebih selesa berceramah untuk tujuan politik dan bukan untuk berdakwah. Apabila kita menggunakan nama Islam - maka tanggungjawabnya adalah berat. Setiap huruf dan ayat yang terdapat di dalam al-Quran perlu dilaksanakan oleh PAS yang selama ini secara terang-terang mendakwa bahawa tujuan parti itu ditubuhkan adalah untuk menegakkan Islam. Tetapi, apakah Islam boleh ditegakkan dengan sokongan daripada parti seperti DAP yang jelas menolak Islam? Apakah PAS berasa hanya dengan mengambil musuh Allah dan meninggalkan saudara seIslam, maka Islam boleh menjadi lebih kuat?



Beberapa bulan yang lalu, saya meramalkan bahawa PAS akan tewas teruk dalam PRU yang akan datang - selagi mereka menolak perintah Allah dalam surah Al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang." Perhatikan maksud ayat di atas dengan mata hati. Apakah ahli-ahli DAP mendirikan solat dan menunaikan zakat? Jika tidak, bagaimanakah PAS boleh mengambil mereka sebagai penolong untuk menegakkan hukum Allah?



Manakala dalam surah Ali Imran ayat 28 pula Allah berfirman yang bermaksud :"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin. Barangsiapa berbuat sedemikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana muslihat yakni memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksa-Nya), dan hanya kepada Allah kamu dikembalikan." Soalnya sekarang, mengapa PAS mengambil DAP sebagai penolong/pemimpin serta meninggalkan orang-orang UMNO yang jelas beriman kepada Allah? Bukankah sudah jelas kekafiran DAP dan prinsip mereka terhadap Islam? Dan mengapa PAS masih mahu lagi bersama dengan DAP?



Dan di dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi wali (pembantu), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang, padahal mereka telah kafir (menyangkal) kebenaran yang datang kepadamu." Bukankah PAS tahu bahawa DAP begitu anti dengan hukum hudud dan negara Islam? Jadi mengapa Nik Aziz tetap berdegil untuk meneruskan kerjasama dengan DAP? Malah yang lebih pelik, mengapa PAS masih tetap mahu menjadikan DAP sebagai wali (pembantu) bagi menghancurkan saudara seagama (UMNO) semata-mata mahukan kuasa? Bukankah Nik Aziz tahu bahawa DAP telah menyangkal kebenaran yang terkandungan di dalam al-Quran dengan menolak hukum Hudud dan negara Islam? Jadi apakah alasannya lagi untuk PAS meneruskan hubungan kasih-sayangnya dengan DAP?



Dalam hal ini adalah jelas, selagi umat Islam menjadikan musuh Allah (kaum kafir) sebagai penolong untuk menegakkan kalimah tauhid, maka selagi itulah umat Islam akan gagal dan kecewa. Sehingga kini, tiada satu pun negara Islam yang berjaya menegakkan daulah Islamiyyah selagi mereka bersengkongkol dengan musuh Allah. Hal yang sama juga tidak terlepas daripada PAS, selagi PAS mengabaikan peringatan Allah ini dan masih berdegil mahu mengikut kata-kata Nik Aziz, maka PAS harus bersiap sedia menggali lubang kuburnya.



Hakikatnya, PAS sudah dapat menghidu bencana yang akan menimpa parti tersebut - semua ini terjadi adalah kerana sikap pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang hanya pandai melaungkan, kata-kata, "Kami ikut Quran, kami ikut Sunnah," tetapi apabila tiba masa untuk mempraktikkan seruan al-Quran, semua laungan itu hilang entah ke mana. PAS, pada pengamatan saya - benar-benar berada dijurang kehancuran dan bencana, selagi mereka menolak perintah Allah di atas. Dan sesungguhnya, bencana itu terlalu hampir dengan PAS. Saya khuatir, untuk PRU ke-13 yang akan diadakan pada tahun 2012 nanti, PAS mungkin tidak lagi relevan. Wallahualam.

November 6, 2009

Shahidan Kasim 2009 : Apabila Malam Terlelap


Shahidan Kasim 2009
Apabila Malam Terlelap


KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan hanya satu jawatan mufti diwujudkan di negara ini bagi mengelakkan pertikaian dan perselisihan pendapat sesama mereka. Katanya, pada masa ini setiap negeri mempunyai mufti dan perbezaan pandangan di kalangan mufti-mufti akan menimbulkan keresahan rakyat kerana isu agama adalah sensitif.

"Perkara ini perlu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zain AlGhari mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Zamihan baru-baru ini mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Dr Mohd Asri melibatkan Bahasa Arab dan Sastera dan pendedahan itu disifatkan Shahidan sesuatu perkara yang mengaibkan.

Shahidan juga berharap peraturan baru diwujudkan berhubung pelantikan mufti termasuk memastikan mereka mempunyai pendidikan bertaraf doktor falsafah (PhD) dan hafal al Quran selain mahir dalam hal ehwal syariah.

Sementara itu, Shahidan berkata laporan kepada JAIPs dibuat bagi membersihkan nama baik kerajaan negeri Perlis yang telah melantik Dr Mohd Asri sebagai Mufti Perlis sebelum ini.

Pengarah JAIPs Malek Hussin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berkata laporan Shahidan itu akan dikaji dan dipanjangkan ke peringkat MAIPs termasuk menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Turut mengiringi Shahidan membuat laporan itu ialah bekas Pengarah JAIPs, Md Sadik Ismail.

Semalam, Shahidan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kenyataan Zamihan selain memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang diPertuan Agong berhubung isu Dr Mohd Asri. BERNAMA


Ulasan Saya : Sudah lama saya memikiran apa yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim di atas. Sememangnya sudah sampai masanya semua mufti yang bakal dilantik pada masa akan datang haruslah dalam kalangan tahfiz al-Quran dan penghafal hadis. Malah, satu ketika dahulu, saya pernah mencadangkan agar silibus pengajian Islam di Malaysia mestilah dirombak dengan memberi penekanan ke atas melahirkan graduan pengajian Islam yang hafal al-Quran dan hadis setelah mereka menamatkan pengajian di universiti.


Yang berlaku pada hari ini semakin membimbangkan - tahap penguasaan bahasa Arab dalam kalangan graduan pengajian Islam kita di Malaysia masih boleh dipertikaikan, malah sijil bahasa Arab negara kita juga baru-baru ini ditolak oleh Universiti al-Azhar, gara-gara kelemahan pelajar kita dalam menguasai bahasa Arab dengan baik ketika menyambung pelajaran di universiti tersebut. Semua ini memerlukan satu transformasi dalam sistem pengajian Islam dan syariah di universiti-universiti tempatan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak kerajaan.


Mahu atau tidak mahu, pelajar-pelajar Melayu harus dilatih untuk menghafal al-Quran sejak di bangku sekolah lagi dan apabila mereka tamat belajar di tingkatan lima, sekurang-kurangnya separuh al-Quran sudah dihafal di luar kepala. Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan - kerajaan boleh memulakan program ini di sekolah-sekolah agama terlebih dahulu. Yang menjadi masalah pada hari ini ialah - hafazan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah hanya diambil berdasarkan ayat-ayat terpilih sahaja dan bukan satu program yang menyeluruh untuk menghafal seluruh isi al-Quran di sepanjang sessi persekolahan mereka selama 11 tahun itu (6 tahun sekolah rendah dan 5 tahun sekolah menengah).


Hal yang sama juga berlaku di peringkat pengajian Islam di universiti-universiti tempatan. Yang kita lahirkan pada hari ini hanyalah ustaz-ustaz muda yang menghafal beberapa surah al-Quran sahaja dan bukannya menghayati seluruh kandungan dan isi al-Quran secara holistik melalui hafalan dan penghayatan. Suka saya nyatakan bahawa, seharusnya syarat untuk seseorang menyambung pelajaran dalam jurusan agama di peringkat sarjana muda atau sarjana mestilah bertitik tolak daripada sejauh mana kemampuannya menghafal al-Quran dan bukan hanya melihat gred bahasa arab yang diperolehnya di peringkat SPM atau STPM. Dan lebih malang, di Malaysia, jurusan hafaz al-Quran hanya berada di sekolah-sekolah pondok atau di mahaad-mahaad tahfiz swasta sahaja, sebaliknya tiada pula usaha menyeluruh ke arah menaiktarafkan bidang tahfiz al-Quran sehingga ke universiti. Kita tidak mahu hanya ada Diploma Tahfiz al-Quran semata-mata, sebaliknya semua pelajar yang mengambil jurusan agama di peringkat sarjana muda wajib hafal al-Quran.


Saya mengambil contoh Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya - sudah tiba masanya akademi tersebut meletakkan syarat yang ketat sebelum graduannya lulus membawa balik segulung ijazah sarjana muda pengajian Islam. Tiada masalah jika diwajibkan bagi penganugerahan segulung ijazah usuluddin atau syariah seseorang graduan itu mestilah menghafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran, manakala graduan yang mengambil jurusan ilmu wahyu seperti di UIA - diwajibkan bagi mereka menghafal seluruh al-Quran terlebih dahulu sebelum dianugerahkan ijazah dalam jurusan tersebut. Adalah pelik jika seseorang mengambil jurusan ilmu hadis, tetapi hanya menghafal 10-20 buah hadis sahaja, manakala seseorang yang mengambil jurusan ilmu wahyu di UIA hanya menghafal 5-10 surah-surah penting sahaja - jadi bagaimana mungkin kita berupaya melahirkan generasi al-Quran?


Hakikatnya yang kita lahirkan pada hari ini ialah graduan agama yang hanya berminat untuk menjadi ahli politik, mengajar sebagai seorang guru atau menjadi pakar motivasi. Realitinya, kita tidak melahirkan generasi ulul albab - yang membongkar isi al-Quran dan menemui ilmu-ilmu baharu melalui kefahaman dan penghayatan al-Quran, seperti mana yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Perhatikan, tokoh-tokoh besar Islam yang lampau menghasilkan karya-karya yang unggul dan agung serta dihormati oleh dunia barat adalah bertitik tolak daripada penghayatan mereka terhadap al-Quran. Perlu juga diingatkan bahawa - semua tokoh unggul Islam yang lampau seperti Ibn Sinar, Al-Ghazali, As-Syafii, Ibn Kaldun, Ibn Isyhak, Ibn Taimiyyah, Ar-Razi dan banyak lagi telah menghafal al-Quran seawal usia 10 tahun! Dan sesungguhnya, al-Quran hanya boleh benar-benar dihayati dan difahami melalui dua kaedah penting ini, iaitu melalui penguasaan bahasa Arab dan penghafalan (kerana penghafalan memerlukan pengulangan, dan pengulangan pula memerlukan pemahaman). Wallahualam.

November 5, 2009

Konvensyen Blogger PAS 2009 : Jelapang Padi Yang Kosong


Konvensyen Blogger PAS 2009
Jelapang Padi Yang Kosong


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Lajnah Penerangan PAS Pusat (LPPP) mengambil inisiatif mengadakan Konvensyen blogger PAS, ekoran beberapa polimik besar parti itu yang dilihat berpunca dari media baru itu. Konvensyen yang masih belum diputuskan tarikh dan tempatnya itu akan mengumpulkan semua blogger PAS di peringkat pimpinan pusat, negeri, kawasan dan ahli di cawangan. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika dihubungi berkata, konvensyen itu antara lain bertujuan menjadikan blogger PAS sebagai kumpulan yang memperbetul persepsi masyarakat terhadap PAS.


"Kita mahu blogger kita (PAS) ini menjadi orang yang memperbetul persepsi dan tanggapan PAS dalam gerbang maya ini," katanya ketika dihubungi. Medium Konvensyen ini juga katanya dilihat mampu memberi peringatan kepada blogger dikalangan PAS agar mereka sedar dan tidak menjadi sebahagian dari penabur fitnah kepada parti itu. "Orang banyak fitnah PAS sekarang ni, jadi kita tidak mahu blogger kita ni pun tumpang sekaki merosakkan parti dengan persepsi salah ini," katanya lagi. Penganjur juga katanya berhasrat menjadikan blogger PAS ini sebagai kumpulan yang mampu berdepan kumpulan 'cyber troopers' Umno BN dalam usaha mematahkan hujah yang dilempar kumpulan itu. Menurut beliau lagi, konvensyen tersebut juga akan memberi pendedahan kepada para perwakilan yang hadir tentang etika kewartawanan dan kaedah penulisan yang betul. Beberapa tokoh dan panel yang mempunyai kredibeliti dalam bidang masing-masing akan dijemput membentangkan kertas kerja dan berkongsi pengalaman berkaitan. Namun ianya hanya terbuka kepada blogger yang mempunyai nombor keahlian PAS sahaja. Mereka diminta mendaftarkan diri dengan menghubungi Sekreteriat Penerangan PAS Pusat di talian 03-2692500 atau menghantar email ke penerangan.paspusat@yahoo.com


Ulasan Saya :PAS Semakin kehadapan dalam soal ini berbanding dengan UMNO. Sehingga kini, tidak kedengaran Ketua Penerangan UMNO Kebangsaan mahu menganjurkan Konvensyen Blogger UMNO seperti yang dilakukan oleh PAS. Saya melihat, salah-satu kelemahan jentera penerangan UMNO adalah kerana ketiadaan sifat proaktif dan terikut-ikut cara lama dalam membuat apa-apa keputusan. Saya akui, terdapat perjumpaan yang bersifat tertutup antara para blogger popular dengan tokoh-tokoh penting UMNO - namun demikian, cara tersebut hanya akan menyebabkan fitnah, di samping menyisihkan para blogger amatur yang pada hakikatnya begitu ramai menyokong UMNO.


Saya cadangkan, agar UMNO segera mengambil langkah yang drastik dengan mengadakan Konvensyen Blogger Penyokong UMNO pula, UMNO perlu menghimpunkan seramai yang boleh para blogger yang jelas menyokong dan membela pihak kerajaan serta UMNO dan bukan hanya memilih dua atau tiga orang blogger sahaja yang dijamu dengan makanan dan maklumat dalaman. Dalam hal ini, nampaknya, PAS sekali lagi berada di hadapan demi memastikan para pejuang sibernya terus-menerus dijaga dan disemai dengan baik. Sebaliknya, Pemuda UMNO Malaysia dan segelintir tokoh-tokoh politik UMNO hanya menjaga satu dua kerat blogger yang dianggap popular bagi menaikkan imej peribadi mereka semata-mata. Saya lihat, UMNO masih belum serius untuk menjadikan para blogger sebagai pejuang baris hadapan bagi menghadapi pejuang-pejuang maya PAS dan PKR dalam PRU yang akan datang. Walau apa-apa pun alasanya, dalam soal ini saya terpaksa memuji PAS kerana bijak melakukan Konvensyen Blogger Penyokong PAS yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia- dan UMNO harus segera bertindak dan mengambil pengajaran dalam menghadapi perkembangan ini - Malah, UMNO perlu membuang sikap elitnya dan hanya menjemput blogger-blogger terpilih sahaja ke Putrajaya untuk sessi perbincang- sebaliknya buatlah satu perjumpaan blogger yang lebih telus dan bersifat terbuka serta dijemput secara hebahan besar-besaran. Wallahualam.

November 4, 2009

Anwar, Haji Hadi dan Nik Aziz 2009 : Tiba-tiba Sejarah Membelok


Anwar, Haji Hadi dan Nik Aziz 2009
Tiba-tiba Sejarah Membelok


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mempergunakan Pas demi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Anwar merasakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, adalah penghalang besar kepada cita-citanya itu.''Saya setuju dengan pendapat bahawa idea kerajaan perpaduan Pas-UMNO bukan isu utama mengakibatkan kemelut dalam Pas.

''Sebaliknya ia peranan Anwar di belakang tabir Pas yang menjadi punca krisis ini. Ia alasan mengetepikan kewujudan Abdul Hadi yang dilihat mampu menenggelamkan kredibiliti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melihat permasalahan dalam Pas bukan saja melibatkan golongan pro-UMNO tetapi juga anti-Anwar. Mohd. Puad berkata, pemimpin Pas prokerajaan perpaduan seperti Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali yang dilabel pemimpin bermasalah oleh mursyidul am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini, juga menjadi kerisauan kepada Anwar.

''Anwar memang resah dengan cara Hassan di Selangor yang susah berkompromi dengan banyak tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan PKR itu. Ia salah satu sebab Anwar melaga-lagakan Pas,'' katanya. Tambahnya, ramai ahli Pas belum sedar permainan Anwar kerana mereka masih mempercayai ikrar Pas untuk tetap bersama pakatan pembangkang. Kata Mohd. Puad, Anwar juga dilihat mahu mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman PKR kepada masalah dalam Pas.

''Pemimpin PKR tidak henti-henti terlibat dengan masalah moral dan peribadi, jadi Anwar cuba mengalihkan perhatian rakyat mengenai ini dan menjadikan ia masalah Pas.

''Sepatutnya Pas sedar bahawa Anwar sedang resah jika dia tidak dapat menghapuskan Abdul Hadi, maka cita-citanya akan tertutup,'' katanya.


Ulasan Saya : Sudah lama saya mahu mengulas isu perbalahan Kerajaan Perpaduan ini. Saya ingin jelaskan secara jujur dan amanah, secara berterus-terang dan tanpa berselindung bahawa dalam soal Kerajaan Perpaduan - Haji Hadi dan golongan yang menyokong idea tersebut sama-sekali tidak boleh dipersalahkan. Mereka berada di pihak yang benar. Yang bermasalah dalam soal ini ialah Nik Aziz. Tiada kompromi dalam isu ini. Nik Aziz yang tidak mahu mengikut saranan al-Quran yang jelas menyuruh mana-mana umat Islam yang saling bergaduhan atau bersengketa - adalah wajib didamaikan. Semua orang tahu ahli PAS beragama Islam, begitu juga dengan ahli UMNO - tiada pertikaian dalam hal tersebut, jadi mengapa Nik Aziz harus menolak gagasan Kerajaan Perpaduan? Soal sama ada niat UMNO ikhlas atau pun sebaliknya - hanya Allah sahaja yang tahu.


Saya tetap menyokong pandangan awal Haji Hadi yang jelas secocok dengan kehendak al-Quran. Ada keikhlasan dalam diri Haji Hadi berkenaan isu Kerajaan Perpaduan. Haji Hadi tampak jelas cuba mengikut petunjuk al-Quran, tetapi malangnya Nik Aziz tetap berdegil dan memberikan pelbagai alasan yang karut dan tidak menepati kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi. Namun demikian, kekecewaan harus juga diketengahkan terhadap sikap dan pendirian Haji Hadi - adalah jelas Haji Hadi sanggup mengabaikan perintah al-Quran yang jelas menyuruh umat Islam agar bersatu-padu, demi mengejar kepentingan politik PAS yang sempit, di samping mengikut arahan songsang Nik Aziz yang jelas bertentangan dengan perintah Allah. Apabila Allah dan Rasul-Nya menyuruh agar umat Islam bersatu dan taat kepada pemerintah - maka lakukanlah sahaja, jangan beri banyak alasan! Mengapa mesti merujuk kepada DAP dan PKR dalam soal ini.


Apakah Nik Aziz tidak tahu bahawa DAP dan PKR sama sekali tidak berjuang atas dasar Islam? Jadi mengapa PAS harus mengorbankan perjuangan sucinya semata-mata mahu mengejar habuan dunia yang sedikit ini? Apakah hanya mahukan kuasa, maka kita sanggup gadaikan segala-galanya? Termasuk prinsip perjuangan kita sendiri? Sebenarnya, polimik yang sedang melanda PAS adalah berpunca daripada kekeliruan dalam kalangan ahlinya terhadap dasar parti tersebut. Dalam ucapan dan ceramah politik, pemimpin-pemimpin PAS berapi-api mahukan Islam dan berjihad, sebaliknya dalam bentuk perbuatan pula - mereka lebih menunjukkan sikap mahu mengejar pangkat, kedudukan dan kuasa, manakala hukum-hakam ditolak ke tepi. Saya lebih suka jika PAS jangan terlibat dengan politik - tumpukan sepenuhnya terhadap kerja-kerja dakwah. Jika Nik Aziz menolak UMNO kerana dasarnya yang tidak bersifat Islamik - maka begitu jugalah dengan Anwar Ibrahim. Apakah Nik Aziz yakin Anwar Ibrahim mahukan hukum Hudud? Apakah Nik Aziz yakin Anwar Ibrahim mahukan negara Islam? Jawapannya mudah - nahi, nahi, nahi Anwar tidak mahu semua itu - jika Anwar mahukan semua itu - bukankah lebih baik beliau menyertai PAS sahaja?


Jadi adalah jelaslah Anwar Ibrahim tidak berkongsi perjuangan dengan PAS. Apakah di dalam dasar perjuangan PKR ada tertulis untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara? Bukankah Nik Aziz tahu hakikat perjuangan PKR dan Anwar Ibrahim sebenarnya tiada sengan semua itu? Jadi mengapa Nik Aziz tetap bertegas mahukan kerjasama dengan DAP dan PKR? Setelah penat mencari jawapan - akhirnya saya menuju ke arah satu kesimpulan yang penting, iaitu - matlamat perjuangan Nik Aziz bukan lagi mahukan Islam- sebaliknya mahukan kuasa, mahukan kemenangan dan mahu melihat UMNO hancur - itu sahaja tak lebih dan tak kurang. Matlamat untuk menegakkan negara dan hukum Islam sudah hilang dalam kamus perjuangan PAS - semua niat suci itu sudah tiada - yang ada hanyalah Anwar Ibrahim. Sebab itu saya percaya - PAS akan hancur jika terus begini dan tidak mahu kembali ke pangkal jalan - PAS akan dimakan dan dimamah sumpahnya sendiri. PAS melaungkan, "marilah kita ikut al-Quran dan ikut Hadis Nabi", tetapi apabila al-Quran dan Hadis nabi menyuruh umat Islam yang bersaudara agar kembali berdamai - maka muncullah Nik Aziz, orang pertama yang menolak saranan tersebut - Islamkah kita?


Pada hemat saya - PAS tidak perlu mengadakan EGM, atau konvensyen atau apa-apa perhimpunan bagi membincangakan persoalan "mahu membersihkan PAS daripada anasir UMNO yang menyokong Kerajaan Perpaduan" - apa yang perlu dilakukan oleh PAS hanya satu, iaitu ikut sahaja suruhan al-Quran dan As-Sunnah - bukankah PAS sendiri meletakkan dasar perlembagaan tertinggi parti tersebut ialah al-Quran dan As-Sunnah? Maka, perlu apa diadakan konvensyen atau EGM jika jawapannya sudah ada di dalam al-Quran? Ambil sahajalah. Isu Kerajaan Perpaduan sudah ada jawapannya di dalam al-Quran, sewaktu Haji Hadi mengusulkan cadangan Kerajaan Perpaduan, Haji Hadi sudah merujuk al-Quran melalui ayat ke-10 dalam surah al-Hujrat yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."


Lantaran itu, pada pandangan saya dalam soal ini Haji Hadi berada di pihak yang benar, manakala Nik Aziz berada di pihak yang salah. Cuma, soalnya sekarang adalah sejauh mana ahli-ahli PAS mampu menerima perintah al-Quran dalam ayat tersebut. Pada saya - jika isu Kerajaan Perpaduan dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya, semua masalah akan selesai dan terjawab. Tidak perlu kita adakan EGM atau Mesyuarat Tergempar atau apa-apa sahaja perjumpaan andaikata semua ahli PAS mahu merujuk ayat ke-10 dalam surat al-Hujrat itu. Saya sudah muak untuk bercakap soal ini. Penyelesaian sudah berada di depan mata - tetapi kita sengaja mahu mengikut hawa nafsu dan syaitan. Wallahualam.

November 3, 2009

Asri & Azli 2009 : Pedang Bermata Dua


ASRI & AZLI 2009
Pedang Bermata Dua



Maafkan saya kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini - kesibukan tugas dan kerja-kerja amal menyebabkan saya terlepas untuk mengulas beberapa isu terkini yang sedang melanda negara tercinta kita. Namun demikian, setelah membaca beberapa posting di blog-blog tertentu berhubung isu penahanan mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin oleh JAIS dua hari yang lalu - menyebabkan saya terpanggil bagi membela kebenaran. Isunya sangat mudah! tidak terlalu sukar untuk mencari siapakah dalang yang melakukan kerja-kerja keji tersebut - memburukan nama Dr Asri sebagai golongan yang sesat akidahnya, semata-mata beliau berfahaman salaf-as soleh yang terang-terang bermazhab ahli sunnah wal jamaah. Strategi memburuk-burukan golongan salaf- as-soleh serta perbuatan kotor lagi hina (semoga Allah menyedarkan golongan tersebut) yang dilakukan terhadap Dr Asri dan golongan ini sudah berjalan begitu agresif sejak lima tahun belakangan ini - kepada mereka yang jahil dan buta mata hati dalam melihat kebenaran, segala hujah-hujah golongan yang menentang golongan salaf-as-soleh ini diterima bulat-bulat tanpa berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah.



Saya dengan rendah diri - tanpa ragu, harus dan wajib mempertahankan kebenaran yang sudah pasti! saya bukan mahu mempertahankan manusia yang bernama Dr Asri - sebaliknya yang kita pertahankan adalah kebenaran - tuduhan karut dan keji yang dilemparkan oleh golongan yang anti kepada metod salaf-as-soleh harus ditentang habis-habisan. Tiada apa-apa pun kesalahan dalam memahami Islam melalui uslub dan manhaj salaf-as-soleh - kecuali bagi mereka yang jahil dan iri hati. Islam hanya boleh difahami secara betul melalui pendekatan salaf as-soleh seperti mana yang dilakukan oleh Imam-imam muktabar dahulu (termasuklah Para Sahabat Nabi, Imam 4 Mazhab, Hambali,Malik,Syafie,Ahmad,Ibn Taimiyah, dan banyak lagi). Percubaan memburuk-burukan gerakan salaf as-soleh di Malaysia dipercayai didalangi oleh seorang Ustaz yang sangat membenci golongan ini. Tuduhan-tuduhan seperti kafir, sesat dan aqidah batil, acapkali didengari dalam kalangan ceramah-ceramah golongan yang anti golongan salaf-as-soleh. Mereka tidak hanya mengkafirkan Dr Asri, bahkan turut mencadangkan hukuman bunuh terhadap golongan ini - ucapan seorang pemimpin kanan PAS di dalam YouTube yang mendakwa, pada pandangan beliau Dr Asri layak dihukum pancung sahaja - yang peliknya, tiada pula kedengaran apakah pula hukuman bagi parti yang bersengkongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam?



Saya ingin memberi peringatan yang jelas bahawa terdapat gerakan yang ingin menghancuran golongan salaf- as-soleh di Malaysia - dakwaan-dakwaan palsu yang dilemparkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia terhadap Dr Asri harus segera ditolak. Manakala masyarakat pula harus segera didedahkan dengan metod sebenar salaf-as-soleh yang selama ini sangat janggal dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Pada hemat saya, sudah tiba masanya, umat Islam di negara ini kembali memahami Islam melalui metod generasi salaf-as-soleh seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah. Kita harus faham salaf-as-soleh bukanlah satu mazhab baharu - sebaliknya merupakan metod dan kaedah untuk umat Islam memahami Islam sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW dan kemudian diwarisi pula oleh para sahabat, dan seterusnya diikuti oleh para imam muktabar yang terdapat dalam sejarah Islam. Maka, saya syorkan kepada sesiapa yang masih baharu mengenali salaf-as-soleh, eloklah mendalaminya terlebih dahulu- sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman yang kita sendiri tidak ketahui.



InsyaAllah akan saya kupas persoalan salaf-as-soleh dalam posting-posting saya yang akan datang. Semoga Allah memelihara pejuang-pejuang yang mempertahankan Sunnah Rasulnya dan menghancurkan golongan yang sengaja mengada-adakan fitnah terhadap golongan dan pendukung salaf-as-soleh di negara ini. Kepada Dr. Asri, percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang benar, seorang Asri jatuh, seribu Asri akan bangkit. Dan sesungguhnya, saya salah satu mata pedang yang akan membela golongan salaf-as-soleh ini.Amin.

October 24, 2009

Nik Aziz 2009 : Terbaliknya Bola Hitam Mataku


Tuan Guru Nik Aziz 2009
Terbaliknya Bola Hitam Mataku


MUAR 24 Okt. — Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar Pas mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkannya daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti itu sedang berhadapan dengan masalah kepimpinan yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun Muhyiddin mengakui cadangan Nik Aziz itu sebagai satu “masalah dalaman” Pas tetapi ia tetap menunjukkan pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam parti pembangkang.

"Ia adalah serius (masalah kepimpinan dalam Pas). Pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam Pas. Nik Aziz vs (Datuk Abdul) Hadi Awang vs (Datuk) Nasharuddin Mohd Isa vs Datuk Husam Musa,” katanya pada kepada pemberita hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan karnival Edufest@Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas tulisan Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM itu diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin Pas yang bermasalah. - Bernama


Ulasan Saya :

1. Terjadinya masalah dalaman PAS ini adalah disebabkan, PAS tidak mengamalkan Islam yang sejati. Dengan erti kata yang lain, dibibir PAS berkata kita ikut al-Quran dan Hadis, tetapi dalam bentuk perbuatan PAS tidak melaksanakan perintah Allah yang jelas melarang umatnya mengumpat, mencaci dan mencari kesalahan para pemimpimnya.


2. Apa yang berlaku dalam PAS kini bertitik tolak daripada niat parti itu yang tidak ikhlas. PAS berniat untuk menumbangkan BN/UMNO semata-mata dan bukannya untuk melaksanakan dakwah dan pemerintahan Islam yang sebenar.


3. Niat PAS yang ikhlas dahulu sudah hilang - sekarang PAS mahukan kuasa dan kedudukan, manakala kebenaran sudah diketepikan. Pada hemat saya, adalah salah jika PAS berkata bahawa Muktamar PASlah yang akan menentukan hala tuju parti tersebut - sepatutnya Nik Aziz harus berkata, al-Quran dan as-Sunnahlah yang menentukan hala tuju PAS.


4. Nik Aziz sebenarnya keliru - beliau mahu menegakkan Islam tetapi caranya salah. Islam tidak akan tertegak andai kata PAS terus bersengkongkol dengan musuh Islam iaitu DAP. Nik Aziz harus faham, dasar DAP bukanlah Islam, dasar PKR juga bukanlah Islam - maka hujah yang mana satukah Nik Aziz ambil bagi menghalalkan kerjasama haram tersebut bagi menegakkan hukum Allah?


5. Mengapa PAS berpecah-belah - jawapannya mudah, PAS tidak mentarbiyyah ahli-ahlinya seperti mana Rasulullah mendidik masyarakatnya. PAS lebih banyak berceramah politik dan membuka aib pemerintah, berbanding dengan mengasuh ahli-ahlinya agar taat serta mengerjakan suruhan Allah. banyak ahli-ahli PAS di kampung-kampung terbiar begitu sahaja. Tidak dididik dan tidak ditarbiyyahkan - malah ramai dalam kalangan mereka yang cetek pengetahuan agama dan hukum hakam - masih banyak yang menghisap rokok, menjadi mat rempit, tidak menutup aurat dan berakhlak rendah - tetapi mereka menyokong PAS. Kita harus faham mendampingi PAS tidak bermaksud mendekati Islam. PAS bukan Islam dan Islam bukannya PAS. PAS hanya mahu kemenangan politik dan bukan mahu mendidik masyarakat - lantaran itulah mereka bercakaran sesama sendiri.


6. Sudah tiba masanya Nik Aziz disingkirkan daripada kerusi Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan - jelas ketika ini Nik Aziz hanya mengundang fitnah dan liabiliti terhadap PAS. Maka, PAS harus segera mengadakan EGM untuk menyingkirkan Nik Aziz Nik Mat. Jika tidak, sejarah Manek Urai akan berulang kembali. Wallahualam.

October 23, 2009

Universiti Malaya, Aku Cinta Kamu!


Universiti Malaya!
Aku Cinta Kamu!

Oleh Jyh Wee Sew


Para peminat menara gading akan terus menanti dengan debar mengenai senarai universiti terbaik. Laporan varsiti terbaik akan diterbitkan pada 2 hingga 4 November 2009 oleh Universiti Shanghai Jiatong. Sebelum itu, laporan 200 buah universiti terbaik sedunia Tinjauan Times Higher Education telah disiarkan pada 9 Oktober lalu.

Beberapa perubahan yang menarik ke atas universiti di Asia diperhatikan. Kedudukan sesetengah universiti terus berubah secara mendadak dalam senarai yang berlainan.

Dalam senarai universiti sedunia, Universiti Nasional Singapura (NUS) mengekalkan status sebagai universiti terbaik di Asia Tenggara iaitu di tempat ke-30 setara dengan kedudukan tahun lalu. NUS universiti keempat terbaik di rantau Asia. Tiga yang mendahuluinya ialah Universiti Tokyo, Universiti Hongkong dan Universiti Kyoto yang berada di tangga ke-22, ke-24 dan ke-25.

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menduduki tempat ke-14 dalam senarai universiti terbaik di Asia dan ke-73 terbaik sedunia. Namun, kedudukan NUS terus berubah apabila laporan Times diteliti lagi. NUS menduduki tangga ke-10. Universiti Hongkong pula menjadi johan dengan mengalahkan Universiti Tokyo yang hanya meraih tempat ketiga.

Tempat kedua disandang oleh The Chinese University of Hongkong. Jelas, aspek penyelidikan sebagai komponen penting kegiatan universiti diutamakan dalam penilaian tadi.

Jika skop disempitkan daripada 200 kepada 70 buah universiti terpilih di Asia, pencapaian universiti di rantau ini masih boleh dipertingkat.

Dalam jeda 30 hingga 40, hanya nama tiga buah universiti Asia Tenggara yang muncul iaitu Universiti Mahidol, Universiti Chulalongkorn dan Universiti Malaya di tempat ke-30, ke-35 dan ke-39. Hanya sebuah universiti yang layak ke jeda 41 hingga 50, iaitu Universitas Indonesia yang menduduki tempat ke-50. Seterusnya Universiti Kebangsaan Malaysia mencapai tempat ke-51 diikuti dengan Universitas Gadjah Mada bersama University of Philippines di tempat ke- 63. Universiti Sains Malaysia sempat ke tangga ke-69. Yang peliknya, universiti ke-30 terbaik di Asia (Mahidol) tidak muncul langsung dalam senarai universiti terbaik sedunia.

Yang ada hanya universiti ke-35 dan ke-39 terbaik di Asia merangkap universiti ke-138 (Chulalongkorn) dan ke-180 (Malaya) terbaik di dunia. Masing-masing membuat loncatan yang besar sebanyak 28 dan 50 tempat daripada kedudukan asal dalam senarai universiti terbaik sedunia Times 2008. Mungkin laporan Universiti Shanghai Jiatong akan menjanjikan sesuatu kelainan yang lebih menarik hati. Mungkin juga hasilnya lebih menyirap darah.

Daripada pengalaman lepas, laporan dari menara gading China itu lebih ketat kerana ia bersifat kuantitatif dan teknikal. Hasil terbitan bertauliah dan anugerah antarabangsa tertinggi, seperti penerima Hadiah Nobel dan Hadiah Pulitzer, pemerolehan kakitangan dan bekas pelajar sesebuah universiti menjadi ukur taranya. Jika terdapat nama universiti di Nusantara yang timbul dalam senarai 100 universiti terbaik Shanghai Jiatong, maka terserlahlah pencapaian dan ketokohan menara gading tersebut.


Ulasan Saya : Tahniah kepada Universiti Malaya!, sebagai bekas pelajar UM, saya tetap berasa gembira dan bangga atas kejayaan universiti tersebut dari segi rangking yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Saya percaya kejayaan ini sudah tentu akan meningkatkan lagi daya saing antara universiti tempatan, malah, tidak mustahil juga mewujudkan kecemburuan dalam kalangan universiti, khususnya universiti tempatan yang sudah bergelar Universiti Apex. Apa-apa pun, persaingan harus sihat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

October 22, 2009

Ibrahim Ali 2009 : Jalan Pintas Sejarah


Ibrahim Ali 2009
Jalan Pintas Sejarah


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, belum terdapat sebarang keperluan untuk beliau menyertai semula UMNO dalam masa terdekat ini. Menurutnya, terdapat beberapa sebab mengapa beliau mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas termasuk tidak mahu dituduh kembali menyertai parti itu kerana ia semakin kuat.

"Saya suka membuat penjelasan secara muktamad hari ini iaitu walaupun saya menyambut baik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya berpendapat atas beberapa sebab, belum lagi ada keperluan bagi saya menghantar borang menyertai UMNO.

"Saya tidak mahu orang ramai membuat andaian saya menyertai UMNO kerana parti ini sekarang bertambah kuat, disebabkan kepentingan peribadi, mengejar pangkat atau pun dibeli mana-mana pihak," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu semalam bahawa parti berkenaan tidak pernah menyekat sesiapa yang berhasrat menyertainya termasuk Ibrahim.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, kemasukan itu masih tertakluk kepada prosedur, syarat serta peraturan terutama melibatkan permohonan daripada bekas ahli.

Menurut Ibrahim, sebab lain beliau tidak menyertai UMNO ialah kerana ingin menjaga kewibawaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajuinya supaya ia tidak dituduh menjadi alat pada mana-mana kumpulan. Dalam pada itu, katanya, beliau kini cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan negara dan rakyat kerana parti itu sekarang bersikap lebih terbuka untuk dikritik berbanding Pas.

"Saya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin. Saya suka dengan suasana UMNO sekarang di bawah pimpinan baru yang lebih terbuka dan boleh menerima apa jua kritikan.

"Kerjasama dengan Pas pula hanya ketika pilihan raya umum lalu. Saya tidak menjadi ahli parti itu kerana apabila saya memberi teguran dan kritikan yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak supaya saya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat," ujarnya.

Mengenai kemungkinan beliau menyertai UMNO suatu masa nanti, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkannya jika beliau melihat parti itu semakin lemah dan perlu dibantu.

"Apabila saya mendapat ilham dan saya kira sudah bersedia untuk menyertai mana-mana parti politik apatah lagi UMNO yang menjadi parti saya dahulu, maka saya akan buat keputusan.

"Mungkin dua bulan, enam bulan, setahun atau sampai kepada tempoh Dewan Rakyat yang ada sekarang ini dibubar untuk diadakan pilihan raya umum," kata Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Katanya, dengan kekal sebagai wakil rakyat Bebas, beliau boleh menjadi mata dan telinga rakyat dan akan memberi teguran membina jika terdapat kesilapan dilakukan kerajaan.

"Walaupun saya orang kecil, saya menganggap diri saya sebagai orang perjuangan. Saya boleh hidup di padang pasir dan di lautan luas. Saya yakin dengan semangat juang yang ada, saya boleh menghadapi cabaran-cabaran ini," ujarnya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin UMNO Kelantan, ujarnya, hubungan itu amat baik dan beliau bersedia membantu sekiranya diperlukan.

"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin UMNO Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu. Apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan," katanya.


Ulasan Saya : Biarlah saya berterus-terang bahawa, saya lebih gemar jika Ibrahim Ali kembali ke pangkuan UMNO - hati, jiwa dan mindanya adalah UMNO. Walauapa pun tuduhan yang dilemparkan kepadanya, seperti ahli politik yang suka melompat-lompat, tetapi Ibrahim Ali sehingga kini masih belum kedengaran bahawa beliau adalah seorang perasuah, berumah besar dan "main perempuan" - yang penting Ibrahim Ali mempunyai prinsip yang jelas berkenaan politik. Keikhlasan beliau sangat jelas selepas tidak lagi bersama UMNO - dan bergerak memperjuangkan nasib orang Melayu, khususnya orang Kelantan melalui NGO (Perkasa) yang ditubuhnya sendiri. UMNO sangat-sangat memerlukan ahli seperti ini - yakni ahli yang tidak mudah dicucuk hidung dan pandai angguk sahaja. Walaupun Ibrahim mempunyai sejarah politik yang sangat dramatik - tetapi itu hanya melibatkan soal prinsip perjuangan. Jika seorang perasuah boleh diterima semula menjadi calon pilihan raya kecil, maka tiadalah masalah rasa untuk UMNO menerima semula Ibrahim Ali - kerana beliau bukanlah membuat dosa sebesar seorang perasuah, peliwat atau pun penzina. Dan pada fikiran saya, DS Najib dan TS Muhyiddin cepat-cepatlah memancing semula Ibrahim Ali, agar beliau kembali ke pangkuan UMNO, sekali gus mengukuhkan UMNO Kelantan. InsyaAllah, dengan kelibat batang tubuh Ibrahim Ali di dalam UMNO, mungkin sejarah kekalahan UMNO di Kelantan berubah wajah. Wallahualam.

October 21, 2009

Anwar Tewas Lagi


Anwar Tewas Lagi


PUTRAJAYA 20 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal meneruskan rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman fitnah RM100 juta terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan rayuan Anwar. Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad turut memerintahkan Anwar membayar kos kepada Dr. Mahathir.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Julai 2007 yang membatalkan samannya terhadap Dr. Mahathir yang menuduhnya seorang homoseksual pada persidangan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 9 September 2005.

Dengan keputusan ini, bermakna mahkamah tersebut tidak akan mendengar rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dijadualkan pada 2 November ini.

Hakim Abdul Malik turut menolak dengan kos permohonan Anwar untuk lanjutan tempoh masa bagi membolehkannya memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Melayu.

Dalam permohonan membatalkan rayuan Anwar yang difailkan pada 2 Oktober lalu, Dr. Mahathir mendakwa, terdapat beberapa kecacatan dalam memorandum rayuan menyebabkan rekod rayuan tidak sempurna dan tidak boleh diperbaiki.

Peguam Datuk V.K. Lingam yang mewakili Dr. Mahathir berhujah, antara kecacatan tersebut ialah Anwar tidak mematuhi peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 apabila memorandum rayuannya dibuat dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Melayu.

Memorandum tersebut juga, katanya, tidak ditandatangani oleh peguam cara perayu, tidak mempunyai tarikh spesifik, tidak mengandungi kronologi peristiwa kes serta gagal melampirkan indeks rekod rayuan dengan teratur.


Ulasan Saya : Anwar tewas lagi kepada gurunya Tun Mahathir untuk kali ketiga berturut-turut. Anwar Ibrahim tewas kepada Mahathir buat pertama kali pada tahun 1998 - apabila beliau secara terang-terangan cuba memburukkan imej Presiden UMNO melalui isu kronisme dan nepotisme yang dicanang oleh juak-juaknya, hal ini termasuklah dengan penglibatan Datuk Seri Zahid Hamidi yang menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada ketika itu - namun demikian, usaha tersebut menemui kegagalan. Anwar tewas buat kali kedua kepada Mahathir dalam pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999 apabila mendakwa bahawa beliau dianiaya, difitnah dan terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya dari kerusi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Dengan melakukan demontrasi serta menjadikan masalah peribadinya sebagai masalah nasional dan rakyat jelata - Anwar cuba menjatuhkan Mahathir melalui peti undi dan saluran demokrasi - tetapi, sejarah membuktikan Anwar tetap gagal! Dan kini - untuk kali ketiga berturut-turut, Anwar tewas untuk mengheret Mahathir ke kancah muflis melalui undang-undang dan mahkamah - maka, apakah kita semua masih tidak dapat melihat wajah kebenaran lagi? Anwar tetap berdegil mendakwa bahawa beliau berada di pihak yang benar, tetapi hampir semua tanda yang telah Allah berikan kepada kita menunjukkan sebaliknya. Tepuk dada tanya iman. Wallahualam.

October 20, 2009

Tafsir Al-Azli : Zuhud Cara Terbaik Kurangkan Tekanan


Tafsir Al-Azli
Zuhud Cara Terbaik Kurangkan Tekanan

Oleh Muhammad Azli Shukri


Menurut definasi bahasa, erti lafaz zahida fiihi wa’anhu, zuhdan wa zahaadatan, ialah berpaling daripada sesuatu, meninggalkan sesuatu itu kerana kehinaan atau kerana kekesalan kepadanya. Lafaz zahuda fi asy-syai’i ertinya tidak memerlukan. Jika dikatakan zahida fi ad-dunyaa, ertinya meninggalkan hal-hal yang halal dari dunia kerana takut hisabnya dan meninggalkan yang haram dari dunia itu kerana takut siksaannya. Inilah erti dan makna umum bagi perkataan zuhud tersebut, seperti mana yang dijelaskan oleh Imam Waki’ bin al-Jarrah di dalam kitab terkenalnya, Kitabuz-Zuhud.



Walaubagaimana pun, kebiasaanya, kefahaman masyarakat awam terhadap kehidupan zuhud itu seringkali dilingkari dengan pakaian compang-camping, rambut kusut-masai, dan baju lama yang penuh dengan tampalan-tampalan, di samping hidup dalam keadaan dhaif kerana ingin menunjukkan rasa benci dan menolak dunia. Faham semacam ini merupakan fahaman yang terpesong jauh daripada kebenaran serta membelakangi Sunah Rasulullah. Lantaran itu, zuhud terhadap dunia bukanlah bermakna meninggalkan dan melupakan habuan kita di dunia ini, kerana Allah telah pun berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (al-Anbiya 105).



Hal ini bermakna, dunia ini telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya yang soleh bagi menjaga, menguasai dan mentadbirnya dengan sebaik mungkin. Justeru itu, zuhud tidak bermaksud menyuruh kita meninggalkan dunia dan mengejar akhirat semata-mata. Sebaliknya, zahid kepada dunia merupakan ubat yang terbaik untuk menghadapi pengaruh meterialistik (kebendaan) yang semakin kuat merosakkan umat Islam dewasa ini. Bahkan, pangkat, harta serta nama adalah perlu sebagai wasilah untuk melaksanakan perintah Allah.



Dengan kata lain, zuhud mengelakkan diri kita daripada dipengaruhi oleh harta, nama dan kedudukan. Tuntutan kebendaan untuk memenuhi nafsu sendiri serta bermegah-megah sesama manusia, akhirnya akan mencambahkan tekanan (stress), sekali gus merosakkan jiwa, jika ia tidak segera diubati. Masyarakat Barat, masalah mental dan sakit jiwa, sering dikaitkan dengan masalah tekanan yang tinggi terhadap tuntutan meterialistik, khususnya apabila mereka tidak berupaya lagi untuk memenuhi nafsu serta mengerja kehendak meterialistik yang terlalu tinggi, akhirnya, kaedah kotor akan digunakan, seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya. Apabila kegiatan haram mereka ini terbongkar, maka tekanan mula hadir dan bertambah-tambah, di samping rasa bersalah dan dosa mula menghantui kehidupan seharian.



Hal ini ditambahkan lagi dengan pandangan serong masyarakat dan hilangnya kepercayaan dalam kalangan anggota keluarga serta rakan-rakan mereka – menyebabkan tekanan perasaan semakin kuat dan membimbangkan. Di Malaysia, kehidupan yang berteraskan tuntutan meterialistik semakin mencengkam kuat ke atas diri orang-orang Islam. Mereka semakin bernafsu menimbunkan harta untuk diri sendiri dan bukan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Pada hari ini, rata-rata individu Islam semakin dihimpit dengan masalah tekanan perasaan yang sangat kronik.



Kereta mewah yang berderet, rumah sewa berpuluh-puluh, nilai saham berjuta-juta, namun semuanya masih gagal membina kebahagian dan ketenteraman. Sebaliknya, yang bertambah hanyalah kerusingan, kebimbangan, dan tekanan – akibat daripada harta-harta yang bertimbun dan tidak diinfakkan ke jalan Allah. Hasilnya, kita semakin jauh daripada keredhaan dan kasih sayang Allah. Bertitik tolak daripada itu, Rasulullah telah mengajar umatnya cara untuk mengatasi dan menghindari tekanan perasaan yang datangnya daripada pengaruh kebendaan ini.



Seorang sahabat Rasulullah bernama Uqbal telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud, “Tidak zahid seseorang itu di dunia, melainkan Allah menumbuhkan hikmah di dalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidahnya untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia, dan Allah akan membawanya keluar daripada dunia menuju Darus Salam (syurga) dengan selamat.” Justeru itu, tekanan akan hilang kerana matlamat menimbunkan harta bukan lagi berpaksikan kepada hawa nafsu dan kepentingan diri, sebaliknya keredhoan Allah yang dicari.



Seorang ulama nusantara pernah berkata, “Adalah nyata bahawa zuhud merupakan syarat penting bagi kesempurnaan iman. Tanpa zuhud, sudah pasti manusia tidak akan menemui formula lain bagi menghidari pengaruh dunia, kerana dunia sering menerbitkan warna-warna yang mempersonakan nafsu manusia.” Warna-warna itu telah melalaikan manusia daripada melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.” Maka, adalah jelas fungsi zuhud tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendapatkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Apatah lagi dalam kondisi umat Islam pada hari ini yang dikelilingi dengan bermacam-macam kemewahan, dan jika tidak segera dibendung, ia mampu melalaikan kita daripada jalan Allah.



Sebaliknya, jika kita mampu melawaan godaan-godaan kebendaan ini, InsyaAllah kita mampu menjadi orang yang kaya-raya, tetapi tidak kedekut, orang yang ternama, tetapi merendahkan diri, orang yang berkedudukan, tetapi tidak sombong, seperti mana kehidupan para sahabat Rasulullah dan orang-orang yang diberi hidayah oleh-Nya. Hal ini, mengingatkan saya dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad melalui al-Hassan di dalam kitab terkenal beliau, Az-Zuhud, yang bermaksud, “Sesungguhnya, jika hasrat hamba itu tertuju ke akhirat, maka Allah mencukupkan bagi penghidupannya, dan menjadikan kekayaan di dalam hatinya. Jika hasratnya tertuju ke dunia, maka Allah membukakan apa yang lepas daripadanya, dan menjadikan kemiskinan ada di depan matanya, sehingga dia tidak memasuki waktu pagi, melainkan dalam keadaan miskin dan tidak memasuki waktu senja melainkan dalam keadaan miskin.”

October 14, 2009

UMNO 2009 : Mentera Patih Karma Wijaya


UMNO 2009
Mentera Patih Karma Wijaya


KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu digerakkan oleh seluruh warga UMNO bagi menjayakan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat. Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah.


Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah. “Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO relevan dengan putaran masa. UMNO perlu relevan memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru,” kata beliau dalam ucapan perasmian sulungnya itu yang dihadiri oleh 2,379 perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri. Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu perlu bermula dengan kesatuan minda (wahdatul fikr); dihayati dengan kesatuan hati (wahdatul qalb); bergerak dengan kesatuan amal (wahdatul amal); dan menuju kesatuan matlamat (wahdatul hadaf). “ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air.



“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.” Sambil merujuk peringatan Allah dalam ayat al-Quran surah al-Shof, ayat 4, Muhyiddin berkata, parti perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan, perlu bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, menurut perintah dan meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri. “Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.



“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu UMNO,” kata beliau. Timbalan Presiden menegaskan, UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas. “ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan.



“UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang,’’ katanya. Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi. “Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima rakyat,” jelasnya. Muhyiddin bagaimanapun menegaskan: “UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.”



Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah. “Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.” Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan.



“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak. “ Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara.” Dalam menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama, bangsa dan negara.



Ulasan Saya : Saya setuju dengan ucapan TS Muhyiddin semalam, cuma saya ingin menambah beberapa perkara :1. UMNO perlu membuang semua ahli-ahlinya yang mengamalkan politik wang - tidak mengira siapa pun individu tersebut.2. UMNO perlu menekankan soal agama dan penghayatan agama - dan bukan setakat membaca doa semata-mata.3. UMNO juga harus memastikan tempoh untuk seseorang itu memegang sesuatu jawatan sekitar dua atau tiga penggal sahaja.4. UMNO perlu mengutamakan kebenaran terlebih dahulu dan bukan untuk mencapai kemenangan semata-mata dalam pilihanraya.5. UMNO hanya perlu pemimpin yang bersih dan kelihatan bersih, baik dari aspek moral dan kerja. Tiada maknanya seseorang pemimpin UMNO itu turun padang, andaikata akhlak dan moralnya dipertikaikan oleh masyarakat.

October 12, 2009

UMNO 2009 : Jangan Datang Masa Hadapan


UMNO 2009
Jangan Datang Masa Hadapan


MELAKA 11 Okt. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pindaan perlembagaan parti yang dijangka diluluskan oleh seluruh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan akan lebih merakyatkan parti. Menurut beliau, pindaan tersebut adalah transformasi yang cukup besar kepada parti di mana proses pemilihan kepimpinan pada masa akan datang akan melibatkan lebih daripada 140,000 ahli. Katanya, penghapusan sistem kuota yang dijangka mendapat sokongan daripada seluruh perwakilan yang akan bersidang dari 13 hingga 16 Oktober ini sekali gus akan memberi ruang yang lebih luas kepada ahli menawarkan diri berkhidmat kepada parti.



Beliau menambah, cadangan pindaan perlembagaan parti adalah bertujuan bagi merealisasikan perubahan yang diperlukan oleh seluruh anggota UMNO hingga ke peringkat akar umbi. "Perhimpunan agung UMNO kali ini mempunyai dua sejarah tersendiri kerana ini adalah perhimpunan pertama di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden baru UMNO. "Sejarah kedua pula, akan melihat pindaan perlembagaan parti merupakan perubahan yang cukup besar kepada parti dan ia dilihat akan lebih merakyatkan UMNO," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-71 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini hari ini. Ahmad menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.



Beliau berkata, cadangan lain yang akan dikemukakan untuk dibahas pada perhimpunan itu mengenai penurunan kuasa yang lebih akan diberikan kepada Pemuda, Wanita dan Puteri yang secara automatik akan menjadi perwakilan ke peringkat bahagian. Selain itu katanya, pembayaran yuran seumur hidup juga akan turut mendapat perhatian daripada perwakilan. "Semua pindaan itu dijangka diluluskan oleh seluruh perwakilan yang akan membahaskannya pada hari pertama perhimpunan berlangsung. "Saya amat berharap perhimpunan ini akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya. Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan kepada semua perwakilan agar tidak membahaskan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan mana-mana pihak atau parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN). "Kita tidak boleh menyentuh hal-hal sensitif dan hasutan kerana itu sudah menjadi peraturan pada mana-mana persidangan UMNO," ujarnya. Beliau menegaskan, perkara tersebut kerap diingatkan kepada seluruh perwakilan sebelum berlangsungnya satu-satu perhimpunan UMNO.



Ulasan Saya : Belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada BN yang baru sahaja memenangi DUN Bagan Pinang. Semoga kemenangan ini akan memberi semangat baru kepada kita agar lebih bekerja keras dan memastikan rakyat kembali menyokong BN/UMNO. Namun demikian, orang-orang Melayu akan kembali menyokong parti tersebut, andaikata segala janji untuk melakukan transformasi di dalam UMNO berjalan dengan baik. Saya menyambut baik perubahan yang akan dilaksanakan dalam perlembagaan UMNO kelak - namun begitu, hanya satu sahaja pertanyaan saya iaitu : Apakah semua ahli UMNO boleh bertanding tanpa perlu ada kouta dan syarat-syarat tersembunyi yang tidak kelihatan?



Saya difahamkan, di dalam pindaan perlembagaan UMNO yang akan dilakukan kelak terdapat syarat tertentu untuk melayakkan seseorang ahli itu bertanding bagi merebut jawatan tertinggi di dalam parti, umpamanya kelayakan seseorang yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, haruslah sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut dan selepas itu, barulah seseorang itu layak dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dalam hal ini, saya merasakan bahawa ia masih belum memenuhi aspirasi sebenar ahli UMNO akar umbi. Sebaliknya, UMNO masih mengamalkan konsep hanya segelintir yang "sedang berkuasa" sahaja, yang berkelayakan untuk bertanding. Cubalah tuan-tuan fikirkan syarat yang tersenarai di bawah ini - adakah ia adil dan kelihatan adil? disamping memenuhi kehendak dan aspirasi ahli-ahli UMNO akar umbi yang sebenarnya? Wallahualam.


1. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya telah menjadi Timbalan Presiden selama dua penggal berturut-turut.


2. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Naib Presiden untuk dua penggal berturut-turut.


3. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Naib Presiden UMNO : Sekurang-kurangnya sudah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 2 penggal berturut-turut.


4. Syarat untuk dicalonkan/bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO/Ketua Wanita/Ketua Puteri : Sekurang-kurangnya sudah menjadi EXCO Pergerakan tersebut selama dua penggal berturut-turut.



5. Semua syarat ini turut akan dilaksanakan di semua peringkat kepimpinan UMNO, sama ada di peringkat Bahagian mahupun Cawangan. Kekecewaan saya hanya satu. Akhirnya ahli-ahli UMNO biasa yang digelar sebagai akar umbi seperti saya ini, tetap juga tidak mempunyai kuasa untuk memilih dan mencalonkan sesiapa yang kami fikirkan baik untuk parti. Malah, adalah sangat jelas bahawa syarat-syarat tersebut hanya menjadi kekangan serta duri dalam daging bagi mana-mana individu yang berpotensi dan amanah dalam perjuangan, untuk pergi lebih jauh di dalam parti. Semua syarat di atas pada realitinya hanya akan menyebabkan ahli akar umbi UMNO sudah tiada lagi pilihan calon yang banyak dan berkaliber untuk diketengahkah - akibat daripada syarat yang telah dikenakan itu.



Walaupun perlembagaan UMNO akan dipinda dengan mengizinkan lebih daripada 140 ribu ahli boleh mengundi - tetapi apakah maknanya semua itu, jika pilihan yang kami ada untuk mengundi calon yang layak adalah terhad? Saya mengambil satu contoh, jika ada seseorang ahli Pemuda UMNO yang ingin bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, individu tersebut tidak akan boleh bertanding sehinggalah dia menjadi EXCO Pemuda UMNO Malaysia selama dua penggal berturut-turut - akhirnya Pemuda UMNO akar umbi tetap tiada pilihan, melainkan hanya terus menyokong Ketua Pemuda UMNO yang sedia ada. Malah, sehingga kini, saya merasakan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang berkelayakan untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia - lantaran tidak memenuhi syarat yang diperlukan seperti di atas. Pada saya adalah tidak adil jika pucuk pimpinan tertinggi UMNO kelak hanya akan dipilih dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO semata-mata.



Bahkan adalah sesuatu yang karut juga, andaikata calon jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia hanya boleh dipilih dalam kalangan ahli EXCO Pergerakan Pemuda itu sahaja. Ini bukanlah demokrasi namanya, sebaliknya ia hanyalah sebuah ilusi. Memanglah ahli UMNO akar umbi diberi kuasa untuk membuang undi, namun demikian, pilihan yang kami ada sebenarnya adalah terhad. Saya mengharap UMNO dapat menilai semua ini. Wallahualam.

October 8, 2009

Bagan Pinang 2009 : 2 + 1 Berapa?


Bagan Pinang 2009
2 + 1 Berapa?


Saya sebenarnya sedikit risau dengan keadaan politik di Bagan Pinang, kerisauan itu adalah berasaskan kepada beberapa perkara tersebut :

1. Undi tentera yang didakwa akan berpihak kepada pembangkang, benarkah begitu? Menurut sumber tertentu, sudah kedengaran berlaku arus perubahan dalam kalangan tentera yang akan mengundi pembangkang secara besar-besaran. Ini satu hal yang serius. Soalnya sekarang mengapa mereka terpengaruh dengan dakyah pembangkang? Dan apa yang harus kita lakukan?

2. Dikatakan bahawa 65% generasi muda di Bagan Pinang masih kental menyokong pembangkang. Benarkah begitu? Apakah langkah Pemuda UMNO Malaysia dalam mendekati mereka?

3. Wujud undi sabotaj dalam kalangan ahli UMNO yang jujur berjuang dan sejak awal-awal lagi golongan ini menolak Tan Sri Isa Samad sebagai calon di kawasan tersebut - persoalannya berapa ramaikah golongan tersebut dan kesannya kepada undian untuk BN kelak?


Kesimpulan saya : Saya risau dengan keputusan yang bakal BN peroleh di Bagan Pinang kelak - saya merasakan sesuatu yang "tidak baik" akan berlaku dalam keputusan pilihan raya kecil di sana - namun demikian, saya berharap andaian saya itu adalah tidak benar - dan semua laporan di atas juga adalah tidak benar, malah saya sangat berharap laporan-laporan risikan yang telah saya dengar juga adalah tidak benar sama sekali. Wallahualam.

October 4, 2009

Islam Tulen Dan UMNO


Islam Tulen Dan UMNO

Oleh Dr.Mohd Asri Zainul Abidin

Saya tertarik dengan tulisan Dr. Asri di dalam Mingguan Malaysia hari ini. Saya 100% menyokong tulisan beliau. Semoga UMNO akan sedar dan kembali kuat. Marilah sama-sama kita hayati tulisan beliau ini. Wallahualam.


Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan 'orang politik' untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO. Islam itu sebagai addin dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.


Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: "UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen! UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera. Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa, ayat 136).


Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak! Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: "Allah taala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkan, mengukuhkan dan berterusan atasnya". Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.


Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik. Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara 'kampung' sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit. Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: 'anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum.


Baca sepenuhnya di drmaza.com

October 2, 2009

Anwar Ibrahim 2009 : Tersungkurnya Kebenaran


Anwar Ibrahim 2009
Tersungkurnya Kebenaran


Mengikut beberapa sumber, sama ada betul atau pun sebaliknya - saya tidak tahu. Mungkin rakan-rakan blogger yang lain lebih tahu dan arif. Kononnya Anwar Ibrahim sudah menemui DS Najib untuk berkompromi berkenaan isu liwatnya. Sebelum ini pula, heboh dikatakan bahawa ada tawaran yang berjumlah RM20 juta hendak diberikan kepada Saiful Bukhari agar menyelesaikan kes liwat ini diluar mahkamah. Namun demikian, hal ini masih menjadi tanda-tanya. Malah, DNA Anwar Ibrahim juga didakwa sudah diperoleh melalui sehelai rambutnya yang sempat diambil sewaktu debat berkenaan isu kenaikan harga minyak anjuran Agenda Daily antara Anwar dengan Menteri Penerangan pada ketika itu, Datuk Ahmad Shabery Cheek, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walau bagaimana pun, persoalan yang ingin diajukan sekarang adalah seperti berikut,


1. Benarkah Anwar pernah menemui DS Najib untuk berkompromi isu liwat dan ingin mencadangkan agar pada satu lagi PRU, Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri?

2. Benarkah Saiful Bukhari ditawarkan dengan wang berjumlah RM20 juta oleh Anwar?

3. Jika benar DNA Anwar sudah diperoleh, maka kes liwat antara beliau dengan Saiful semakin menemui titik temu dan penyelesaian.

4. Dan benarkah, Anwar akan dipenjarakan sebelum PRU Ke-13 kelak? bagi mengekang pengaruhnya?

5. Benarkah isu liwat ini mampu menghancurkan karier politik Anwar sekali lagi? dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

6. Apakah benar bahawa hanya Azizah sahaja yang benar-benar mengetahui kisah liwat Anwar dan enggan mendedahkan perkara yang sebenar?

October 1, 2009

Bagan Pinang 2009 : Bila Derita Menjerit


Bagan Pinang 2009
Bila Derita Menjerit


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana itu adalah pilihan parti. Menurut bekas Perdana Menteri, pandangan atau perasaan peribadinya tidak boleh lagi diambil kira kerana parti telah membuat keputusan secara sepakat.


"Ia bagus, kita akan menang," katanya selepas program A Meeting of Minds antara beliau dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes, Steve Forbes di sini hari ini. Ditanya apakah Barisan Nasional (BN) boleh menambah majoritinya jika menang di Bagan Pinang, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak boleh meramalkan perkara itu. "Saya tidak tahu itu, mungkin ia akan meningkat," katanya.


Jelas beliau, terletak di tangan pengundi untuk membuat penilaian apakah Mohd. Isa adalah satu pemilihan yang tepat. Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa beliau tidak merancang untuk berkempen bagi pihak BN di Bagan Pinang. Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu di Hospital Pakar Seremban (SSH) kerana jangkitan dalam darah.


Azman yang mewakili BN memperoleh 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu dengan kelebihan 2,333 undi. DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi iaitu 62.77 peratus pengundi Melayu, 20.74 peratus kaum India, 10.96 peratus Cina dan 5.54 peratus kaum lain.


Ulasan Saya : Saya mengingatkan diri saya dan para pembaca sekalian. Sesungguhnya kita akui kawasan Bagan Pinang merupakan kubu kuat UMNO - malah rata-rata ahli UMNO percaya bahawa UMNO akan menang di Bagan Pinang dengan majoriti yang lebih besar. Namun demikian, saya berharap agar kita tidak terlalu yakin, kerana kenyakinan yang terlalu tinggi kadang-kala akan memakan diri sendiri. Lihatlah contoh di Manek Urai - PAS terlalu yakin mereka boleh menang dengan mudah di sana, tetapi, akhirnya PAS hanya berupaya memperoleh 65 undi majoriti sahaja. Walaupun PAS menang - tetapi menang dalam tewas. Begitu juga di Bukit Gantang - kita yakin berupaya menumpaskan PAS, tetapi ternyata undi kaum Cina masih belum berubah. Pada pandangan saya, kempen yang dilancarkan oleh PAS, PKR dan DAP di Bagan Pinang lebih tertumpu kepada kaum India dan Cina - iaitu undi yang akan menentukan kemenangan kepada seseorang calon. Tetapi, kita harus faham bahawa niat PAS di Bagan Pinang bukanlah untuk menang kerana mereka akur Bagan Pinang merupakan kubu kuat UMNO, sebaliknya PAS hanya mahu mengurangkan majoriti yang telah diperoleh UMNO dalam PRU yang lepas (2333) - itu pun sudah memadai buat parti pembangkang. Jadi nasihat saya hanya satu, iaitu UMNO harus memastikan ahli-ahlinya turun mengundi, khususnya golongan muda. Malah, pastikan juga bahawa setiap penyokong UMNO itu sememangnya boleh membuang undi - jika tidak, ia hanyalah satu sokongan yang sia-sia. Wallahualam.

September 30, 2009

Bagan Pinang 2009 : Di Sini Putih Bukanlah Warna


Bagan Pinang 2009
Di Sini Putih Bukanlah Warna



Saya diminta oleh banyak pihak untuk membuat sedikit ulasan berkenaan calon BN di Bagan Pinang - iaitu Tan Sri Isa Samad. Jawapan saya mudah - saya tiada apa-apa lagi yang hendak dikomen. Rakyat lebih bijak dan tahu siapa yang lebih mereka suka. Mungkin untuk masa hadapan, akhlak pemimpin bukan lagi jadi ukuran untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya. Selepas ini, tiada lagi masalah untuk sesiapa sahaja yang ingin menjadi calon UMNO/BN dalam pilihan raya. Sama ada perasuah ke, pelacur ke, perompak ke, penzina ke atau peliwat ke - semua boleh dipilih menjadi pemimpin, akhlak adalah soal kedua, yang penting sekarang ini ialah kuasa - tidak kiralah siapa calon kita itu, sekali pun seorang perompak atau pencuri atau seorang perasuah, tetapi jika rakyat suka, maka pilih sahajalah. Lagi pun nak buat macam mana, kalau dah rakyat sendiri yang mahukan wakil rakyat mereka dalam kalangan perompak, pencuri, perasuah dan peliwat - apa lagi yang boleh kita buat, balun sajelah. Yang penting "akar umbi" happy.



Tanpa disedari, masyarakat kita semakin rosak dan dirosakkan. Dalam keadaan sekarang - untuk berasa kecewa pun dah tiada gunanya. Kata orang, itu kehendak rakyat, kehendak akar umbi - harus diutamakan. Tidak kiralah betul atau pun tidak pilihan akar umbi itu - yang penting, kita ikut sahaja apa-apa yang dikehendaki oleh mereka, kebenaran tolak ke tepi. Doa saya hanya satu - semoga BN menang, atau kita harus belajar semula untuk mengenal diri sendiri. Rupa-rupanya putih bukanlah warna bersih di Bagan Pinang. Nampaknya, kita masih takut terhadap ugutan boikot calon yang dicanag hebat oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab di Bagan Pinang, sehinggakan kita lebih mengutamakan kuasa daripada kepentingan rakyat keseluruhannya. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua ini. Wallahualam. Tahniah Tan Sri!

September 26, 2009

Bagan Pinang 2009 : Jembalang Di Depan Pintu

Bagan Pinang 2009
Jembalang Di Depan Pintu


Perkara yang paling susah dan payah untuk diterima adalah kebenaran! Sekali pun sudah dibentangkan hujah dan dalil yang kukuh, namun demikian, hati manusia sangat tidak gemar mendengar dan menerima kebenaran. Isu berkenaan siapakah calon yang paling layak untuk diketengahkan sebagai calon UMNO di kerusi Bagan Pinang masih menjadi tanda-tanya dalam kalangan ahli-ahli UMNO. Masih ramai yang keliru apakah yang harus diperjuangkan oleh UMNO pada ketika ini - yakni pada saat UMNO dilihat sebagai parti yang lemah. Jawapan saya sangat mudah - UMNO pada saat ini perjuangannya hanya satu sahaja, iaitu membuang dan mengorbankan semua ahlinya yang jelas terlihat dengan politik wang dan rasuah - tidak kira seramai mana sekali pun - hatta jika UMNO hanya tinggal seorang sahaja ahlinya yang bersih maka lakukanlah, itu lebih baik.



Percayalah UMNO sama sekali tidak akan rugi menolak dan membuang mana-mana ahlinya yang terbukti terlibat dengan politik wang dan rasuah - hanya dengan cara ini sahajalah UMNO akan kembali seperti asalnya - memperjuangkan agama, bangsa dan negara seikhlas mungkin. Kepada DS Najib dan TS Muhyiddin, janganlah rasa gentar dan bimbang jika jawatan yang tuan berdua sandangkan itu tergugat lantaran kerana bertegas terhadap ahli-ahli UMNO yang melakukan rasuah dan politik wang - yakinlah tiada sesiapa pun yang mampu menjatuhkan tuan berdua selagi Allah tidak mengizinkannya.



UMNO tidak akan rugi apa-apa seandainya pemimpin UMNO yang mengamalkan politik wang seperti Khairy jamaluddin, Tan Sri Isa Samad dan Datuk seri Ali Rustam dikeluarkan daripada UMNO - dan UMNO tidak akan runtuh dan musnah kerana ketiadaan mereka dan para penyokongnya, sebaliknya UMNO akan semakin segar bugar dan kukuh. Malah, jika semua Ketua UMNO Bahagian mengamalkan politik wang dan mereka dipecat serta dikeluarkan daripada UMNO sekali pun, saya tetap yakin UMNO tidak akan hancur. UMNO hanya akan hancur selagi budaya "hulur" dan "salam berisi" menjadi amalan harian ahlinya.



Saya akui, UMNO akan menderita untuk seketika apabila kita mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahli UMNO yang mengamalkan politik wang dan rasuah - UMNO akan dikecam dengan pelbagai tohmahan, umpamanya mengambil tindakan terpilih dan sengaja ingin menjatuhkan "orang-orang tertentu"- tetapi percayalah, penderitaan itu hanyalah bersifat sementara bagi UMNO - yakni sementara menanti ia dipulihkan kembali dengan kehadiran ahli-ahli UMNO yang bersih dan ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara menerajui kepimpinan bahagian masing-masing.



Tahukah kita bahawa di mana kita boleh menemui ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang? Golongan ini banyak terdapat dalam kalangan ahli jawatankuasa UMNO cawangan - hakikatnya golongan inilah yang banyak membuat kerja sewaktu berlaku sesuatu pilihan raya, mereka tidak mengharapkan imbuhan, cuma inginkan sedikit penghargaan - namun demikian, yang sering naik mencanak dan menjadi AJK Bahagian adalah golongan yang pandai membodek dan menghulurkan duit - tetapi tidak tahu buat kerja dan berucap. Sedikit demi sedikit golongan yang ikhlas berjuang disisihkan oleh ketua-ketua bahagian. Ketua-ketua bahagian lebih gemar mendampingi golongan yang kuat membodek, mengampu dan mudah dibeli - akibatnya UMNO kehilangan begitu banyak pemimpin pelapis dan ahlinya yang kental dalam perjuangan parti -manakala yang naik menjadi pemimpin adalah dalam kalangan perasuah dan pengamal politik wang. Maka secara tidak langsung terbentuklah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian yang terdiri daripada para perasuah dan pengamal politik wang! Walau pun kita hanya menerima RM20, untuk mengundi si fulan atau si fulan, itu tetap dikira duit rasuah!



Maka, apabila kita bercakap soal transformasi di dalam UMNO, adalah menjadi harapan rakyat dan golongan ahli UMNO yang ikhlas berjuang, untuk melihat tindakan tegas daripada DS Najib dan TS Muhyiddin dalam membersihkan UMNO sebersih yang boleh - malah, kita tidak perlu ada rasa kasihan kepada mereka yang melakukan dosa rasuah dan politik wang - golongan ini adalah musuh dalam selimut untuk UMNO, bahkan inilah musuh NO 1 UMNO yang harus dihapuskan terlebih dahulu - dalam Islam sesiapa yang menghulurkan rasuah dan menerima duit rasuah, tempat mereka adalah di dasar kerak neraka - apakah golongan ini harus dikasihani lagi?
------------------------------------------------------------------------------------------
Soal mereka sudah bertaubat atau pun tidak - itu soal kedua dan merupakan hubungan rahsia mereka dengan Allah SWT- kita tidak tahu sama ada taubat mereka sudah diterima atau pun ditolak oleh Allah - tetapi, dosa rasuah yang telah mereka lakukan itu sudah pun meninggalkan kesan negatif dan fitnah kepada UMNO dan ahli-ahlinya yang ikhlas berjuang, bak kata perpatah - kerana nila setitik rosak susu sebelanga dan kerana seekor lembu bawa lumpur habis semua lembu terpalit.



Saya tetap berpendirian bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk UMNO membetulkan dirinya. Inilah masanya untuk UMNO menjadi kuat semula. Dan inilah masanya untuk kita humba ke luar para perasuah yang masih bertenggek untuk meraih simpati. Tiada masa yang lebih sesuai - selain inilah masanya. Memang, tindakan ini agak sukar - tetapi percayalah UMNO hanya menderita untuk sekita sahaja dan "sakit"nya hanya sementara - biarlah jika sekali pun para perasuah ini mahu menyertai parti pembangkang - mereka akan tetap gagal dan tewas. Sama ada mahu atau pun tidak - UMNO terpaksa mengorbankan semua pemimpinnya yang jelas terlibat dengan rasuah dan disabitkan kesalahan sebagai pengamal politik wang.



Jika mereka masih mahu juga kekal dengan jawatan masing-masing, kita harus melakukan sesuatu, yakni menggugurkan atau menyisihkan mereka, secara bijak dan terancang. UMNO harus segera menunjukkan rasa benci terhadap perlakukan mereka itu - jika tidak, para perasuah akan tetap kekal dan bermaharajalela di dalam UMNO. Kita tidak harus ada rasa takut dan bimbang dengan ugutan para penyokong mereka - percayalah para penyokong mereka pun hanya berani bersorak sahaja - mereka bersorak kerana duit dan bukan untuk parti dan perjuangan yang suci. Sekali pun golongan ini membawa keluar para penyokongnya daripada UMNO, biarkanlah. Lagi pun UMNO tidak memerlukan para penyokong perasuah untuk menguatkan dan mengukuhkan UMNO. UMNO hanya akan kuat melalui ahli-ahlinya yang ikhlasUMNO tidak perlu rasa bersalah dan kehilangan jika terpaksa mengorbankan nama-nama pengamal politik wang seperti Khairy Jamaluddin, Tan Sri Isa Samad, dan Datuk Seri Ali Rustam - janganlah kerana terdapat rasa kasihan, maka kita tidak rela menghukum perbuatan mereka.



Yakinlah, seksa Allah terhadap pengamal rasuah adalah jauh lebih pedih dan menakutkan daripada hukuman yang dijatuhkan oleh UMNO! Golongan yang menyokong para pelaku rasuah juga harus segera disisihkan daripada UMNO, tiada bezanya mereka itu, yang memberi dan yang menerima sama sahaja dosanya. Mereka yang telah terbukti terlibat dengan politik wang harus segera dinasihat agar segera meletakkan jawatan dan berehatlah daripada politik - itu adalah lebih baik untuk mereka, walau sehebat mana pun kerja dan hubungan mereka dengan rakyat, namun soal rasuah tiada kompromi sama-sekali. Selagi UMNO tidak mengambil tindakan tegas dalam soal ini, maka janganlah bermimpi bahawa UMNO akan pulih untuk selama-lamanya. UMNO hanya memerlukan ahli-ahlinya yang bersih sahaja, hatta tinggal hanya seorang ahli UMNO sahaja yang bersih, maka itu adalah jauh lebih baik daripada 99 peratus ahlinya yang mengamal rasuah. Maka, fikir-fikirkanlah siapa yang harus kita pilih untuk calon UMNO di Bagan Pinang. Kita bukan menyokong UMNO kerana pemimpinnya, tetapi kita menyokong UMNO kerana keikhlasan dan amanah pemimpinnya! Wallahualam.

September 23, 2009

Tan Sri Isa Samad 2009 : Gendang Perang Yang Tidak Berbunyi

Tan Sri Isa Samad 2009
Gendang Perang Yang Tidak Berbunyi


MUAR 21 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan memilih calon yang berwibawa, dihormati dan mampu menjalankan tugas dengan baik untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Timbalan Perdana Menteri menegaskan, nama calon berkenaan yang memenuhi kriteria dan mengambil kira pandangan semua pihak akan diumumkan pada 29 September ini selepas perbincangan mengenainya selesai."Itu kriteria biasa kita gunakan. Penerimaan masyarakat setempat juga penting kerana mereka yang akan menjadi pengundi, itu juga akan diambil kira, kita mengambil kira semua perkara," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh di sini hari ini. Beliau mengulas persiapan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang dijadual pada 11 Oktober ekoran kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu. Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon adalah pada 3 Oktober ini manakala hari pembuangan undi pada 11 Oktober. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, BN akan menimbangkan pandangan pelbagai pihak termasuk yang mahu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan. Beliau berkata, mesyuarat pengurusan parti dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan baru-baru ini telah menyusun dan mengatur strategi serta langkah-langkah menghadapi pilihan raya.



Ulasan Saya : Saya pada kali ini tidak bisa lagi menyembunyikan perasaan kecewa dan menyimpan kata kecil hati saya lagi. Mohon ampun dan maaf jika tulisan saya pada kali ini melukankan hati ahli-ahli UMNO, khususnya UMNO Bagan Pinang. Namun demikian, itu tidaklah bermakna saya harus menutup mulut saya untuk bercakap perkara yang sebenar - demi memastiakan UMNO terus relevan dan diterima oleh rakyat kembali. Secara jujur dan berterus-terang saya mungkin merupakan ahli UMNO kedua selepas Tun Mahathir yang sangat keras menentang pencalonan Tan Sri Isa Samad sebagai calon pilihan raya kecil di Bagan Pinang - walau apa-apa juga alasan yang diberikan oleh para penyokongnya, saya dengan tegas tetap berpendirian, Tan Sri Isa Samad harus ditolak terus daripada menjadi calon UMNO di DUN tersebut.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Alasan saya amat mudah, pencalonannya itu hanya akan mengundang fitnah yang dahsyat kepada diri beliau, di samping menyemarakkan lagi api kebencian rakyat kepada UMNO, sekali gus rakyat akan membuat tohmahan bahawa transformasi yang ingin dilakukan oleh DS Najib dan Tan Sri Muhyiddin adalah palsu dan tidak ikhlas. Dalam hal ini, rakyat mahu DS Najib dan TS Muhyiddin bertegas bahawa mana-mana ahli UMNO yang sudah jelas terlibat dengan politik wang dan rasuah haruslah ditolak terus tanpa banyak soal dan rasa kasihan lagi, hal ini adalah jelas untuk menyelamatkan UMNO daripada golongan yang hanya mahu menimbunkan kekayaan peribadi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Kita tidak harus ada rasa serba salah dalam hal ini. Sebagai pemimpin tertinggi UMNO, DS Najib dan TS Muhyiddin harus bertegas dan berani berkata "tidak" kepada TS Isa Samad dan para penyokongnya di Bagan Pinang. Jika tidak, UMNO akan tetap dilihat sebagai parti yang masih sayangkan pemimpin-pemimpin korup. Rakyat biasa yang berada di luar DUN Bagan Pinang pasti akan kecewa jika Tan Sri Isa Samad masih menjadi pilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO, dan impaknya adalah besar terhadap maruah dan integriti UMNO secara keseluruhannya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Walau apa pun keadaanya, pencalonan Tan Sri Isa Samad harus segera dihalang dan digantikan dengan muka baru yang bersih daripada unsur rasuah dan politik wang. Hujah-hujah saya untuk menolak Tan Sri Isa Samad adalah seperti berikut :
-------------------------------------------------------------------------------------------------
1. UMNO sama sekali tiada hujah untuk membela Tan Sri Isa Samad dalam soal rasuah dan politik wang - hal ini adalah kerana, terbukti UMNO telah menjatuhkan hukuman bahawa Tan Sri Isa Samad didapati bersalah terlibat dengan rasuah dan politik wang. Ini merupakan senjatah yang paling ampun parti pembangkang bagi menyerang peribadi dan integriti calon. UMNO sudah tentu akan dituduh sebagai sebuah parti yang tidak pernah mahu insaf dan sedar diri, UMNO seolah-olah masih mahu menjadikan bekas perasuah sebagai calon pilihan raya. Malah, UMNO juga akan dilihat sebagai sebuah parti yang ketandusan calon dan pemimpin muda yang bersih daripada gejala rasuah dan politik wang. PAS akan mendakwa bahawa, "Lihatlah tuan-tuan semua, bekas perasuah dijadikan calon UMNO, UMNO sebenarnya masih tidak serik dan mahu bertaubat, niat murni DS Najib kononnya mahu UMNO kembali bersih adalah retorik dan janji kosong semata-mata. Apakah rakyat boleh diperbodohkan lagi dengan mengundi seorang perasuh? UMNO cuba memperbodohkan rakyat, tetapi rakyat bijak dengan menolak calon yang terbukti pernah terlibat dengan rasuah dan kita tidak mahu UMNO terus-menerus memperbodohkan para pengundi di Bagan Pinang agar mereka tetap memilih seorang perasuah sebagai wakil mereka di sana."
-------------------------------------------------------------------------------------------------
2. Implikasi menjadikan Tan Sri Isa Samad sebagai calon pilihan raya kecil hanya mengundang krisis kenyakinan yang berterus kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara. Kesannya bukan sekadar UMNO di Bagan Pinang semata-mata, sebaliknya memberi impak negatif kepada seluruh UMNO itu sendiri. Kita, kononnya mahu membersihkan UMNO daripada para rasuah dan pengamal politik wang, tetapi malangnya kita masih mahukan bekas perasuah sebagai calon kita - di mana kewarasan dan kebijaksanaan kita? Ahli-ahli UMNO yang ikhlas tidak akan yakin lagi terhadap UMNO, jika kita masih tidak mahu belajar daripada sejarah. Pembangkang pasti akan berkata, UMNO tidak bijak memilih calon bagi mewakili parti tersebut di DUN Bagan Pinang, sebaliknya rakyat yang lebih bijak jika menolak calon UMNO yang jelas terlibat dengan rasuah.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
3. Mari sama-sama kita fikirkan, sudah berapa lama Tan Sri Isa Samad menjadi MB Negeri Sembilan? Pada hemat saya, cukuplah dengan rezeki yang telah Allah kurniakan kepadanya selama ini. Sudah tiba masanya beliau bersara daripada politik. Jika benar Tan Sri Isa samad ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara, serta sayangkan UMNO, maka adalah lebih baik jika beliau bersara sahaja daripada politik - atau setidak-tidaknya lebih awal menolak sebarang pencalonan untuk dirinya bagi kerusi DUN Bagan Pinang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
4. Ajaib dan sedikit aneh, 33 orang ahli jawatankuasa UMNO Bagan Pinang sanggup menentang arahan kepimpinan tertinggi UMNO Pusat yang sebelum ini meminta agar disenaraikan 7 nama sebagai pilihan untuk dijadikan calon UMNO di DUN tersebut, sebaliknya AJK UMNO Bahagian tersebut sebulat suara hanya mahu menghantar satu nama sahaja kepada TS Muhyiddin - dan nama tersebutnya sudah semestinya TS Isa Samad - hal ini bukan sahaja menentang arahan Timbalan Presiden UMNO, malah menunjukkan seolah-olah sudah tiada lagi ahli UMNO di Bagan Pinang yang layak untuk menjadi calon UMNO selain TS Isa Samad sahaja! Dalam hal ini, Lembaga Disiplin UMNO harus segera menyiasat jika 33 ahli jawatankuasa UMNO Bagan Pinang yang bermati-matian menyokong pencalonan TS Isa Samad itu terlibat dengan sebarang kegiatan politik wang, atau mungkin juga telah dijanjikan dengan pelbagai projek jika TS Isa Samad kembali menjadi Wakil Rakyat di kawasan tersebut. Banyak fitnah dan tanda-tanya akan berlegar di dalam kotak minda rakyat, jika TS Isa Samad terus menjadi calon UMNO dalam pilihan raya kecil kawasan DUN Bagan Pinang kelak. Hal ini adalah berpunca daripada rekod peribadi TS Isa Samad sendiri yang selama ini terjejas teruk berhubung isu politik wangnya. Kita harus ingat, UMNO bukan sahaja mahu menang dengan majoriti 2333 undi sahaja, tetapi UMNO perlu menang dengan lebih besar di kubu kita sendiri serta kembali membina imej bersihnya di mata rakyat, dan bukan di mata rakyat Bagan Pinang sahaja.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
5. Cadangan saya, dalam soal ini kita harus akui Tan Sri Isa Samad mungkin dikelilingi dengan para pembodek dan penyokong yang mengharapkan imbuhan, jadi adalah lebih molek jika TS Isa Samad sendiri yang menarik diri dan bersara terus daripada politik. Kita harus sedar, dalam dunia politik, mana-mana ahli politik yang sudah terlibat dengan politik wang dan perempuan - mereka harus segera berundur dan bersara. Hal ini adalah jelas bahawa batang tubuh mereka hanya menjadi liabiliti dan fitnah kepada UMNO sampai bila-bila. Lantaran itu, saya secara ikhlas dan jujur mohon TS Isa Samad berundurlah, berilah peluang kepada muka baru untuk diketengahkan sebagai calon UMNO pada kali ini. Lagi pun, saya fikir tiada apa-apa lagi yang hendak dikejarkan lagi oleh TS Isa Samad dalam arena politik UMNO. Beliau sudah merasa segala-galanya, sebagai Menteri Besar, sebagai Menteri, sebagai Ahli Parlimen dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri - semua ini sudah memadai bagi seorang ahli politik yang menginginkan kuasa, pangkat, kekayaan dan pengaruh. Nasihat saya, bersaralah!
-------------------------------------------------------------------------------------------------
6. Kita akui, DS Najib dan TS Muhyiddin berada di persimpangan - ditelan mati emak, diluah mati bapak. Jika TS Isa Samad tidak terpilih, dibimbangi akan wujud unsur sabotaj dari dalam - umpanya, jentera pilihan raya tidak bergerak, tiada kerjasama dan komitmen daripada AJK UMNO Bahagian dan pelbagai lagi - malah tidak mustahil parti pembangkang juga akan menghasut para penyokong TS Isa Samad agar berpaling tadah serta mengapi-apikan mereka supaya ahli-ahli UMNO di bahagian tersebut bersengketa, mensabotaj dan saling berpecah. Semua ini pasti menguntungkan parti pembangkang. Kita tahu - DS Najib dan TS Muhyiddin berada dalam dilema. Namun demikian, ingin saya mengingatkan kepada mereka berdua- yakinlah kepada Allah, jika kita ikhlas mahu membersihkan UMNO daripada para perasuah dan pengamal politik wang - InsyaAllah, Allah pasti menolong hamba-hamba-Nya selagi mana mereka ikhlas dan menolak kemaksiatan dan dosa.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Maafkan saya jika ahli-ahli UMNO Bagan Pinang memarahi saya atas kritikan ini - namun demikian saya ikhlas dan hanya menyampaikan kebenaran yang nyata.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Jika harga sebuah pengorbanan yang harus dibayar oleh DS Najib dan TS Muhyiddin akibat daripada tidak meletakkan TS Isa Samad sebagai calon UMNO di DUN Bagan Pinang adalah dalam bentuk "sabotaj" dalam kalangan ahli UMNO di Bahagian tersebut - maka nasihat saya kepada DS Najib dan TS Muhyiddin agar segeralah bertawakal kepada Allah. Mohonlah pertolongan daripada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya Allah mengetahui keikhlasan DS Najib dan TS Muhyiddin dalam berjuang bagi memastikan UMNO bersih daripada para pengamal politik wang dan perasuah. Kepada Allah juga kita berdoa dan memohon - agar pada kali ini, UMNO tidak lagi silap meletakkan calonnya! Amin.

September 22, 2009

Hari Raya 2009 : Kita Mulakan Mimpi Baru

Hari Raya 2009
Kita Mulakan Mimpi Baru


Saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca setia blog saya selama ini. Mohon kemaafan juga kerana agak terlalu lama saya tidak mengemaskini blog ini. Hal ini bukanlah disengajakan, sebaliknya beban tugas dan kesibukan menyambut Aidilfitri baru-baru ini menyebabkan saya ketiadaan masa untuk menulis dan melayari internet.

September 11, 2009

Tarian Akhir Samy Vellu


TARIAN AKHIR
SAMY VELLU


KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kurang dari 48 jam sahaja lagi sebelum pemilihan parti MIC Sabtu ini, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan beliau mempunyai satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia Datuk S. Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai. Bagaimanapun, kata Samy Vellu, beliau tidak akan meletupkan bom hidrogen berkenaan kerana ia bukan tindakan baik untuk dilakukan oleh seseorang pemimpin ketika bakal menghadapi pemilihan parti.

Samy Vellu mendakwa, bekas Timbalan Presiden parti itu telah menyediakan beberapa butir ‘bom’ untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri.

‘‘Setakat ini, satu ‘bom’ pun tidak pernah meletup.

‘‘Tetapi saya ada satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia beliau dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam adalah salah seorang calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti Sabtu ini.

Sementara itu, Samy Vellu turut membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti itu dengan mengeluarkan kenyataan yang didakwanya menjejaskan maruahnya. Beliau menegaskan, Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin selain daripada MIC tidak berhak mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya bekas Perdana Menteri itu mempunyai masalah peribadi dengannya, ia harus diselesaikan secara baik.

‘‘Saya sangat menghormati beliau tetapi berasa sedih dengan tindakannya yang sengaja memberikan gambaran buruk terhadap diri saya.

‘‘Ini (mencampuri urusan pemilihan MIC) bukan tindakan baik yang boleh dilakukan oleh seorang pemimpin yang kini disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat di negara ini,’’ katanya. Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai yang berbunyi ‘Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk golongan kaum India di negara ini’.

Dr. Mahathir juga berkata, kaum India tidak wajar menyokong Samy Vellu lagi dan harus memilih calon yang berkaliber seperti Datuk S. Subramaniam yang bakal bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Samy Vellu menjelaskan, beliau telah melakukan yang terbaik kepada masyarakat India dan tidak pernah takut untuk menyuarakan pendapatnya ketika berada dalam Kabinet.

‘‘Dr. Mahathir pernah menghadiri Persidangan MIC Kebangsaan sebanyak 28 kali, kami pernah meminta beberapa peruntukan dan permintaan untuk kesejahteraan kaum India.

‘‘Tetapi satu pun tidak pernah diambil kira atau dipertimbangkan olehnya, ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri,’’ dakwanya.


Ulasan Saya :


1. Samy Vellu mesti letak jawatan dengan segera, jangan tunggu sampai orang benci baru mahu turun. Punca utama kaum India menyokong pembangkang adalah disebabkan oleh keengganan Samy Vellu untuk berundur dari kerusi presiden MIC. Pendek kata, kaum India sudah muak dan tidak mahu lagi kepada Samy Vellu. Beliau harus faham mesej ini.


2. Kaum India mudah didekati hal ini adalah kerana kehidupan harian mereka diselubungi dengan emosi, jika BN boleh mengawal emosi kaum India, maka PRU-13 InsyaAllah kaum ini akan kembali mengundi BN.


3. Jika, Samy Vellu masih belum mahu mengundur diri, maka disarankan agar Najib campur tangan, serta melakukan sesuatu agar Samy Vellu segera berundur, dengan cara itu sahajalah MIC akan selamat.


4. Jika Samy Vellu masih berdegil, saya syorkan MIC lantik sahaja beliau sebagai "Mursyidul AM MIC" yang kekal sampai mati.

September 10, 2009

Harakah 2009 : Hantu Di Gandola


HARAKAH 2009
Hantu Di Gandola


KOTA BHARU, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno supaya memperbetulkan pengertian sebenar aqidah di sisi Islam. Ini kerana tiada aqidah lain kecuali Islam sahaja. Menurutnya, kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah Umno seolah-olah menggambarkan pemimpin Umno menganuti aqidah lain.



Kata beliau "aqidah Umno" yang cuba dibawa pemimpin tertinggi parti itu sebenarnya fahaman yang salah kerana manusia tidak boleh mencipta aqidah sendiri. "Manusia tak boleh membuat aqidah sendiri, begitu juga PAS tidak boleh memperkenalkan aqidahnya sendiri kecuali berpegang pada aqidah atau ajaran Islam sebenar," katanya di pejabatnya hari ini. Baru-baru ini Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Kuala Krai meminta PAS jangan menuduh Umno Islam pada luaran sahaja.


Beliau juga mengingatkan PAS jangan sekali-kali mempersoalkan aqidah orang Umno. Ini, kata Najib, boleh timbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat. Nik Abdul Aziz berkata, apabila Umno membuat aqidah sendiri, ia jelas menggambarkan aqidah baru ciptaan parti itu. "Kalau pun kita ada dasar parti, dasar parti itu mesti diselaraskan dengan Islam dan bukannya membuat aqidah sendiri," ujarnya. Kata beliau apabila dasar parti mengikut acuan Islam sudah tentu ia tidak memberikan masalah kepada sesiapa juga. Katanya, kerana itu beliau sering mengingatkan pemimpin Umno supaya mengubah dasar parti dari kebangsaan kepada Islam kerana ia selaras dengan aqidah sebenar. "Kerana itu tiap-tiap orang mukmin akitivitinya kerana Allah, jadi saya hairan bila Umno menyebut istilah 'aqidah Umno'," ujarnya. Kata Nik Aziz juga, apabila manusia menolak hukum Allah, tarafnya seumpama setinggan di bumi ini.


Ulasan Saya : Harakah dan Nik Aziz semakin melampau akhir-akhir ini, dahulu puak ini jugalah yang menuduh kononnya akhbar media perdana yang dikuasai UMNO suka mengadu domba pakatan rakyat, dan sekarang, Hakarah pula yang jadi tukang bawa fitnah atas nama Islam. Nik Aziz juga sama, apabila beliau suka cakap yang bukan-bukan berkenaan Islam, mulalah tuduh kononnya media putar belit kenyataannya. Padahalnya budak sekolah rendah pun tahu bahawa tak ada bezanya perkataan antara “Ahli UMNO dengan Penyokong UMNO” – maksudnya sama sahaja, tetapi ini yang menjadi isu Nik Aziz, sehingga menyaman media rasmi kerajaan kononnya memfitnah beliau.


Masalah teknikal diperbesar-besarkan untuk menutup kelemanan diri sendiri. “Penyokong UMNO tak masuk syurga” itu kenyataan Nik Aziz, apakah ada bezanya dengan “Ahli UMNO tak masuk syurga”? Jika diamati, individu yang menjadi ahli UMNO sudah tentulah menyokong UMNO, manakala yang menyokong UMNO pula belum tentu menjadi ahli UMNO. Tak banyak beza pun antara penyokong UMNO dengan ahli UMNO, tetapi itu yang Nik Aziz pertikaikan. Malah, kita juga harus faham, penyokong UMNO belum tentu akan mengundi UMNO dalam pilihanraya. Jadi, yang sebetulnya Nik Aziz harus berkata, “Orang yang mengundi UMNO tak masuk syurga” – barulah tepat dengan apa yang Nik Aziz ingin sampaikan. Tetapi, apabila Nik Aziz berkata, “Penyokong UMNO tak masuk syurga,” kita harus soal balik kepada Nik Aziz, “Masuk syurgakah dengan menyokong DAP?”.


Dan sekarang, sekali lagi Harakah dan Nik Aziz buat hal. Jika mereka menuduh Berita Harian dan Utusan Malaysia suka buat fitnah berkenaan PAS dan pakatan pembangkang, maka janganlah Harakah dan Nik Aziz buat hal yang sama. Apabila Nik Aziz mengupas kata-kata DS Najib yang mendakwa “Jangan pertikai Aqidah UMNO”, bukanlah maksudnya UMNO mempunyai Aqidah selain daripada Islam. Dalam hal ini, terlalu mudah untuk memahami kenyataan DS Najib tersebut, maksud DS Najib adalah jelas, bahawa “PAS jangan pertikai Aqidah orang-orang UMNO yang beragama Islam itu”. Itu sahaja. Tak lebih dan tak kurang.


Soalnya, mengapa Nik Aziz dan Harakah memutar belitkan cerita seolah-olah maksud DS Najib ialah UMNO mempunyai Aqidah selain daripada Islam. Apakah DS Najib terlalu bodoh dan nyayuk dalam isu ini? Hanya orang-orang yang tidak ikhlas sahaja yang suka menabur fitnah dan mahu memburukkan orang lain, khususnya pemimpin negara dan membuat fitnah di bulan mulia ini. Inilah ciri Khawarij yang menyelubungi parti PAS. Nah! Sekarang semakin jelas Harakah sudah menjadi saluran media yang begitu galak menimbulkan fitnah dan bukan lagi untuk mencari kebenaran. Jika Harakah tidak suka suratkhabar perdana memutar belitkan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS, maka janganlah Harakah pula yang menjadi seperti itu. Jika tidak, maka sudah tidak ada bezanya lagi antara Harakah dengan Utusan Malaysia.

DAP Perintah Malaysia 2012?


DAP
PERINTAH MALAYSIA 2012?


Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?

PERNAH dengar istilah strategi pecah dan perintah? Dalam ilmu politik dan sosiologi, pecah dan perintah (atau dalam bahasa Inggeris divide and rule; istilah asalnya dari bahasa Latin divide et impera) ialah satu strategi yang menggabungkan tiga elemen iaitu politik, ketenteraan dan ekonomi.


Ketiga-tiga elemen itu bergabung bagi menguasai dan memelihara kuasa yang ada dengan memecahkan pengaruh dan kuasa yang besar kepada kecil-kecilan. Ini akan mengakibatkan kuasa kumpulan yang berpengaruh atau berkuasa itu berkurangan, berbanding pihak yang melaksanakan strategi itu.


Secara praktisnya, strategi ini digunakan untuk mengelakkan kumpulan kecil ini bergabung dan membentuk kuasa yang besar (atau sebaliknya). Strategi ini pernah dilakukan oleh pihak British ke atas Tanah Melayu. Memecahkan kaum-kaum dan negeri-negeri yang ada dengan meletakkannya dalam koloni dan sistem pemerintahan yang berasingan bagi memudahkan pihak Inggeris memerintah pada waktu itu.


Kemudian parti Perikatan, yang mengambil alih kekuasaan negara ini mengamalkan strategi itu apabila parti-parti yang mewakili kaum-kaum terbesar digabungkan - dengan mengetepikan parti-parti lawan yang enggan bersama mereka. Perikatan kemudiannya ditukar menjadi Barisan Nasional (BN) dan strategi itu kekal berjaya sehingga hari ini, selama 52 tahun.


Ia bertahan kerana orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat negara ini menguasai kuasa politik dan ketenteraan tanah air. Orang Melayu bergabung dengan kaum-kaum lain (Cina dan India) bagi membentuk satu kuasa yang kuat. Ia dibuat atas dasar hormat-menghormati dan percaya-mempercayai yang telah dimeterai atas ikatan Perlembagaan Persekutuan termasuk beberapa dasar yang dibentuk kemudiannya.


Walaupun ada sedikit masalah pertelingkahan kaum di pertengahan jalan, namun ia berjaya diselesaikan. Masing-masing lupa dengan perbezaan masing-masing dan semua pihak dalam pakatan itu berjaya menjana negara ini sehingga Malaysia di anggap negara yang makmur dan mewah. Namun, apakah strategi 52 tahun itu masih mampu bertahan? Secara akademik ia sudah mulai lemah.


Strategi pecah dan perintah itu mulai gagal setelah kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu itu mulai berpecah. Melayu tidak sepadu dulu lagi. Mereka sudah berpecah kepada beberapa kumpulan. (Baca Cuit: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti (25 Mac 2009), ia mengandaikan Melayu sudah berpecah enam. Pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang Cina boleh menguasai kuasa politik di negara ini.


Ia hanya boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.


Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat 'emas' Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.


Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh di agak.


Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada pilihan raya umum ke-13 kelak, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah di kalangan orang Melayu.


Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman dan keadilan mereka.


Orang Melayu tidak sedar yang mereka sedang diperkotak-katikkan untuk membenci antara satu sama lain dan antara sekutu-sekutu yang dulunya bersama mereka.Tiba-tiba orang Melayu bermusuh dengan orang Cina dan orang India. Sama ada ia disengajakan atau tidak atau wujud permainan dalaman atau luaran itu tidak pasti, tapi usaha-usaha untuk mewujudkan kebencian antara Melayu dan kaum-kaum lain semakin nyata sekarang.


Strategi pecah dan perintah serta pecah dan tawan (divide and conquer) kini berada dalam tangan pihak pembangkang. Mereka sedang bermain dengan strategi itu. Mereka sedang menguasai keadaan dengan sebaik mungkin. Orang Melayu yang tidak sedar dengan permainan itu turut serta dalam percaturan itu. Mereka gagal melihat muslihat di sebaliknya.


Strategi yang sama pernah dimainkan oleh sebuah pihak luar dan ia berjaya. Pihak yang dominan berpihak dengan satu kumpulan minoriti untuk mengetepikan satu lagi puak yang majoriti sedikit daripada puak minoriti itu. Kedudukan tinggi diberikan kepada puak minoriti itu dengan alasan puak majoriti tidak berupaya memegangnya. Sedikit demi sedikit puak yang ditekan itu terpaksa beralah. Akhirnya sehingga hari ini puak majoriti itu terpaksa melukut di tepi gantang. Ia adalah satu model strategi pecah dan perintah yang cukup licik untuk meminggirkan satu-satu puak.


Orang Melayu kini sedang mengalami proses tersebut. Kita sedang bermusuh dengan orang Cina yang pernah bersahabat baik dengan kita. Kita sedang bermusuh dengan orang India yang pernah bersahabat karib dengan kita. Tiba-tiba semua ini berlaku secara serentak. Orang Melayu sedang bermusuh dengan semua orang.


Ditambah lagi, ada pula pihak-pihak bermain dengan perang psikologi dengan sengaja menuduh orang Melayu adalah kaum yang rasis dan perlu dilawan habis-habisan. Golongan ini tahu apa yang mereka sedang mainkan. Suasana baik itu perlu dipecahkan kerana selagi perikatan itu kuat, pakatan tidak boleh berbuat apa-apa.


Di masa pengundi-pengundi Cina (dalam pilihan raya kecil) lari dari kerajaan pemerintah kerana melihatkan mereka ada advantage ekoran pilihan raya umum ke-12 lalu, orang India pula cuba dilaga-lagakan dengan Melayu.


Sama ada ini kebetulan atau tidak, kita tidak tahu. Tapi jika betul dan akhirnya orang India juga lari dari Melayu, maka pada masa itu gabungan peratusan undi Cina dan India akan menjadi penentu kepada kuasa politik tempatan. Orang Cina dan India akan bergabung untuk mengetepikan Melayu.


Tanpa disedari, para strategis ini (dalaman atau luaran) sedang mengatur strategi baru. Setelah melihat permusuhan Melayu-Cina-India sudah berjaya diwujudkan, mereka kini menuju kepada kumpulan yang lain pula. Mangsa seterusnya ialah anak-anak negeri dan etnik pribumi - Orang Asli, pribumi Sabah dan Sarawak.


Jika itu juga berjaya dan apabila kumpulan itu pula mula membenci orang Melayu atau orang Melayu juga membenci mereka, maka ia adalah penamat bagi segala-galanya. Orang Melayu pada masa itu akan turut melukut di tepi gantang.


Strategi pecah, perintah dan tawan oleh pembangkang nampaknya sedang berlangsung dengan sempurna. Ia adalah permainan taktikal dan akal. Yang alpa akan tewas.

Sumber : Utusan Online

September 9, 2009

Terima Kasih Kerajaan : Jadilah Manusia Yang Bersyukur


Terima Kasih Kerajaan!
Jadilah Manusia yang Bersyukur



Terima kasih kerajaan! Oleh kerana esok (10/09/2009) gaji bagi kakitangan kerajaan akan masuk ke akaun masing-masing, maka saya mengambil kesempatan ini untuk menasihat sesama kita agar sama-samalah kita berjimat-cermatlah dalam berbelanja. Banyakkan bersedekah dan kurangkan pembaziran dengan membeli barang-barang yang tidak perlu sempena musim perayaan ini. Apa-apa pun janganlah lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan bersyukurlah kepada Allah dengan apa-apa rezeki yang diberikannya. Janganlah kita menjadi manusia yang lupa diri dan mengutuk serta mencaci pihak kerajaan yang selama ini memberi kita peluang pekerjaan untuk kita menyara anak bini. Ingatlah, Allah tidak akan memandang orang yang tidak tahu bersyukur dan suka mencari buruk pihak lain, khususnya pihak kerajaan. Bagi para penyokong pembangkang atau ahli parti pembangkang yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, fikir-fikirkanlah, jasa kerajaan kepada hidup dan keluarga anda semua. Jangan kerana mengikut emosi, kita nafikan kebaikan pihak kerajaan. Jadilah manusia bersyukur, dan fahamilah maksud bersyukur itu bukanlah hanya dengan mengucap "Alhamdulillah" atau "Oh, terima kasih kerajaan" sebaliknya maksud bersyukur itu adalah dengan tidak memburuk-burukkan kerajaan yang juga merupakan majikan kita di samping tidak merendah-rendahkan para pemimpimnya. Wallahualam.

Khairy Jamaluddin 2009 : Masa Hadapan Tanpa Warna


Khairy Jamaluddin 2009
Masa Hadapan Tanpa Warna


PUTRAJAYA 8 Sept. - DAP adalah parti yang paling aktif dalam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun lalu. Ia diikuti oleh Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala yang paling lembap adalah MIC dan Gerakan. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika mendedahkannya berkata, rekod SPR itu adalah berdasarkan komitmen dan kerjasama positif parti-parti politik dalam menarik hampir empat juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, kerjasama SPR dengan parti-parti politik itu adalah menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) yang diberi kuasa oleh badan itu untuk berbuat demikian.

"PPS dari DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

"Daripada kutipan data pemilih baru sejak PRU-12, kita dapati kesedaran kaum Cina sebagai pengundi pilihan raya adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini. Wan Ahmad berkata, SPR menghargai daya usaha PPS dalam menarik minat orang ramai mendaftar menjadi pemilih memandangkan tanggungjawab besar yang dipikulnya berikutan setiap tahun terdapat 400,000 orang mencapai umur 21 tahun.

"Kumpulan PPS inilah yang paling berkesan dalam mencari dan mendaftarkan pemilih baru berbanding kakitangan SPR yang turun padang, diikuti di pendaftaran di pejabat pos dan kaunter.

"Tahun lepas terdapat kira-kira 2,000 PPS di seluruh negara. Mereka begitu rajin sekarang dan bila rajin, tinggilah pendapatan mereka yang diberi RM1 jika berjaya mendaftarkan seorang pemilih baru," katanya.

Sehubungan itu, Wan Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada SPR supaya menambah bilangan PPS sedia ada iaitu dari seorang setiap parti untuk satu Dewan Undangan Negeri kepada tiga hingga lima orang.

"Mungkin kita akan mencadangkan supaya setiap daerah mengundi diperuntukkan seorang PPS bagi setiap parti," katanya.


Ulasan Saya :


1. Nampaknya Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, harus bekerja keras untuk menarik minat pengundi muda dalam kalangan ahli Pemuda UMNO agar mereka segera mendaftarkan diri sebagai pengundi di SPR.


2. Fakta di atas jelas menunjukkan bahawa bangsa Cina amat prihatin terhadap masa hadapan mereka dalam politik. Setelah menguasai dunia ekonomi, kaum Cina di Malaysia semakin jelas bahawa mereka sangat berkuasa dalam menentukan hala tuju politik Malaysia pada masa akan datang. Perpecahan orang-orang Melayu pada hari ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh sesetengah pihak untuk mengukuhkan politik kaum masing-masing.


3. Orang Melayu masih leka dan tidak nampak bahawa kuasa politik dan agama Islam sebenarnya semakin terancam di bumi Malaysia. Malah, orang Melayu tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang ada pada mereka selama ini.


4. Sudah tiba masanya, sistem pendaftaran SPR dirombak dan dilakukan secara automatik apabila seseorang warganegara Malaysia itu mencecah usia 21 tahun.


5. Melayu bukan sahaja mudah lupa, tetapi mudah alpa. Jika lupa sahaja itu masih boleh diterima. Sebaliknya orang Melayu-Islam di Malaysia mudah alpa dengan segala ancaman yang sedang berlegar disekelilingnya. Kita selalu lupa hak kita dan alpa terhadap strategik kaum lain. Kita lupa bersyukur dan sering alpa memikirkan masa hadapan cucu-cicit kita nanti. Kita juga selalu lupa tentang sejarah bangsa kita sendiri dan alpa terhadap kebangkitan kaum lain. Fikir-fikirkanlah bangsaku. Wallahualam.

September 8, 2009

Tan Sri Isa Samad 2009 : Karakatua Muntah Lagi!


Tan Sri Isa Samad 2009
Karakatua Muntah Lagi


Pemimpin Umno Bahagian Telok Kemang umumnya ingin melihat mantan menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Ketua Pemuda bahagian Mohd Faizal Ramli berkata, Isa yang mengetuai bahagian itu, ingin dicalonkan lagi kerana beliau masih dihormati di kalangan pengundi.

"Rakyat masih menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan beliau," katanya.

Mohd Faizal menegaskan pilihanraya kecil kali ini bukan boleh diambil mudah kerana BN telah tewas di tujuh daripada lapan pilihanraya kecil sebelum ini – satu daripadanya, di Penanti, tidak ditandingi.

"Ini bukan pilihanraya main-main, ia adalah satu pilihanraya yang kritikal," katanya yang juga timbalan pengarah jentera pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

"Dan ini adalah kubu kuat BN yang perlu dipertahankan, malah majoriti perlu ditambah agar Umno dan BN masih relevan dan masih diterima oleh rakyat.

Bahagian itu akan mengadakan mesyuaratnya Khamis ini bagi membincangkan calon yang akan bertanding di kerusi tersebut dan persiapan serta strategi jentera BN.

"Saya sokong Tan Sri Isa, fokus kepadanya supaya jentera kita dapat bergerak lebih awal. Faktor calon penting iaitu yang diterima oleh rakyat dan parti," katanya.



Ulasan Saya : Mungkin saya tidak layak bercakap soal siapakah calon yang paling layak untuk mempertahankan DUN Bagan Pinang. Hal ini sudah tentulah kerana saya bukan pengundi dan penduduk di sana. Namun demikian, izinkan saya memberi sedikit komentar berhubung isu ini, agar UMNO tidak melakukan kesilapan seperti mana yang berlaku di Permatang Pasir baru-baru ini. Mungkin ramai yang tidak tahu senario sebenar yang berlaku di dalam UMNO berkenaan bagaimanakah cara terbaik untuk memilih seseorang yang difikirkan layak bagi dicalonkan sebagai ADUN/Ahli Parlimen di sesuatu kawasan itu. Dalam kes DUN Bagan Pinang ini senarionya adalah seperti berikut :


Tan Sri Isa Samad merupakan Ketua UMNO Bahagian tersebut - dari segi senioriti seharusnya Ketua UMNO Bahagianlah yang mesti diangkat sebagai calon pilihan raya. Ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya perpecahan UMNO di bahagian tersebut, di samping menghindari daripada undi protes dan kelumpuhan jentera pilihan raya yang tidak bergerak ekoran ketidakpuashatian sesetengah pihak. Pucuk pimpinan tertinggi UMNO pasti berhadapan dengan dilema ini. Mungkin satu pihak tidak mahu Tan Sri Isa Samad dicalonkan, kerana beranggapan bahawa dengan meletakkan beliau sebagai calon UMNO, maka parti pembangkang lebih mudah membongkar segala salah laku politik wangnya selama ini. Sekali gus memburukkan lagi keadaan politik di sana. Tetapi, jika pucuk pimpinan tidak mencalonkan beliau, boleh jadi para penyokong Isa Samad pula yang akan memberontak serta melakukan undi protes dan tidak mahu bekerjasama bagi menggerakkan jentera parti untuk membantu calon yang telah dipilih itu.



Inilah dilema yang sering berlaku di dalam UMNO. Kita harus jujur dalam soal ini, dan merombak kembali sistem pemilihan calon pilihanraya yang sudah ketinggalan zaman. Selama ini, budaya dalam pemilihan calon-calon pilihanraya yang mewakili UMNO adalah berasaskan kepada senioriti dan kedudukan jawatan di dalam UMNO bahagian tersebut. Umpamanya, calon pilihanraya yang harus mewakili UMNO mestilah terdiri daripada Ketua Bahagian, atau pun Timbalan Ketua Bahagian, atau pun Naib Ketua Bahagian, atau pun Setiausaha Bahagian dan kemudian, barulah lain-lain jawatan. Perlukan kaedah ini dikekalkan lagi pada ketika ini? Bagaimanakah pula jika Ketua Bahagiannya, Timbalannya, Naibnya, Setiausahanya terlibat dengan rasuah? Masihkan UMNO mahu menjadikannya mereka sebagai calon pilihan raya juga?



UMNO perlu merangka satu mekanisma yang lebih telus dalam memilih ahlinya yang berupaya untuk diketengahkan sebagai calon pilihanraya. Pada hemat saya, mana-mana ahli UMNO pun boleh dipilih sebagai calon pilihanraya - yang penting riwayat hidupnya yang bersih dan pendidikannya pun "ok" (sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pertama). Pada hari ini, pengundi semakin bijak, pengundi muda makin bertambah. Golongan ini lebih suka melihat title dan pendidikan sebagai asas untuk memilih seseorang sebagai wakil rakyat di kawasannya.



Jika ditanyakan kepada saya, saya berpendirian bahawa Tan Sri Isa Samad tidak harus dipilih sebagai calon UMNO untuk DUN Bagan Pinang. Hal ini bukanlah kerana saya ingin merendah-rendahkan jasa dan kredibiliti beliau selama ini, sebaliknya senario politik pada hari ini - khususnya untuk UMNO sudah semakin kritikal. Tersilap langkah dan percaturan, maka tunggulah balasannya. Kita tidak mahu pembangkang menjadikan segala sejarah silam Tan Sri Isa Samad sebagai modal politik mereka untuk berkempen. Pembangkang pasti mendakwa, "Tengok UMNO dah tak ada tokoh lain untuk diketengahkan, terpaksa ambil orang lama dan bekas perasuah sebagai calonnya, bukankah ini bukti UMNO semakin nazak? Tak ada calon muda lagi ke UMNO nie?". Sekarang, nah! apa yang hendak kita jawab, jika itu modal dan strategik pembangkang bagi menjatuhkan kredibiliti calon pilihan kita? Kita tiada jawapannya.



Kita harus akui - kerana kita sendiri yang telah menghukum Tan Sri Isa Samad dahulu, dan sekarang kita terimannya kembali untuk menjadi calon parti kita dalam pilihanraya. Bukankah itu sesuatu perkara yang pelik dan aneh? Sekali pun seluruh jawatankuasa UMNO Bagan Telok Kemang menyokong Tan Sri Isa, itu tidak bermakna rakyat akan menyokong UMNO. Pada hari ini, nada UMNO Bahagian sudah tidak sama lagi dengan nada rakyat jelata. Mungkin UMNO Bahagian suka kepada seseorang calon itu, tetapi rakyat tidak suka, dan boleh jadi rakyat suka, tetapi UMNO Bahagian pula yang tidak suka. Jadi mana keutamaan kita sebenarnya? Nak dapatkan calon yang disukai rakyat dan UMNO Bahagian, saya fikir buat masa ini agak sukar. Bukan UMNO tiada tokoh dan calon yang lebih baik di Bahagian masing-masing, tetapi, budaya kita yang suka mencatas bakat muda selama ini, menyebabkan UMNO dilihat seolah-olah tiada pelapis, ditambahkan pula apabila seseorang Ketua UMNO Bahagian itu terlalu lama memegang jawatan tersebut, sehingga ramai golongan muda bertambah muak dan mula berjinak-jinak dengan parti pembangkang.



Kesimpulannya, jika UMNO tidak mahu kehilangan moral, maka pilihlah calon lain dan bukan Tan Sri Isa - saya bercakap jujur, beliau bagus bekerja tetapi kondisi politik sekarang, saya fikir tidak mengizinkan untuk Tan Sri Isa "come back" dalam arus perdana politik Malaysia. Pada saya, sekali pun Tan Sri Isa mampu mempertahankan DUN Bagan Pinang, saya yakin majoriti UMNO akan merosot - dan ini sudah tentu akan menjadi modal pembangkang untuk mendakwa bahawa UMNO semakin hilang sokongan rakyat. Kita harus faham 10% pengundi Cina di DUN Bagan Pinang sebenarnya yang akan menentukan sama ada UMNO akan menang atau pun kalah. Wallahualam.Maafkan saya jika tulisan ini menyinggung hati mana-mana pihak.

September 7, 2009

Anwar Ibrahim 2009 : Berakhirnya Kepastian


Anwar Ibrahim 2009
Berakhirnya Kepastian


KUALA LUMPUR 6 Sept. – Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran. Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional berkata, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah.

“Saya bukanlah hendak membuat kesimpulan dalam perkara ini. Namun inilah gambaran yang dapat dilihat.

“Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral.

“Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin.

“Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan,” jelasnya.

Tambah Chandra, mahkamah tidak harus dipersalahkan ekoran penangguhan demi penangguhan yang berlaku. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Yang buat demonstrasi jalanan apa hal?

‘‘Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia,” katanya di sini semalam.

Bekas pembantu peribadi Anwar iaitu Saiful Bukhari Azlan dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut. Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata ‘‘Jika Anwar tidak bimbang, tak bersalah, hadapi sahaja kes. Apa juga pembelaan, buat di dalam mahkamah. Bukan buat huru-hara di jalan”.

Beliau yakin apa yang berlaku hari ini terutama di Perak adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan. Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.

‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?

‘‘Kalau saya tak boleh buat begitu, bagaimana dia boleh lakukan kepada unit pendakwaan kita dengan mengatakan pendakwa ini satu masa dulu kononnya pernah buat laporan tidak betul. Ini tak logik, mengarut,” katanya.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.

‘‘Yang patut dia bimbang ialah hakim bukan pendakwa itu. Pendakwa, dia mendakwa sahaja. Kalau dia marah pada Anwar, apa benda pun yang dia boleh buat pada Anwar?

‘‘Tetapi kalau hakim itu merupakan orang yang mungkin keadilannya berat sebelah, kita boleh minta supaya dia tidak dibenarkan mengadili kes,” katanya.


Ulasan saya : Ada beberapa perkara yang dapat saya simpulkan di sini. Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim tidak takut untuk berhadapan dengan mahkamah dan kebenaran. Pada hari ini, tiada apa-apa pun yang menakutkan Anwar Ibrahim. Sama ada betul atau pun tidak beliau meliwat Saiful, itu bukanlah pokok isunya- malah, isu ini juga tidak berupaya untuk menjejaskan kredibiliti Anwar lagi. Isu ini, menurut para penyokong Anwar, merupakan isu kitar semula, malah jika sekali pun Anwar terbukti bersalah, Anwar akan tetap menjadi hero dan akan mendakwa bahawa beliau sudah dianiaya, dan para penyokongnya akan tetap percaya. Pada hemat saya, untuk menewaskan Anwar, para pemimpin UMNO tidak lagi boleh bergantung harap terhadap isu liwat ini bagi menumbangkan politiknya. Jauh sekali untuk menjatuhkan maruahnya. Silap hari bulan, isu ini akan diputar belitkan oleh Anwar sehingga pihak kerajaan pula yang seolah-olah bersalah.


Isu liwat ini sudah dicongak oleh Anwar secara detail, tujuan Anwar menangguh-nangguhkan isu ini bukanlah untuk mengelak daripada dijatuhkan hukuman, sebaliknya Anwar mahu isu ini berjalan terlalu lama, sehingga "panas"nya isu ini akan menjadi suam dan akhirnya tidak lagi dipedulikan oleh masyarakat. Anwar tahu rakyat cepat berasa bosan, lantaran itu, jika Anwar berjaya menjadikan isu liwatnya ini sebagai isu yang membosankan rakyat, maka itu sudah dikira sebagai kemenangan untuk Anwar. Kedua, Anwar sememangnya mahu agar mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah kepadanya, hanya dengan cara ini sahajalah rakyat akan disogok dengan cerita kononnya kerajaan dan UMNO menggunakan skrip lama bagi menghalang kebangkitan Anwar untuk menjadi PM Malaysia.


Anwar sudah merancang semua ini, malah saya juga mengesyaki, bahawa Anwar (jika benar) meliwat Saiful merupakan sebuah agenda peribadi Anwar yang sudah lama dirancangan , tanpa pengetahuan Saiful. Dan apabila saiful menjadi mangsa liwat, sudah pasti Saiful akan menuntut keadilan. Anwar tahu bahawa Saiful akan membocorkan isu ini kepada umum. Maka dengan cara itu, nama Anwar akan sentiasa dijulang-julang dan beliau akan segera didakwa sebagai mangsa kepada para pemimpim UMNO yang masih dengki dengan pengaruhnya. Hakikatnya, apabila beliau meliwat Saiful (jika benar), Anwar mahu cerita itu tersebar, kerana beliau tahu , beliau boleh memanipulasikan isu tersebut sehingga beliau akan dianggap sebagai mangsa yang yang sering dizalimi.


Buktinya, sekali pun Saiful bersumpah, Anwar tetap menang besar di Permatang Pauh! Anwar tahu benar, isu liwat boleh menguntungkan agenda politinya. Jadi, kerajaan dan pempimpin UMNO jangan terpedaya berhubung isu ini. Kita jangan terbawa-bawa untuk menjatuhkan Anwar melalui kesnya ini di mahkamah. Dan pada masa yang sama kita berharap rakyat akan hilang kepercayaan kepada Anwar. Ia tidak akan berhasil. Anwar sememangnya mahu isu ini diperbesar-besarkan, Anwar mahu isu ini sentiasa mendapat liputan dunia - lantaran itu , beliau akan melakukan apa-apa sahaja agar isu ini terus segar, sekali gus meningkatkan simpati dunia dan masyarat Malaysia. Kita sudah kena tipu dengan Anwar selama ini. Anwar mahu isu ini terus dimainkan oleh media massa sehingga PRU-13. Anwar menangguhkan isu ini berkali-kali bukan kerana beliau takut, sebaliknya mahu dijadikan modal politiknya - agar apabila sampai masanya yang sesuai, Anwar akan menggunakannya semaksima mungkin isu tersebut bagi menekan kerajaan dan meraihl simpati rakyat, kononnya beliau telah dizalimi. Inilah sikap Anwar.


Anwar tidak bimbang sama ada beliau didapati bersalah, atau pun tidak oleh mahkamah dalam kes ini - yang penting beliau tetap akan menang juga - khususnya dalam bentuk persepsi. Pada hemat saya, Anwar sememangnya sudah merancang lebih awal untuk meliwat Saiful, agar isu ini terus dimainkan sehingga PRU-13. Anwar mahu pihak kerajaan dan UMNO terus-menerus menuduhnya sebagai peliwat, kerana beliau percaya hanya dengan isu ini sahaja beliau boleh menang dan mengambil simpati rakyat.


Sebab itu, jika kita perhatikan rakyat sudah tidak peduli dan muak dengan isu ini. Sekali pun Anwar didapati bersalah, rakyat yang menyokongnya tetap tidak akan berubah dengan menyokong UMNO kembali. Percayalah, isu liwat ini tidak akan berjaya menghancurkan Anwar. Anwar akan hancur dengan satu cara sahaja, iaitu - melalui Nurul Izzah dan Wan Azizah! carilah klu di situ! Saya percaya mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan teori saya ini - namun demikian, saya yakin Anwar sudah merancangnya, kerana adalah mustahil bagi seorang ahli politik yang licik seperti Anwar ini sanggup mengambil risiko setelah dibebaskan daripada penjara dengan melakukan kembali perbuatan lamanya, tanpa membuat perhitungan dan congakkan untung rugi politiknya! Pasti ada maksud tersirat mangapa Anwar sanggup melakukan perkara tersebut terhadap Saiful! Wallahualam.

September 6, 2009

Najib 2009 : Sejarah Mula Bengkok


Najib 2009
Sejarah Mula Bengkok


KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya menjadikan pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar. Perdana Menteri berkata, ia penting supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Teluk Kemang nanti.

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN untuk kita lakukan yang terbaik pada pilihan raya kecil Bagan Pinang,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.

Beliau mengulas kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang ekoran kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Nor dari BN akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) di sini pukul 2.30 petang semalam. Azman, 54, yang merupakan salah seorang daripada dua wakil rakyat BN dalam Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) SSH pada pukul 5.20 pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dijangka menerima notis kekosongan kerusi DUN tersebut daripada Speaker DUN Negeri Sembilan Isnin ini. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hanya selepas itu baru boleh diputuskan satu pilihan raya kecil di kawasan itu.

Mengulas lanjut Najib berkata, BN pada pilihan raya kecil kali ini adalah 'juara bertahan' dan oleh itu pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kawasan berkenaan daripada jatuh ke parti lawan.

''Kita telah menghadapi banyak pilihan raya kecil dan kita juga mempunyai banyak pengalaman. Untuk pilihan raya kecil kali ini kita adalah juara bertahan.

''Sebagai juara bertahan kita akan buat segala-gala yang perlu dalam usaha kita mencapai kejayaan,'' katanya.


Ulasan Saya :Pakatan Rakyat begitu bongkak dan lupa diri setelah mereka menang di 7 buah kerusi pilihan raya kecil sepanjang tahun ini. Rasa takjub pada diri sendiri dan bongkak amat jelas dapat diperhatikan melalui blog-blog yang pro-pakatan rakyat. Mereka, tanpa rasa malu dan berdosa mendakwa kononnya Allah telah merestui perjuangan mereka sehingga BN tewas 7 kali dalam pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang tahun ini.


Senario politik aneh yang sedang berlaku pada hari ini, harus diambil perhatian serius oleh pucuk pimpinan UMNO. Pemimpin UMNO harus ada sikap tegas dan tidak takut untuk bertindak balas terhadap pembangkang melalui kuasa yang ada pada mereka. Jangan kerana mahu meraih undi, maka kita biarkan sahaja parti pembangkang berbuat apa-apa sahaja yang mereka mahu, termasuk melanggar undang-undang dan menghina agama mulia kita. Malah, sehingga kini, tidak pula kedengaran dalam kalangan pemimpin UMNO yang berani menyaman para pemimpin pembangkang yang memfitnah kerajaan, seperti mana mereka berani menyaman para pemimpin UMNO, seperti mana kes Anwar Ibrahim menyaman TS Muhyiddin, hanya kerana TS Muhyiddin mendakwa bahawa Anwar ialah pengkhianat bangsa.


Pada pandangan saya, Pemimpin UMNO juga harus menyerang balas kembali dengan melakukan saman yang banyak kepada para pemimpin pembangkang yang jelas memfitnah kerajaan dan pemimpinnya. Bukan semua yang didakwa oleh Anwar dan gengnya itu betul belaka, tetapi malangnya tiada seorang pemimpin UMNO pun yang berani untuk menyaman Anwar Ibrahim. Pelik dan aneh. Kita harus berubah dan segera bertegas dengan pembangkang, jika mereka bersalah dan boleh ditangkap, maka lakukan sahaja.


Dalam hal ini, DS Najib harus bertegas. Walaupun kita mahu menggambil hati rakyat, tetapi undang-undang dan kebenaran jangan kita ketepikan. Kita bimbang jika kerajaan terlalu berlembut dengan parti pembangkang, akhirnya rakyat tidak lagi menghormati kerajaan dan para pemimpinnya. Malah, kepala kerajaan juga akan dipijak-pijak oleh rakyat. Kita boleh berlembut, tetapi bertempat. Senario yang berlaku dalam politik Malaysia pada hari ini, sudah terlalu kronik, ianya adalah seperti berikut :


1. Walaupun setinggi mana dosa dan kesalahan Anwar Ibrahim, sekali pun telah dibuktikan oleh mahkamah, para penyokong dan pengikutnya sama sekali tidak peduli. Ini kata-kata mereka, "Biarlah jika Anwar peliwat sekali pun, main dengan bina orang, atau perasuah tegar, kami tetap mahukan Anwar memimpin Malaysia, so macam mana? Kami benci UMNO dan kami nak UMNO hancur, itu sahaja."


2. "Kami bukan tak tahu UMNO banyak berjasa kepada negara dan agama, tetapi mood kami dah berubah, kami dah bosan dengan UMNO, itu sahaja. Bukan kami tak tahu Anwar tu macam mana perangainya, tetapi kami cuma nak Anwar, itu sahaja."


3. "UMNO buatlah baik macam mana sekali pun, kami terima, UMNO kasi duit, kami ambik, tapi undi tetap untuk PAS. Kami dah bosan dengan UMNO itu aje. Nak rasa parti lain perintah Malaysia pula."


4. "Kami tahu PAS dan DAP tidak sebulu, tapi kami mahukan kuasa, dengan cara itu sahaja kami boleh perintah Malaysia."


5."Kami dah tak peduli lagi soal kebenaran atau kejujuran, bagi kami, kami mahu UMNO hancur, itu sahaja, biar PKR, DAP dan PAS yang perintah Malaysia. Itu kami rela, tetapi jika UMNO, kami tak setuju. Pada kami, biar pada kali ini, kami pula sebat duit rakyat, jika zaman UMNO, UMNO sebat duit rakyat, bagilah peluang kami pula sebat duit rakyat."


6."Pada aku, aku dah benci dengan UMNO, tak kiralah UMNO nak berubahkah, Nik Aziz mencarut ke, aku tak kisah, yang aku tahu UMNO mesti tumbang dalam PRU-13 nanti."


Inilah, serba sedikit maklumat yang penulis terima berkenaan senario politik di Malaysia dari kaca mata rakyat biasa yang menyokong pembangkang. Maka, fikir-fikirkanlah. Wallahualam.

September 4, 2009

Dato Adil 2009 : Di Sini Tiada Azli Shukri Lagi


Dato Adil 2009
Di Sini Tiada Azli Shukri Lagi


Dato Adil merupakan nama terkenal di dalam blog saya ini. Sejak blog saya ini muncul pada bulan empat tahun lepas, nama ini sering menimbulkan konfilk, misteri dan tanda-tanya. Awalnya, sejarah Dato Adil hanyalah sekadar memberi komen berkenaan isu KJ di blog saya, malah, saya juga tidak terlepas daripada dikritik hebat oleh beliau. Namun demikian, itu adat apabila kita berblog, jika takut dikritik, jangan main dengan blog.


Namun begitu, dipendekkan cerita, setelah saya dianiaya dan dizalimi, Dato Adil yang sebelum ini lantang mengkritik saya, tiba-tiba bertukar gaya, dengan memberi sokongan moral kepada saya, agar terus tabah menghadapi ujian di DBP. Dari situ, mulalah episod baru Dato Adil yang secara berterus-terang mengkritik DBP dan bahagian M. Rupa-rupanya, ada yang tidak senang dengan kebenaran dan komen yang ditulis oleh Dato Adil, lalu segera menyebarkan fitnah kononnya Dato Adil merupakan staf di bahagian M dan sengaja memburuk-burukkan nama DBP. Fitnah dahsyat ini tidak terhenti di situ sahaja, malah turut mengheret staf yang tidak berdosa ke kancah malapetaka, lalu staf ini ditukar ke bahagian lain, tanpa usul periksa. Adilkah semua ini? Eloklah mereka segera memohon maaf kepada orang yang telah mereka fitnah itu. Di bawah ini, saya perturunkan komen Dato Adil yang saya fikir ditulis dengan jujur melalui posting saya yang lepas, sengaja saya paparkan semula komen ini, agar semua orang dapat membacanya.


Assalamualaikum dan Selamat Pagi.

PENJELASAN



Hari ini kita semakin menghampiri kepertengahan Ramadhan yang mulia ini. Secara sedar atau tidak masa terasa cepat berlalu. Beberapa hari yang lalu saya kebetulannya berkesempatan memberi komen perihal isu Dewan Bahasa. Tetapi seperti biasa, yang menjadi isu kembali ialah siapa saya (dato adil).



Saya dituduh kononnya saya ini penulis blog ini, ada juga yang tuduh saya staf di Dewan Bahasa dan segala macam lagi. Yang tidak menjadi masalah perbualan ialah masalah staf kontrak yang saya bangkitkan dan tidak lakunya majalah dewan bahasa di pasaran. Tidak pula menjadi isu tentang penyalahgunaan kemudahan seperti yang didawka beberapa blogger yang memberi komen kononnya ketua bahaian menggunakan kemudahan organisasi untuk melakukan kerja-kerja persatuan Puspanita yang tiada kaitan dengan majalah.


Seorang rakan saya mengatakan ketua bahagian gemar sangat bermesyuarat. ada dua mesyuaratnya. Satuynya Puspanita dan satu lagi mesyuarat majalah. Tetapi yang pelik persatuan dibuat pagi mesyuarat majalah di buat pukul 5.00 petang. Macam mana staf nak balik? Tapi saya simpati dengan staf majalah kerana mereka takut bersuara.


Saya pada bulan puasa ini mengaku yang saya bukan staf di Dewan Bahasa. Itulah realitinya. Tetapi saya pernah ke Dewan Bahasa berjumpa beberapa orang penting termasuk bekas ketua pengarah dahulu iaitu Datuk Firdaus, kini beliau Senator di Dewan Negara. Kalangan penulis veteren juga banyak saya kenali termasuk sasterawan. Jadi bukan sukar untuk memahami siapa yang berkerja di bahagian majalah. Lebih-lebih lagi banyak cerita kedengaran bukan sahaja dalam blog ini tetapi di kedai-kedai warung dan seumpamanya.


Berbalik kepada hal Majalah tadi, saya dari dahulu membangkitkan kepada Saudara Azli, ketika itu beliau masih lagi di Dewan Bahasa. Saya beri idea supaya majalah terjual laku. Tetapi katanya, setiap usaha untuk memajukan Majalah Dewan Ekonomi (kerana saya ingin jadikan Dewan Ekonomi terkenal dalam kalangan dunia korporat) hanya sia-sia. Yang akan diutamakan ialah majalah Masyarakat.


Dan selepas beberapa bulan saudara Azli tidak dilanjutkan kontraknya sehinggalah Majalah Dewan Ekonomi ini terumbang ambing dan hilang punca.



Malah, dalam satu keluaran misalnya, heboh orang mengatakan tentang fakta salah di bawah kendalian Editor baru. Tapi kalau kawan tak apa walaupun buat salah, kalau bukan kawan akan jadi satu mala petaka yang maha dahsyat.



Pernah juga ada dakwaan dahulu kononnya ada satu ruangan yang ditulis suami kepada ketua bahagian, artikel ditulis oleh staf bahagian tetapi menggunakan nama lain untuk dapatkan bayaran dan segala macam lagi.


Rasanya tidak perlulah saya memanjangkan cerita ini ini kerana akan dituduh sebagai pekerja di Dewan Bahasa. Saya bimbang terpaksa pula dipanggil staf lain untuk dimarahi gara-gara pandangan yang saya berikan. Yang baik dan benar datangnya dari Allah s.w.t, yang tidak benar maka daripada kelemahan diri saya sendiri.



Ulasan Saya
: Semoga penjelasan ikhlas daripada Dato Adil di atas ini akan melenyapkan segala fitnah kepada diri saya. Malah, ia juga sekaligus melenyapkan fitnah kepada saudari Ritah Yahya, mantan Editor Majalah Dewan Bahasa yang secara mengejut ditukarkan ke bahagian lain, dan selama ini dituduh kononnya menyamar sebagai Dato Adil, lalu beliau difitnah dengan sesuka hati. Berita sedih ini saya terima baru-baru ini. Soal pertukaran adalah hak Pengarah Jabatan, tetapi soalnya sekarang ialah siapa yang menjadi kaki cucuk yang menghasut dan memfitnah saudari Ritah, hanya Allah sahaja yang tahu. Eloklah rasanya mereka ini segera bertaubat dan memohon ampun kepada saudari Ritah. Jika tidak, bawalah dosa-dosa itu sekali ke alam kubur. Seharusnya, pada pandang saya bukankah lebih elok jika pandangan-pandangan yang terdapat di dalam blog ini baik melalui tulisan saya, mahu pun melalui komen daripada para blogger, dijadikan renungan dan bukan dengan membuangkan masa untuk mencari siapa kah Dato Adil, Hutan Nipah dan bloggers lain- ia tidak akan menyelesaikan masalah. Saya difahamkan, kita sanggup menghabiskan berjam-jam untuk berbincang di warung bucu, di kafe Dawama dan di Kafe DBP semata-mata mahu membongkar misteri Dato Adil yang tiada penghujungnya.



Bukankah lebih baik dan mulia, masa tersebut digunakan untuk kita membincangkan pendapat dan kritikan Dato Adil terhadap DBP itu? Bukankah dengan cara itu ia berupaya membetulkan diri kita dan meningkatkan prestasi kerja kita melalui pandangan orang luar? Nampaknya, mentaliti kita masih ditakuk lama, kita benci orang mengkritik dan bercakap benar perihal diri kita sendiri. Saya fikir, kita harus bercakap jujur dan amanah, serta membaca komen-komen daripada Dato Adil dan Puteri Hutan Nipah dengan hati yang ikhlas dan jujur. Soalnya, apakah komen mereka semuanya itu tidak benar tentang DBP dan bahagian M? Tanyalah diri sendiri, dan bersikap jujurlah untuk kebaikan kita pada masa hadapan. Selagi kita takut untuk bercakap benar, janganlah kita harapkan nasib diri kita akan diperjuangankan oleh orang lain pula. Fikir-fikirkanlah, semoga selepas ini tiada lagi sesiapa menuduh orang itu atau orang ini sebagai penyamar Dato Adil atau Puteri Hutan Nipah. Adalah lebih molek membaca komen mereka dengan mata hati dan cubalah berubah, sebelum keadaan mengubah diri kita kelak. Wallahualam.

September 3, 2009

PAS 2009 : Simpang Di Tepi Malam


PAS 2009
Simpang Di Tepi Malam


KOTA BHARU 2 Sept. - Pemimpin Pas diminta terlebih dahulu meyakinkan masyarakat bukan Islam mengenai kesungguhan parti itu mempelawa mereka menyertai Pas termasuk kesediaan mengubah dasar dan perlembagaan parti. Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata, masyarakat bukan Islam juga ingin mengetahui hak-hak yang akan mereka peroleh termasuk sama ada suara dan pandangan mereka diterima oleh parti itu. ''Kami takut suara kami tidak diambil kira manakala hak lain pula dipinggirkan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam bahawa sudah sampai masanya parti itu membuka keahliannya kepada bukan Islam selaras dengan dasar Pas yang tidak berteraskan perkauman. Hu berkata, kenyataan Nik Aziz itu sebenarnya sudah lama ditunggu masyarakat bukan Islam yang menyokong parti itu memandangkan cadangan membuka keahlian parti sudah lama dibincangkan namun seolah-olah tidak diendahkan parti itu. ''Jika serius, segerakanlah perkara ini dan ubahlah perlembagaan bagi membolehkan kami menyertai Pas,'' katanya. Hu berkata, kelab itu mempunyai 20,000 orang anggota di seluruh negara. - BERNAMA


Ulasan Saya :


1. Akhirnya PAS akan menjadi lebih teruk dan buruk daripada UMNO itu sendiri.


2. Perjuangan PAS akan lebih bercorak untuk mendapat kuasa dan sokongan, dan bukan untuk berdakwah dan mengIslamkan para penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu.


3. Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari pelbagai kaum itu dikatakan sudah mempunyai ahli seramai 20 ribu orang, dan PAS seharusnya menumpukan perhatian kepada mereka, serta memastikan yang 20 ribu orang itu akhirnya beriman kepada Allah dan bukan menyokong PAS sebagai badan politik semata-mata.


4. Slogan PAS for All tidak tepat, sepatutnya ISLAM for All


5. Jika PAS membuka keahliannya kepada bukan Islam, maka parti tersebut tidak boleh dikatakan sebagai sebuah parti Islam. Hal ini adalah kerana ahlinya yang bukan Islam itu sudah pasti tidak beriman dan percaya dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, jika mereka percaya sudah lama ahli Kelab Penyokong PAS itu beriman dan masuk Islam.


6. Penubuhan Kelab Penyokong PAS yang asalnya bertujuan untuk mendekatkan orang bukan Islam kepada agama Islam merupakan strategi yang silap. Pertama, sejak penubuhan kelab tersebut, tiada pengawasan dan didikan bagi memastikan ahli kelab tersebut akhirnya beriman kepada Allah. Kedua, tujuan penubuhan kelab tersebut adalah jelas untuk menarik sokongan orang bukan Islam terhadap PAS, khususnya ketika dalam pilihan raya. Undi mereka penting untuk PAS berkuasa, jadi niat ini sudah terpesong, seharusnya penubuhan kelab tersebut haruslah bertunjangkan kepada matlamat bagi memastikan setiap ahli kelab tersebut menyokong dan menerima Islam sepenuhnya. Lantaran itu, sepatutnya nama kelab tersebut harus ditukarkan kepada Kelab Penyokong Islam dan bukan Kelab Penyokong Parti Islam. Jika tidak ditukar, implikasinya sangat besar, yakni kelab tersebut hanya menyokong parti yang berasaskan kepada keuntungan politik dan kuasa serta bukan menyokong Islam yang jauh lebih luas peranannya dalam masyarakat. Yang kita mahu ialah orang yang menyokong Islam dan bukan parti. Wallahualam.

September 2, 2009

Kakitangan Kerajaan Dapat Duit Raya?


Kakitangan Kerajaan Dapat Duit Raya?


PUTRAJAYA 1 Sept. – Ura-ura kemungkinan kakitangan awam akan menikmati bonus sebelum Aidilfitri hangat diperkatakan walaupun Bajet 2010 dijadual dibentangkan pada Oktober ini. Bayangan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah baru-baru ini.

‘‘Ya, saya ada timbulkan pada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua supaya jika dapat dipertimbangkan (pembayaran bonus) dan mereka senyum sahaja.

‘‘Saya yakin senyuman yang diberikan itu akan membawa kegembiraan kepada kakitangan kerajaan yang dijangka menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Terdapat 1.2 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara dengan 75,000 orang pesara yang layak menerima bonus.

Tengku Adnan berkata, saban hari beliau mendengar rayuan daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya terutama dari kumpulan sokongan yang berpendapatan kecil.

‘‘Sebenarnya di Putrajaya ramai kakitangan kerajaan yang berjawatan rendah merayu supaya saya bawakan kepada pengetahuan Perdana Menteri supaya dipertimbangkan bonus atau insentif untuk sambut raya.

‘‘Mereka sedar keadaan ekonomi tidak begitu baik tetapi mereka merayulah kalau boleh kerajaan faham mereka juga dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kenaikan harga barang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah pembayaran bonus dibuat sebelum pembentangan bajet.

‘‘Bagaimanapun, CEUPACS amat berharap agar kerajaan akan bagi bonus kepada kakitangan awam supaya dapat menceria dan memeriahkan lagi sambutan hari raya kami,” katanya.


Ulasan Saya :

1. Saya setuju dengan pemberian bonus sebelum hari raya ini, memandangkan harga minyak pun sudah naik 5 sen. Hal ini pasti membebankan rakyat jika tiada duit lebihan bagi menyambut hari lebaran.

2. Parti pembangkang jangan mempolitikan isu ini. Jika mereka memerintah Malaysia, mereka juga akan berhadapan dengan masalah yang sama, iaitu kenaikan harga minyak.

3. Rakyat digesa berjimat-cermat pada hari lebaran ini, jangan membazir dan membeli barang yang tidak diperlukan. Jika baju raya yang dibeli pada tahun lepas masih boleh digunakan, maka tidak perlu memberi yang baru.

4. Rakyat juga harus mengurangkan perbelanjaan untuk hiburan, umpamanya menukar telefon bimbit semata-mata mahukan pelbagai fungsi hiburan yang lebih canggih dan terkini. Begitu juga dengan pemasangan television Astro, jika hanya untuk suka-suka, saya fikir idak perlulah memasangnya. Gunakan siaran TV yang sedia ada sudah mencukupi.

5. Bagi lelaki pula, hentilah merokok. Ia bukan sekadar menghabiskan duit semata-mata, malah kesihatan sekeluarga juga akan turut terjejas.

September 1, 2009

DBP 2009 : Salji Di Dewan Bahasa


DBP 2009
Salji Di Dewan Bahasa


Maafkan saya jika posting saya pada kali ini tidak membicarakan soal-soal politik. Ingin saya melencong sedikit daripada tulisan berbentuk politik. Ada sesuatu yang menggerakkan hati saya untuk menulis berkenaan Dewan Bahasa dan Pustaka pula pada kali ini. Baru-baru ini, dalam Perhimpunan Bulanan Warga DBP, Ketua Pengarah DBP iaitu Dato Termuzi Abdul Aziz secara berterus-terang dan jujur mendakwa bahawa kewangan DBP sedang berada dalam keadaan kritikal serta memerlukan langkah berjimat cermat yang drastik. Isu kewangan DBP berada dalam keadaan defesit, bukanlah isu baharu. Malah, semasa saya masih menjadi warga DBP dua tahun yang lalu, isu ini sudah muncul. Saya masih ingat dalam satu perjumpaan bulanan pada tahun 2008, Timbalan Ketua Pengarah DBP yang ketika itu memangku jawatan Ketua Pengarah (semasa itu jawatan KP masih kosonga) iaitu En. Kamarul Zaman Shaharudin turut menceritakan kisah yang sama bahawa "kantong" DBP semakin susut. Dan langkah-langkat berjimat-cermat terpaksa diambil, apatah lagi kerajaan juga turut mengurangkan bajet yang banyak untuk DBP pada setiap tahun.


Lebih jauh daripada itu, Dato Termuzi dalam ucapannya, turut memberi "arahan" secara jujur bahawa staf-staf kontrak yang masih bekerja dengan DBP diminta agar segera mencari kerja lain yang lebih menjamin masa hadapan mereka. Hal ini menggambarkan betapa kantong DBP semakin susut dan DBP akan melakukan apa-apa sahaja bagi mengurangkan kos operasinya dari semasa ke semasa. Kemungkinan besar salah satu langkah berjimat cermat yang akan dilaksanakan segera oleh DBP adalah dengan menamatkan staf kontrak mereka yang berjumlah 100 orang itu secara berperingkat. Saya agak sedih juga apabila memikirkan nasib staf kontrak di DBP, isu ini sudah lama menjadi barah di organisasi tersebut. Saya juga merupakan staf kontrak di DBP pada satu ketika dahulu. Tetapi, nasib saya lebih teruk, bukan sahaja dizalimi dan dianiayai, malah kontrak saya juga ditamatkan tanpa notis, tanpa pemberitahuan awal dan penuh dengan penganiayaan. Di DBP, kita jangan terkejut jika ada staf kontrak yang sudah bekerja secara kontrak melebih 10 tahun, tetapi masih belum diserapkan sebagai pekerja tetap. Di DBP, jika kita ialah staf kontrak yang bekerja 4-5 tahun, itu merupakan perkara normal dan belum tentu lagi kita akan diserapkan sebagai pekerja tetap, walaupun rekod perkhidmatan kita sangat cemerlang, gemilang dan terbilang - tetapi itu bukan jaminan. Oleh sebab itulah, banyak staf kontrak DBP yang cemerlang meninggalkan DBP, dan akhirnya DBP rugi dari segi pembangunan modal insanya. Pengalaman saya sebagai staf kontrak di DBP, banyak mengajar saya erti "double standart" dalam dunia pekerjaan, khususnya di organisasi kerajaan seperti DBP.


Nasihat saya hanya satu sahaja kepada staf kontrak yang masih bekerja di DBP, cari sahajalah kerja lain, jika majikan anda sekarang seolah-olah "menghalau" para pekerja kontraknya dengan pelbagai alasan dan cara. Sesungguhnya staf kontrak di DBP semakin tidak selamat dan tidak terbela. Mana-mana staf kontrak yang tidak "ngam" dengan bos mereka, maka tunggulah pembalasannya dan kontrak anda akan ditamatkan secara tiba-tiba. Dan pada kali ini, masalah kewangan DBP pula dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan bagi menamatkan staf-staf kontrak di DBP - dan bukankah kerajaan pernah berjanji untuk tidak menamatkan staf kontrak lagi?

August 27, 2009

Malam Dengan Bulan Yang Sama


Malam Dengan Bulan Yang Sama


Saya paparkan di sini satu komen yang bernas daripada seorang pembaca blog saya yang bernama Shamsul Anuar. Dan saya fikir sangat baik untuk sama-sama kita renungkan. Kepada saudara Shamsul Anuar, terima kasih komen saudara.


Menang walaupun satu undi adalah menang. Ada beberapa perkara yang saya nampak disini. 1) Kedua dua PAS dan UMNO mempunyai pengundi setia. Pengundi Cina dan India nampaknya kearah PAS. Bukan sebab suka PAS sangat tetapi PAS tidak sepert UMNO, bukan teras dalam PR. Sekiranya ( dijauhkan Allah swt) BN tumbang, maka kuasa politik Melayu akan berakhir. Ini kerana PAS tidak akan jadi teras PR. 2)UMNO tidak teliti pada pemilihan calon. Walaupun saya rasa tidak adil menuding Rohaizat pasal tduhan isteri 2, saya sedar ianya digunakan secara efektif oileh PAS. 3) Sikap Melayu yang sanggup terima walaupun sampah kalau disulami oleh ayat-ayat Kuran . Ini adalah perkara pelik dalam masyarakat Melayu. Tahu dan sedar perkara itu salah tetapi kerana nak puaskan hati, sanggup terima perkara salah.


Perkara salah ialah seperti suka mendengar fitnah walaupun berbuih mulut cakap 'Fitnah lebih dahsyat daripada membunuh". 4) "Double standard mentality". Tak apa PAS ada cacat cela sebab membawa 'perkataan Islam". Jadi kalau isteri 2 atau 3 dan rumah tangga tunggang langgang tak apa. Tak apa juga memaki hamun sesama Islam seperti selalu Mohd Sabu buat. Fitnah ( berita yang tak sahih dan disampaikan pula oleh fasik seperti RPK) diterima bulat-bulat walupun tahu itu dosa besar. Yang penting mesti serban dan tudung labuh. Lepas itu buang masa berjam-jam dengar ceramah ( pesta fitnah) mengenai Datin Rosmah atau Najib.


Dan masyarakat Melayu suka memilih apa yang mahu didengar. Apa yang sesuai dengan naluri politik kita, kita terima bulat-bulkat. Yang tak kita setuju walaupun benar kita tolak. Jadi Saiful yang sudi bersumpah laknat kitra tolak. anwar yang takut bersumpah kita terima. Apa yang UMNO buat sentiasa dipandang serong. UMNO turun padang dituduh berlakon. Tak turun padang dituduh sombong. UMNO mempertahankan hak Melayu dituduh mahu menakutkan melayu untuk menyokongnya. UMNO kritik Melayu dituduh tidak membela Melayu. Ketua bahagian UMNO kaya( sebab juga berniga) habis dituduh rasuah. Pemimpin PAS naik kereta mewah tiada siapa bising. Rumah pemimpin UMNO harga jutaan ringgit disebarkan sebagai terima rasuah walaupun beliau siap tunjuk resit.


Rumah jutaan ringgit Pemimpin PAS tiada siapa bising. 5) Budaya bermusuh PAS sesama Islam. Begitu kasar dan tiada ruang tolak ansur untuk UMNO. Saya nampak budaya Melayu suka duduk berjam-jam di kantin( tak buat kerja) tapi mengutuk kerajaan yang membayar gaji mereka . Tidak sedarkah yang mereka makan gaji buta( ambil gaji kerja tak jalan). Pemimpin PAS langsung tak mahu berbaik sangka dengan UMNO. NIk aziz mengungkit perkara yang berlaku 30 tahun lalu . Begitu tinggi dendam walaupun orang yang dimarahinya semua sudah meninggal dunia. 6) Taksub.


Otak dicuci supaya tak mahu percaya langsung Utusan Malaysia atau RTM. Harakah yang giat menyebarkan fitnah dijunjung tinggi-tinggi. 7) Bila berkuasa Hadi sebut hudud hanya 0000.1% dari Islam. Maknanya bukan perkara teras. Bila dah tak berkuasa tuduh UMNO tak mahu Islam. Menjerit-jerit dan berusaha melemahkan kuasa politik Melayu dengan sikap suka berarak dijalan raya. Mana-mana kerajaan akan bertindak dalam hal ini. Bila polis bertegas, dituduh polis zalim. Dan yang paling nyata, saya nampak ramai anak muda Melayu rasa hebat bila dah masuk universiti dan balik dari luar negeri. Kononnya dah pandai. Jadi secara lantang mereka berusaha jatuhkan UMNO. Kononnya terlalu zalim.


Mereka lupa yang UMNO banyak kebaikan. Mereka masih mentah dalam kehidupan. Mereka tidak tahu yang ramai orang( seperti DAP) menyokong PAS bukan ikhlas. Mereka mentah dalam percaturan politik kerana mereka masih muda. mereka tidak bodoh. Mereka hanya muda dan tiada pengalaman. Mereka menerima bulkat-bulat sokongan DAP tanpa sedar yang jika UMNO tumbang, bukan PAS yang naik. Apa pun kelemahan UMNO (sebagai satu parti ditubuhkan oleh manusia) , saya berdoa ianya kekal memerintah Malaysia.


Mungkin saudara tidak sedar jika tumbangnya UMNO bukan bermakna PAS akan memerintah. UMNO ialah teras dalam BN. Dari 139 kerusi, UMNO mempunyai 79 kerusi. Maknanya ianya memang dominan dalam BN. Apa erti teras. Maknanya segala keputusan mesti dapat kebenaran UMNO. Apakah PAS teras dalam PR. Tidak. Apa saja yang PAS nak buat terpaksa minta kebenaran DAP. ITu hakikatnya. Di Perak, Nizar tak lebih dari boneka. Itu adalah kebenaran. Tak tumbuh tak melata. Tak sungguh orang tak kata. Jadi Kg Baru Cina diberi grant 999 tahun. 1000 ekar diperuntukkan pada SekolaH Cina. Hal ini tak terjadi dizaman UMNO memerintah.


Di selangor, taraf Islam dah sama dengan ugama lain. Kalau ada masjid, mesti ada kuil dan tokong. Masa UMNO memerintah, perkara macam ini tak terjadi. Yang DiPertua Perbandaran tak boleh lagi runtuhkan kuil haram . Jika runtuhkan kuil haram , mereka akan digantung perkhidmatan . Pada 1998, Mohd sabu memaki hamun anwar Ibrahim dan mencabar Dr mahathir memecat beliau kerana liwat. Karpal singh juga dalam konvensyen DAP 1998 cakap ada bukti Anwar ialah homoseks.


Jujurkah Mohamad Sabu dalam hal ini. Jujurkah PAS dalam hal ini. Jika mereka pun percaya itu sikap Anwar, kenapa sanggup berkerjasama dengan Anwar. Saya bukan ahli UMNO. Saya juga kritik UMNO. UMNO pun ada silap juga. Tapi saya rasa ia tak sehipokrit PAS. Penting sangatkah kisah ( kalau betul) Rohaizat beristeri dua. Bukankah kisah hidup pemimpin PAS juga 'Panas" dengan kisah nikah di Thailand. Bukankah isteri pemimpin PAS juga meminta cerai dan tuntutan jutaan ringgit.


Bukankah juga Muslimat PAS menangis mempertahankan ADUN Bukit Lanjan yang jelas buat perkara tak baik .Jadi pentingkah menceritakan hal orang beristeri dua. Kerana Allah atau kerana politik. Inikah Islam yang kita nak tegakkan? Siapa yang fanatik? Siapa yang sanggup "berperang" menjatuhkan saudara seugama dan sanggup berbaik dengan musuh Islam sendiri untuk kepentingan politik. Siapa yang sentiasa berburuk sangka? Siapa yang jadikan orang fasik seperti Raja Petra sebagai rujukan utama? Jujurkah kita semua ? Jujurkah PAS bila menerima Anwar walaupun Mohd sabu memaki hamun anwar 11 tahun lalu. Dan soalan ini sentiasa membuatkan semua orang PAS merah muka. Tidak pernahkah terdetik dihati PAS kenapa Anwar tidak mahu bersumpah walaupun dicabar? Persoalan ini akan nampak begitu mudah jika kita jujur pada diri sendiri. Semoga bulan Ramadhan ini akan mendorong kita melihat kebenaran.


Ulasan saya : Satu sahaja kesimpulan yang boleh saya katakan di sini. Hakikatnya ramai dalam kalangan orang Melayu yang berpolitik dengan tidak ikhlas. Baik PAS mahu pun UMNO. Ini adalah masalah sikap orang Melayu-Islam, dan bukan masalah UMNO atau pun PAS. Kebanyakan orang Melayu jarang jujur dan ikhlas dalam perbuatan mereka. Kita banyak berpura-pura dan berlakon, banyak cakap tak serupa bikin. Akhirnya yang rugi Islam dan bangsa Melayu itu sendiri. Orang lain mengambil kesempatan terhadap sikap kita itu sendiri. DAP tahu PAS tidak ikhlas bekerjasama dengan mereka, sebab itulah DAP sedaya upaya menggunakan PAS untuk mencapai kehendak politik mereka. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, PAS dan DAP tahu Anwar bukanlah begitu jujur untuk menegakkan keadilan dan kebenaran yang selama ini dilaungkannya. Anwar hanya mahu menjadi PM semata-mata. Malah, semasa Anwar menjadi TPM, para pemimpin DAP dan PAS jugalah yang membongkarkan tingkah-laku dan skandal seks Anwar. Tetapi sekarang semua orang tutup mata dan tidak jujur kepada diri sendiri. Lantaran itu, bangsa lain mengambil kesempatan atas sikap ketidakjujuran sekilan ramai pemimpin-pemimpin politik Melayu di negara ini. Hakikatnya, baik UMNO dan PAS kita sebenarnya bukan mencari kebenaran, sebaliknya kita hanya mencari kuasa semata-mata. Inilah ketidakjujuran yang paling besar kita lakukan terhadap agama dan bangsa kita sendiri. dan akhirnya siapakah yang rugi?

August 25, 2009

Permatang Pasir 2009 : Undi Protes Untuk PAS?


PERMATANG PASIR 2009
Undi Protes Untuk PAS?



Menurut HarakahDaily, calon PAS di Permatang Pasir akan memenangi kawasan tersebut sekali lagi dengan majoriti 2500. Dan paling tinggi pun mungkin 3500 undi. Pada hemat saya pula, secara jujur mungkin PAS akan memenangi kawasan tersebut dengan majoriti sekitar 800 hingga 1000 undi sahaja. Walaupun PAS mungkin akan mengekalkan kawasan tradisinya itu, tetapi saya percaya pengaruh parti tersebut semakin menurun selepas pilihanraya kecil di Manek Urai. Hal ini jelas membuktikan beberapa perkara antaranya :


1. Rakyat tidak suka sikap kasar dan cara maki hamun yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi PAS terhadap UMNO.

2. Rakyat yang celik tidak gemar cara PAS berkompromi dengan DAP yang jelas menghina Islam

3. PAS tidak mempunyai prinsip yang jelas berhubung pembentukan negara Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

4. PAS lebih suka berpolitik berbanding dengan agenda meningkatkan taraf hidup rakyat.

5. PAS dilihat sebagai parti yang diperguna dan diperkudakan oleh DAP dan PKR sehingga merugikan Islam dan orang Melayu itu sendiri.

Oleh sebab itu, saya yakin pada kali ini undi PAS akan merosot teruk, malah tidak mustahil undi protes akan berlaku secara besar-besaran di Permatang Pasir. Wallahualam.

August 24, 2009

21 Dalil Perbezaan antara PAS dengan ISLAM


21 Dalil Perbezaan
antara PAS dengan ISLAM


PAS sering melaungkan slogan Islam sehingga masyarakat menjadi keliru. Manakala bagi rakyat yang kurang berpendidikan agama pula, mereka dengan segera beranggapan kononnya PAS itu adalah ISLAM, dan ISLAM itu adalah PAS. Dan mana-mana parti politik selain daripada PAS, parti tersebut bukanlah parti Islam yang tulen. Islam yang betul ialah Islam bawaan PAS sahaja. Parti lain semuanya tidak betul. Malah, keIslaman ahli-ahli parti lain pun boleh dipertikaikan oleh PAS. Inilah dogma dan ideologi PAS yang sangat merbahaya kepada orang ramai. Hal ini harus segera dihentikan. Maka, di sini saya senaraikan 21 alasan bahawa PAS itu bukan Islam dan Islam itu bukan PAS. Semoga Allah menyedarkan kita semua. Wallahualam.


1. Islam adalah Agama - Manakala PAS adalah sebuah parti politik.


2. Seseorang yang mahu masuk Islam, wajib mengucap dua kalimah syahadah - mahu masuk PAS tidak wajib mengucap kalimah syahadah.


3. Islam menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan - PAS menjadikan undang-undang tubuhnya sebagai panduan.


4. Islam tidak ada Presiden, Ahli Jawatankuasa Agung, Mursyidul Am, Ketua Pemuda, Ketua Kawasan dan lain-lain jawatan - Tetapi, dalam PAS ada jawatan tersebut.


5. Islam disebar dan diperjuangkan oleh Rasulullah - tiada Rasul dalam PAS, pemimpin PAS bukan rasul.


6. Islam ciptaan Allah - PAS ditubuhkan oleh manusia.


7. Islam agama yang sempurna dan tinggi - PAS parti yang tidak sempurna.


8. Islam dianuti oleh manusia dan jin - PAS hanya terbatas kepada manusia sahaja, jin tidak boleh masuk PAS.


9. Islam boleh dianuti oleh seluruh warga dunia - PAS hanya boleh dianggotai oleh warganegara Malaysia sahaja.


10. Islam ada hukum dan peraturan dalam aqidah dan syariah - PAS tidak ada hukum dan peraturan tersebut.


11. Dalam Islam ada hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram (5 dasar hukum) - dalam dasar undang-undang tubuh PAS tidak ada dasar hukum tersebut.


12. Adanya Islam tidak tertaluk di bawah akta pertubuhan (Islam tak perlu daftar di bawah undang-undang pendaftaran pertubuhan) - PAS wajib daftar, tak daftar tak boleh bergerak.


13. Masuk Islam tak perlu guna borang ahli dan bayar yuran pada setiap tahun - masuk PAS kena isi borang dan bayar yuran.


14. Islam bukan alat untuk dapatkan pangkat YB serta gaji dan elaun - dengan PAS boleh dapat pangkat dan gaji.


15. Umur taklif dalam Islam akil baligh (15 tahun) - umur boleh masuk PAS 18 tahun.


16. Orang Islam boleh berkahwin sesama Islam walaupun berlainan parti - jika PAS itu Islam, tentu orang PAS sesama mereka sahaja yang boleh berkahwin.


17. Islam tidak boleh pecat penganutnya - PAS boleh pecat ahlinya.


18. Keluar Islam murtad - keluar PAS tidak murtad.


19. Rukun Islam 5 perkara - rukun PAS berapa perkara? Tidak ada.


20. Dalam Islam tiada perebutan dan pertandingan jawatan - dalam PAS berebut jawatan.


21. Islam melarang keras caci-maki, mencarut, fitnah-memfitnah - dalam PAS tidak dilarang, malah menjadi satu amalan harian.

August 21, 2009

100 Kata-kata Nik Aziz Paling Merbahaya Dalam Sejarah (Siri 3)


100 Kata-kata Nik Aziz
Paling Merbahaya Dalam Sejarah
(Siri 3)


Oleh Muhammad Azli Shukri


Di sini saya perturunkan kata-kata Nik Aziz (Siri 3) yang boleh dijadikan renungan kita bersama. Apakah beliau layak dipanggil dengan gelaran ulama, atau sebaliknya. Untuk siri ketiga ini saya perturunkan 10 lagi kata-kata beliau untuk para pembaca menilai kembali bagaimankah corak pemikiran Islam Nik Aziz yang sebenar. Ada baki 70 kata-kata beliau yang masih ada dalam simpanan saya. InsyaAllah akan saya keluarkan sedikit demi sedikit bagi menyedarkan orang ramai berkenaan pemikiran ala-Khawarij yang membaluti parti PAS selama ini. Wallahualam.



21. “Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS yang menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.” – Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 23 April 1994.


22. “Memang ada lagi persefahaman antara PAS dengan Malaikat, sebab itulah APU (Angkatan Perpaduan Ummah) memerintah lagi (di Kelantan)”. –Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 27 April 1995.


23. “Kerajaan PAS Kelantan akan mengkaji kemungkinan melarang wanita bekerja. Tidak adil membiarkan wanita, kerana lelaki dari segi fitrahnya mempunyai tanggungjawab mencari nafkah bagi menanggung kehidupan keluarga.” – Nik Aziz Nik Mat, 16 Mac 1999 di Kota Baharu.


24. “Ya Allah, aku mohon butakan mata pengundi-pengundi hantu supaya mereka tidak Nampak simbol lain kecuali simbol PAS. “ – Doa Nik Aziz Nik Mat pada 27 Mei 1999 diaminkan oleh kira-kira 3000 penyokong beliau dalam satu majlis makan malam dan cerah PAS di Sungai Bakut, Nibong Tebal.


25. “UMNO tetap parti sekular kerana asas perlembagaanya tidak merujuk al-Quran dan Hadis.” – Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 22 Februari 1999.


26. ‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO. Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’ – Nik Aziz Nik Mat, Rakaman Audio di Sidang Akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2009.


27. “Jika Nabi Muhammad boleh menandatangani perjanjian dengan musuh tradisi Islam, iaitu kaum Yahudi, sebaik tiba di Madinah, PAS juga sanggup bekerjasama dengan DAP.” – Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 12 Mei 1999.


28. "Percaya-ae (kepercayaan) manusiyo (manusia) kepada kiamat menyebabkan seganah-ganah (seganas-ganas) manusia akan tok (tak) jadi ganah. Kerana dia yakin walau bagaimana ganahnya aku dan bagaimana pangkat... tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku apabila aku berdepae (berdepan) dengan padang mahsyar. Di padang mahsyar kelak ada lagi yang lebih gagah daripada aku namanya Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih jabaruut, lebih samseng daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih angkuh daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Dan nama Allah Subhanahuwataala satu daripada namanya al-Mutakabbir, al-Jabbarul Mutakabbir. ( Al-Jabbar maknanya gagah kuasa ataupun kita panggil samseng. Al-Mutakabbir sombong, angkuh.) Akulah oghaenya (orangnya) sombong, tok denga (dengar) kato (kata) orang lain. Itu satu daripada sifat Allah Taala. Samseng pun dok (ada) di aku, hanelan (handalan) pun dok di aku, somong (sombong) pun di aku. Kalu (kalau) samseng, aku lebih samseng. Kalu mu jahat, aku lebih jahat, kalu mu somong (sombong) aku lebih somong. Percayaan kito manusiyo kepada akidah nilah, akidah akhirat kito panggil menyebabkan orang Melayu yang sokong Pas ni tidak jahat...'' – Rakaman Ucapan Nik Aziz Nik Mat berhubung isu Allah Samseng, Utusan Malaysia, 31 Julai 2002.


29. “Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka,” – Ucapan Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 17 Ogos 2009 selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.


30. "DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam," – Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2009.

August 20, 2009

100 Kata-kata Nik Aziz Paling Merbahaya Dalam Sejarah (Siri 2)


100 Kata-kata Nik Aziz
Paling Merbahaya Dalam Sejarah

(Siri 2)

Oleh Muhammad Azli Shukri


Di sini saya perturunkan kata-kata Nik Aziz (Siri 2) yang boleh dijadikan renungan kita bersama. Apakah beliau layak dipanggil dengan gelaran ulama, atau sebaliknya. Untuk siri kedua ini saya perturunkan 10 lagi kata-kata beliau untuk para pembaca menilai kembali bagaimankah corak pemikiran Islam Nik Aziz yang sebenar. Ada baki 80 kata-kata beliau yang masih ada dalam simpanan saya. InsyaAllah akan saya keluarkan sedikit demi sedikit bagi menyedarkan orang ramai berkenaan pemikiran ala-Khawarij yang membaluti parti PAS selama ini. Wallahualam.


11. "PAS Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa..." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 25 Jun 1999.


12. "Menentang PAS adalah Haram mengikut al-Quran." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Minggu, 24 April 1994.


13. "Tidak ada orang yang berhak menjaga dunia ini, kecuali orang yang belajar ilmu agama Islam." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 17 April 1995.


14. "Tiada sesiapa di muka bumi ini yang tahu menjaga dunia termasuk menguruskan soal budaya, ekonomi serta harta benda, melainkan ulama." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.


15. "Saya di antara orang yang cukup kuat menyokong untuk meluaskan keahlian PAS ini kepada orang bukan Islam." - Nik Aziz Nik Mat, Kota Bharu, 1999.


16. "PAS boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.


17. "Para imam hendaklah faham bahawa ada anak-anak mukim tidak mahu menuruti imam yang beraqidah politik suku, agama suku, kerana boleh menyebabkan sembahyang tidak sah." - Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 4 Mac 2001.


18. "Tafsiran negara Islam yang dikehendaki oleh PAS sebenarnya sudah terkandung dalam Manifesto Barisan Alternatif (BA) yang dikemukakan pada pilihanraya yang ke-10 itu." - Nik Aziz Nik Mat, Harakah 1-15 Ogos 2001.


19. "Ini penting kerana kita juga mahukan sokongan dan undi bukan Islam dalam usaha memenangi pilihanraya umum akan datang" - Nik Aziz Nik Mat, Ucapan di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-31, Petaling Jaya, 24 Mei 2004.


20. "Negara kita Malaysia belum merdeka lagi kerana perlembagaannya masih perlembagaan kafir."- Khutbah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Pengadang Baru, Marang, Oktober 2001.


Bersambung...

August 19, 2009

100 Kata-kata Nik Aziz Paling Merbahaya Dalam Sejarah (Siri 1)


100 Kata-kata Nik Aziz
Paling Merbahaya Dalam Sejarah
(Siri I)

Oleh Muhammad Azli Shukri


Di sini saya perturunkan kata-kata Nik Aziz yang boleh dijadikan renungan kita bersama. Apakah beliau layak dipanggil dengan gelaran ulama, atau sebaliknya. Untuk siri pertama ini saya perturunkan 10 kata-kata beliau terlebih dulu untuk para pembaca menilai kembali bagaimankah corak pemikiran Islam Nik Aziz yang sebenar. Ada 90 kata-kata beliau yang masih ada dalam simpanan saya. InsyaAllah akan saya keluarkan sedikit demi sedikit bagi menyedarkan orang ramai berkenaan pemikiran ala-Khawarij yang membaluti parti PAS selama ini. Wallahualam.

1. "Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan negara Islam" - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian 12 Mei 1999.

2. "Bukan sahaja dalam menifesto, dalam perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah negara Islam, dia (DAP) boleh tengok sendiri dan baca perlembagaan itu." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 4 Ogos 2001.

3. "Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri kafir" - Ceramah Nik Aziz Nik Mat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, 3 Julai 1999.

4. "Jika melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid." - Kuliah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Kg Pulau Melaka.

5. "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 28 April 1999.

6. "Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA, dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 24 Januari 1999.

7. "Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

8. "Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut dan mencaci seseorang jika kena pada tempat dan masanya, kerana ia sudah menjadi salah satu naluri." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 29 April 1999.

9. "Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembagunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?" - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 26 November 1994.

10. "Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 19 November 1992.

Bersambung...

August 18, 2009

Setelah Setahun : Rencana Ulangan

Laluan Berliku

Saiful vs Anwar

Oleh Muhammad Azli Shukri


Artikel ini ditulis setahun yang lalu, namun demikian Anwar Ibrahim masih bebas di luar sana. Mengikut pandangan ulama, InsyaAllah kesan Sumpah Saiful yang dilakukannya akan dapat dilihat setelah setahun berlalu. Saya yakin Saiful berada di pihak yang benar, sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan parti pembangkang semakin merapu dan tidak ada arah tujuan. Manakala Nik Aziz pula, semakin mengarut dengan pelbagai kata kesat dan seolah-olah menjadi manusia yang hilang pertimbangan akal, lantaran terlalu kemaruk untuk berkuasa.


Saya sebenarnya tidak berhasrat menulis berkenan politik dalam blog saya ini, kerana ia lebih banyak mengundang fitnah daripada kebenaran. Namun demikian, apabila isu Mohd. Saiful Bukhari,bersumpah dan timbul pelbagai andaian dan tohmahan kepada beliau, saya terpaksa bercakap benar dan mempertahankan kebenaran. Jika tidak ilmu yang saya miliki ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.


Allah menurunkan firmannya berbunyi “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa-Setelah engkau beroleh pengetahuan yang meyakinkan tentang hal itu, maka katakanlah kepada mereka : Marilah kita panggil (kumpulan) anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami, dan isteri-isteri kalian, diri-diri kami dan diri-diri kalian, kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61)


Makna Mubahalah ialah, masing-masing pihak daripada orang-orang yang berbeza pendapat, dengan sungguh-sungguh berdoa bermohon kepada Allah agar menimpakan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta (yang berkeras kepada mempertahankan pendapatnya yang tidak benar).


Ramai yang nampaknya tidak faham mengapa mubahalah diperlukan dalam hal-hal tertentu. Perkara ini tidak terkecuali terkena dalam kalangan ulama-ulama ternama kita di Malaysia, sehingga ada yang tergamak mendakwa bahawa sumpah yang dilakukan oleh Saiful baru-baru ini umpama orang Kristian yang memegang Bible. Subhanallah. Perbandingan yang jauh daripada kebenaran. Setakat ini, hanya Mufti Perlis, Dr. Asri sahaja yang menyokong agar kedua-dua pihak, yakni Anwar dan Saiful bersumpah berkenaan kes liwat mereka tersebut mengikut cara yang digariskan oleh Islam. Soalnya, mengapa terdapat dua pandangan yang berbeza berkenaan konsep sumpah mubahalah ini? Mengapa mesti sesama ulama bercanggah pendapat lagi, jika sudah jelas firman Allah dalam surah Ali Imran tersebut? Jika kita sama-sama mengikut al-Quran sudah tentu tidak akan ada perdebatan lagi dalam soal ini.


Hal ini terjadi adalah disebabkan sesetengah ulama di Malaysia tidak mendalami fiqh al-Waki, yakni fiqh yang memahami keadaan semasa dan diselaraskan dengan maqasid syariah (tujuan-tujuan syariat yang diturunkan oleh Allah). Dalam isu Saiful ini, Ulama telah melihat isu tersebut dalam dua perspektif-pertama, bagaimanakah perundangan Islam, yakni hukum Islam menyelesaikan isu liwat yang membabitkan kedua-dua pihak, apakah syarat-syarat dan metodologi yang digunakan bagi mengheret kedua-dua pihak ke muka pengadilan-mengikut garis panduan Islam, apakah ada wujud kes atau sebaliknya. Ini merupakan konteks yang dilihat oleh sebahagian besar Ulama di Malaysia, melalui kaca mata perundangan Islam. Ulama yang melihat isu Saiful-Anwar dari sudut ini termasuklah Mufti Perak, Mufti Wilayah, dan Nik Aziz Nik Mat.


Satu lagi kaedah melihat kes Saiful-Anwar daripada kaca mata Islam juga ialah melangkaui cara pertama tadi, yakni melihat isu ini lebih besar daripada cara pertama yang tertera di atas, iaitu isu ini merupakan isu yang membabitkan maslahat umat Islam di negara ini. Isu yang melibatkan perpaduan umat Islam di Malaysia, isu yang membabitkan fitnahtul Kubra (fitnah besar ke atas umat Islam Malaysia), isu yang membabitkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem yang ada di Malaysia, yakni ketidakpercayaan sebahagian besar rakyat terhadap badan kehakiman, polis, badan politik dan kepimpinan negara. Semua ini mengundang fitnah. Fitnah seperti mana yang kita sedia maklum, dosanya lebih besar daripada membunuh. Kaedah kedua ini telah dilihat oleh Mufti Perlis dan saya sendiri bersetuju melihat isu Saiful-Anwar ini dari kaca mata kedua ini, hal ini adalah kerana implikasi isu Saiful-Anwar ini kepada negara dan agama adalah amat besar.


Ini bukanlah isu berkenaan 4 orang saksi atau sebatan 80 kali, ini merupakan isu yang lebih besar daripada itu. Waki’ (realiti) yang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang ini ialah FITNAH. Fitnah yang sudah tidak mampu dibendung dengan sistem yang sedia ada. Kebenaran dan keadilan yang dicari oleh Anwar dan Saiful tidak akan dijumpai di mana-mana mahkamah di Malaysia ini, kerana sistem kehakiman itu sendiri sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan orang. Apa-apa sahaja keputusannya, pasti akan ada tuduhan hakim telah di rasuah, konspirasi peringkat tertinggi dan sebagainya. Semua ini tidak akan menyelesaikan isu Anwar dan Saiful, malah keadilan dan kebenaran sama sekali tidak akan diperoleh kedua-dua pihak.


Hal ini adalah kerana, seluruh sistem utama di Malaysia (Polis, BPR, Kehakiman, Politik, Kepimpinan) sudah tidak dipercayai lagi, apakah yang tinggal untuk kita percaya lagi? di manakah tempat yang sama-sama kita percaya untuk mencari keadilan dan kebenaran? Akhirnya hati kita akan menjawab bahawa kita bertuhankan Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat yang kita sama-sama yakini untuk mengadu dan berharap, agar Dia menunjukkan kebenaran dan keadilan, setelah seluruh cara dan jalan penyelesaian lain gagal untuk menyelesaikan masalah Anwar-Saiful ini, maka mengapa terlalu berat untuk kita kembali kepada Allah?


Apabila kedua-dua pihak Anwar dan Saiful gagal membuktikan masing-masing tidak bersalah, dan saling mendakwa tidak bersalah, mengapa tidak sahaja kembali kepada surah Ali Imran di atas? Biarkan Allah menghukum mana-mana pihak yang bersalah secara terus, kerana isu Anwar-Saiful ini sudah menjadi fitnah besar kepada agama, masyarakat dan negara! Ulama-ulama harus melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Yakni menutup pintu fitnah yang sedang melanda negara kita.


Soal membawa 4 saksi dan sebagainya, itu soal kedua. Soal pertama yang seharusnya diselesaikan dahulu ialah ; siapa yang bercakap dusta dan siapa pula yang bercakap benar. Selesaikan hal ini dahulu. Bukti yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menghukum kedua-dua pihak yang mana bercakap benar dan yang mana berbohong. Lantaran itu, kita harus kembali kepada firman Allah di atas, “kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61).


Saya tegaskan lagi di sini, kedua-dua pihak harus bersumpah kerana isu liwat ini sudah menjadi isu nasional dan mengharu birukan negara, fitnah memfitnah sudah bermaharajalela, caci maki menjadi kebiasaan, tuduh menuduh sudah sebati dengan masyarakat, buruk sangka sudah menjadi hidangan seharian kita. Semua ini merosakkan perpaduan umat Islam dan merosakkan kemuliaan agama Islam itu sendiri. Kebenaran dan keadilan sudah diperlecehkan oleh semua pihak.


Kalau kita dipihak yang benar, tiada sebab untuk takut. Soalan yang perlu kita jawap sekarang ialah, apakah dengan kedua-dua pihak melakukan sumpah mubahalah, maka ia akan mencemarkan nama kedua-dua pihak? Atau dengan bersumpah ini ia mampu membersihkan nama orang yang difitnah? Matlamat sumpah mubahalah adalah mencari kebenaran dan memohon kepada Allah ditunjukkan siapakah antara mereka yang berdusta dan berbohong! Itu sahaja. Jika Anwar percaya bahawa dia tidak berbohong, maka segeralah bersumpah. Selesai masalah, tidak perlu hubungi ulama luar negara untuk menentukan perlu atau tidak perlunya beliau bersumpah. Kembali sahaja kepada al-Quran di sana ada jawapannya. Jika beliau berani membuat demonstrasi, berani ditangkap oleh polis, berani melawan sesiapa sahaja, sama ada kerajaan Timur dan Barat, mengapa dalam isu sumpah ini beliau terlalu takut menyambut cabarannya dan melakukan sumpah mubahalah?


Saya sudah muak dan kecewa, apabila sudah ada cara penyelesaiannya di depan mata, kita masih tidak mahu menerima. Tanyakan kepada diri kita sendiri, jika kedua-dua pihak bersumpah mengikut cara Islam, isu ini pasti akan selesai tidak lama lagi. Cukuplah isu al-Arqam yang telah Allah tunjukkan kepada mereka dalam masa tiga bulan sebagaimana yang dipinta oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad pada suatu ketika dahulu, yang akhirnya Ashaari Muhammad disumbat ke dalam penjara.


Walaupun hukum bersumpah ini mengikut pandangan ulama adalah makruh, namun demikian, hukumnya boleh berubah menjadi wajib apabila melibatkan fitnah yang besar ke atas masyarakat, agama dan negara. Anwar merupakan nama besar, baik di Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. Jika beliau tidak bersumpah, maknanya beliau tidak mahu membersihkan namanya yang sering didakwa sebagai fitnah. Ke mana lagi Anwar ingin mencari kebenaran dan keadilan? Mahkamah di Malaysia? Soalnya adakah Anwar percaya kepada Mahkamah di Malaysia? Adakah penyokong-penyokongnya yakin dengan badan kehakiman di Malaysia? Anwar pada pandangan saya wajib bersumpah! Dan hukumnya bukannya makruh lagi.


Kita juga harus faham, dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, nabi bersabda, maksudnya sebegini, doa orang yang dizalimi sama ada orang Islam atau bukan orang Islam, jika mereka berdoa, doanya tidak akan ada sekatan lagi untuk sampai kepada Allah bagi dimakbulkan-Nya. Lantaran itu, jika Anwar merasakan dirinya dizalimi, doa dan bersumpahlah agar orang yang menzaliminya menerima pembalasan di dunia lagi. Dan Allah tidak akan mensia-siakan doa orang yang dizalimi. Jadi, apa yang Anwar takutkan?


Persoalan yang mendakwa bahawa, sekalipun Saiful dan Anwar bersumpah mubahalah, tidak semestinya Allah menurunkan laknatnya-Nya di dunia lagi, merupakan jawapan orang yang tidak yakin dengan agamanya sendiri. Jika sumpah mubahalah bukan bertujuan untuk mendapatkan jawapan segera daripada Allah, maka tidak turunlah perintah Allah kepada Rasulullah untuk melakukan mubahalah dengan perutusan kaum Nasrani Najran untuk sama-sama kedua-dua pihak mengikrarkan permohonan kepada Allah agar menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta. Cara tersebut ditempuhi untuk mengakhiri perdebatan antara kedua-dua belah pihak mengenai kedudukan Isa putera Maryam. Sudah tentulah pihak Rasullah yang benar dalam isu ini.


Lantaran itu, hanya orang yang benar-benar ikhlas dan yakin bahawa dia berada di pihak yang benar sahaja, yang sanggup melakukan sumpah mubahalah ini. Sekarang, kita hanya menunggu laknat Allah akan terjadi atau tidak ke atas diri Saiful, jika tidak, maka kita sendiri boleh menjawab, siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong. Saya di sini juga ingin mencadangkan agar Anwar yang mempunyai hubungan yang baik dengan ulama-ulama Timur Tengah, ambillah cuti dan bersumpahlah di tanah suci, jika beliau benar-benar yakin beliau tidak berbohong dalam isu ini. Saya percaya, ramai jutawan yang sanggup “menaja” penerbangan beliau ke tanah suci untuk niat yang suci mencari keadilan dan kebenaran di hadapan Kaabah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau benar-benar dizalimi. Susah sangat ke?


Kepada Ulama-ulama yang tidak bersetuju Anwar bersumpah, tolong tanyakan kepada diri sendiri, apakah dengan cara bersumpah ini maka masalah akan bertambah rumit atau masalah ini akan semakin hampir ke arah penyelesaiannya? Tanya juga, apakah yang kurang dan celanya, jika Anwar bersumpah? Apakah dengan Anwar bersumpah maka negara dan rakyat akan bertambah kecoh dan gundah gelana? Sebenarnya bersumpah adalah jalan terbaik untuk Anwar membersihkan dirinya daripada fitnah yang terlalu besar ini. Keyakinan rakyat akan pulih, suasana tegang akan kendur kembali, fitnah akan berhenti dan rakyat akan senang hati, jika benar Anwar difitnah selama ini. Tiada sebab mengapa ulama-ulama mencadangkan kepada Anwar agar beliau tidak bersumpah. Kecuali ulama-ulama tersebut mengetahui kisah yang sebenar dan dibimbangkan jika Anwar dimakan sumpahnya sendiri.


Apabila Presiden Pas Haji hadi Awang berkata berkenaan sumpah saiful tersebut seperti ini, "Itu satu kebodohan terhadap hukum Islam, malangnya melibatkan mereka yang memakai jenama agama. Itu (bersumpah) tidak menepati apa yang dikehendaki dalam hukum Islam. "Yang ada dalam Islam ialah li'an (iaitu sumpah melibatkan suami isteri)...sumpah dengan kitab suci ini ialah amalan Kristian yang bersumpah dengan Bible.


"Kita orang Islam mestilah li'an. Li'an ialah dalam tuduhan zina suami kepada isteri (tetapi) Anwar dan Saiful ini bukan suami isteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu sumpah laknat menggunakan al-Quran oleh Mohd. Saiful. Beliau berkata adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd. Saiful yang “kebetulan” dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung. Menurut beliau, perkembangan terbaru itu tetap tidak akan menjejaskan sokongan dan kepercayaan Pas kepada Anwar, sebaliknya parti itu akan terus membantu Anwar untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.


Haji Hadi seolah-olah tidak faham waki’ dan matlamat sesuatu syariat itu diturunkan, Dalam kenyataan ini juga seolah-olah Haji Hadi menafikan bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat yang menerangkan nabi pernah bermubahalah dengan Nasrani Najran, jadi mengapa sumpah hanya dibataskan kepada Li’an semata-mata? Jelas beliau lebih mementingkan politik daripada mencari siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong! Haji Hadi perlu kembali melihat isu ini dengan jujur dan menyeluruh.


Kebenaran sebenarnya sudah semakin hampir di depan mata, tetapi malang, ulama sesama ulama masih bertelagah untuk mencari jalan pulang yang terlalu jauh. Banyak lagi yang ingin saya tulis, tetapi masa membatasi saya, namun demikian kebenaran tidak mungkin saya selindung lagi. wallahualam. Mohon ampun kepada Allah jika ada salah dan silap daripada hamba-Mu ini. Tiada niat lain, melainkan untuk mempertahankan kebenaran yang sudah pasti!

Islam Kita Hanya Di Kerongkong?


ISLAM KITA
HANYA DI KERONGKONG?


BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.


Ulasan Saya : Saya makin bimbang dengan Nik Aziz ini. Bimbang kerana cara beliau sejak akhir-akhir ini benar-benar menunjukkan bahawa beliau seolah-olah berpegang kepada fahaman Islam Khawarij yang jelas sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Jika Nik Aziz mendakwa bahawa PAS menentang UMNO kerana dasarnya yang bersifat Nasionalisme, maka pada hemat saya pula, UMNO terpaksa menentang PAS kerana fahaman Khawarijnya yang semakin jelas dan terang. InsyaAllah akan saya kupas secara panjang lebar berkenaan ideologi PAS yang lebih menghampiri politik Khawarij.

August 13, 2009

Orang Yang Beriman Diminta Sokong Kenyataan Mufti Perak


Orang-Orang Yang Beriman Diseru
Menyokong Cadangan Shahibuh Samahah
Tuan Guru Tan Sri Dr Harussani Zakaria


PUTRAJAYA 12 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan kumpulan ekstremis dan pelampau bahawa tanpa institusi raja yang menjaga golongan majoriti orang Melayu, negara ini tidak mungkin aman. Tegasnya, kerana institusi rajalah, negara ini yang suatu ketika dikenali Tanah Melayu kemudian Malaya seterusnya Malaysia terus kekal stabil dan makmur didiami pelbagai kaum. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ekstremis yang cuba mewujudkan unsur perpecahan dalam negara. “Benda ini (menghormati institusi raja dan agama Islam) sudah ada dalam Perlembagaan Negara, kalau tidak suka, keluarlah dari negara ini.


“Selama 52 tahun negara kita aman makmur, tiba-tiba ada pihak cuba hancurkan semua ini, sengaja nak buat kacau. “Dulu mereka diberi kerakyatan setelah setuju mahu patuhi syarat-syarat yang diberi, kalau tak suka lagi, keluarkan mereka dan kalau ada orang Melayu sendiri tak suka, keluarkan juga mereka dengan melucutkan kerakyatannya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Beliau mengulas kemarahan orang Melayu terhadap kandungan satu blog baru-baru ini menghina Islam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. Sebelum itu pelbagai pihak turut mengkritik tindakan Exco DAP negeri Selangor, Ronnie Liu yang campur tangan dan mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras di Seksyen 8, Shah Alam dan tindakan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis.


Menurut Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agamanya daripada dihina oleh mana-mana pihak dan tidak seharusnya menyokong penghinaan itu dengan apa sahaja alasan. “Jangan kerana politik, mereka sanggup menjual agama. Dalam Islam, kita diwajibkan untuk pertahankan agama daripada dihina, bukan melakukannya kerana kepentingan diri,” katanya. Pada masa yang sama, kata beliau, Islam juga tidak membenarkan umatnya menghina agama lain kerana perbuatan saling menghina itu hanya akan menyebabkan berlaku suasana tidak tenteram.


Ulasan Saya : Saya yakin selepas ini sudah pasti akan ada para penyokong PAS yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada Tuan Guru Harussani. Menurut PAS, mana-mana ulama yang menyokong UMNO akan terus dilabelkan sebagai Ulama UMNO atau ulama jahat. Saya perhatikan, pada kali ini Tuan Guru Harussani sangat jelas kemarahannya kepada warganegara Malaysia yang secara terang-terangan menghina agama Islam dan institusi Sultan di negara ini. Oleh itu saya pun tidak mahu mengulas panjang lagi maka, dengan ini saya syorkan beberapa langkah ekstrim terhadap mana-mana golongan yang jelas menghina Islam dan Raja-raja Melayu, Antaranya ialah : 1. Haramkan Parti Politik DAP - Parti ini bukan sahaja tidak menghormati dan menghayati semangat perlembagaan Malaysia, malah seringkali mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman dan penghinaan terhadap orang Melayu dan Islam. 2. Sekarang, antara PAS dengan DAP sudah tidak ada bezanya lagi. Apabila Nik Aziz tidak berasa pelik dan hairan terhadap penghinaan yang dilemparkan oleh DAP terhadap agama Islam. Jelaslah Islam yang dibawa oleh PAS ialah Islam yang berkonsepkan kaedah "matlamat menghalalkan cara". Parti seperti ini amat merbahaya. Disyorkan agar kerajaan menggubal hukuman mati kepada mana-mana individu yang jelas menghina dan menimbulkan fitnah terhadap Islam melalui tulisan, mahu pun ucapan. 3. Lucutkan kerakyataan terhadap mana-mana kaum yang tidak menghormati Islam dan Institut Sultan di negara ini, seperti mana cadangan Tuan Guru Harussani di atas. 4. Diminta agar pihak kerajaan bertegas terhadap pemimpin-pemimpin DAP dan Anwar Ibrahim, jika perlu gunakan ISA bagi menahan mereka dengan kadar yang segera.

August 11, 2009

Kari Kepala Ikan Boleh Sembuhkan H1N1?


Kari Kepala Ikan
Boleh Sembuhkan H1N1?


KUALA LUMPUR 11 Ogos - Jumlah kematian akibat H1N1 meningkat kepada 38 orang apabila 6 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah kes juga meningkat kepada 2,253 kes dengan 270 kes baru dilaporkan, kata ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.


Ulasan Saya :

Kematian akibat wabak H1N1 makin serius dihadapi oleh rakyat di negara ini. Saya berfikiran kerajaan harus segera mengambil langkah yang drastik atau mungkin juga harus memikirkan untuk mengumumkan darurat di kawasa-kawasan tertentu. Jumlah kes yang semakin meningkat, diserta dengan jumlah kematian yang bertambah-tambah, mengisyaratkan kepada pihak kerajaan, agar melakukan sesuatu yang bersifat drastik. Di samping itu, seluruh umat Islam harus segera bermunajat dan memohon terus kepada Allah, agar dugaan dan cabaran ini segera berakhir. Baru-baru ini saya difahamkan secara berjenaka, kononnya virus H1N1 boleh dicegah jika kita makan Kari Kepala Ikan banyak-banyak, benarkah begitu? Menurut rakan saya itu, mungkin secara bergurau, antara negara yang jarang dilaporkan jumlah kematian H1N1 ialah negara India. Menurutnya lagi, N1N1 tidak upaya masuk ke dalam tubuh badan orang yang kuat makan Kari Kepala Ikan. Hal ini adalah kerana kandungan yang terdapat dalam Kari Kepala Ikan ialah bahan yang boleh merangsang tubuh badan menjadi lebih berdaya tahan dan menguatkan lagi pertahanan tubuh badan (antibodies). Namun demikian, secara peribadi saya khuatir dengan fakta ini. Mungkin cerita ini sengaja diadakan-adakan bagi melariskan jualan Kari Kepala Ikan di pekan-pekan besar. Malah, ia juga belum dibuktikan secara saintifik oleh para doktor perubatan. Jadi apa pandangan para bloggers semua pula? Wallahualam.

August 10, 2009

Kecewa Dengan Sikap Ketua Pemuda UMNO Malaysia


KECEWA DENGAN SIKAP
KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA


KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Sudah sebulan lebih surat jemputan Pemuda PAS mengajak wacana ilmiah bersama Pemuda Umno, namun sayap kanan parti itu yang diketuai Khairy Jamaluddin sehingga kini belum memberi sebarang maklum balas untuk turut serta dalam wacana tersebut.

Yang ada, ialah surat Khairy ingin bertemu secara tertutup - pertemuan empat mata dengan Ustaz Nasrudin Hassan Al-Tantawi, yang ditolak mentah oleh Ketua Pemuda PAS itu, kerana wacana tersebut adalah untuk pengetahuan rakyat dan mengelakkan sebarang fitnah. Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Pemuda PAS merangkap jawatankuasa teknikal Kamaruzaman Mohammad ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi. "Kita sudah membentuk jawatankuasa teknikal, tetapi Umno masih tidak ada sehingga kini dan belum berbincang lagi berhubung wacana tersebut. "Yang ada surat Khairy yang tidak berapa setuju dengan tajuk wacana 'Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam' itu dan hanya mahu bertemu secara tertutup dengan Ustaz Nasruddin," katanya. Jika Umno bersungguh dalam merealisasikan wacana ilmiah ini, sudah pasti hal teknikal dan persetujuan telah dibuat awal-awal lagi tanpa mengambil masa sehingga sebulan lebih, menunjukkan pergerakan itu tidak berminat untuk turut serta, kata Kamaruzam Sepatutnya wacana itu berlangsung selepas Pilihan raya Kecil Manek Urai dan sebelum menjelang bulan Ramadan, pertengahan Ogos ini, katanya. "Kita akan bermesyuarat lagi, dan akan memberi tempoh akhir (due date) untuk mereka terima jemputan atau sebaliknya. Dan kalau tidak turut serta, bermakna jelas Umno gentar untuk berdepan dengan kita di pentas umum," katanya Sementara itu Gerak juga turut menganjurkan satu forum yang menampilkan kedua-dua ketua pergerakan pemuda parti itu, dijangka berlangsung mingggu depan dan Nasruddin telah memberi jawapan balas untuk turut serta dalam forum tersebut, katanya. "Sehingga kini, Khairy belum juga memberi keputusan untuk turut serta dalam forum itu. Sikap dan tindakan sebegini, lebih banyak mengundang persepsi negatif orang ramai terhadap kemampuan Ketua Pemuda Umno itu dalam mengenengahkan dan mengemukan hujah-hujah isu-isu semasa di khalayak," katanya.


Ulasan Saya : Saya agak kecewa dengan laporan yang dikemukakan oleh Harakah di atas ini, jelaslah Pemuda UMNO agak takut berhadapan dengan PAS berhubung tajuk wacana yang telah disampaikan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat itu. Sebagai ahli Pemuda UMNO akar umbi, saya sangat kecewa, jika demonstrasi jalanan sanggup Pemuda UMNO lakukan, maka mengapa dalam soal wacana ilmiah ini, kita jadi pengecut pula? Maafkan saya, saya tidak tahu di manakah silapnya, sehingga hari ini Khairy Jamaluddin masih membisu seribu bahasa berkenaan tajuk wacana yang telah dikemukakan oleh Pemuda PAS. Tiada penerangan dan tiada apa-apa kenyataan daripada Khairy. Bukankah selama ini beliau antara individu yang begitu gemar berdebat dan berhujah dengan sesiapa sahaja? Soalnya sekarang, mengapa Pemuda UMNO Malaysia di bawah beliau dengan secara tiba-tiba menjadi penakut dan pengecut, berhubung tajuk wacana yang telah dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS itu? Jika benar Khairy dan Pemuda UMNO Malaysia menyakini perjuangan UMNO yang selama ini mereka dukung tidak tersasar daripada Islam, maka sahut sahaja cabaran itu, bukankah lebih mudah? Saya benar-benar kecewa. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Saya fikir eloklah beliau meletakkan jawatan sahaja. Wallahulam.

Datuk Mukhriz di Facebook Malam Ini



DATUK MUKHRIZ
di FACEBOOK MALAM INI!



Pengumuman Penting : Datuk Mukhriz Mahathir akan berinteraksi dengan rakyat secara peribadi melalui Facebook beliau bermula jam 8 malam ini. Harapan kami, agar marilah sama-sama kita berdialog dan berkongsi idea dengan YB Datuk Mukhriz dalam pelbagai isu. Dan jangan lupa add juga Facebook saya di Muhammad Azli Shukri. Sama-sama kita berkongsi maklumat. InsyaAllah

August 7, 2009

Wanita Makin Tidak Selamat?


WANITA MAKIN TIDAK SELAMAT?


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) menerima 25 aduan daripada isteri yang mengalami pelbagai bentuk keganasan seksual daripada suami masing-masing, tahun lalu, dengan sekurang-kurang dua mangsa diliwat. Presiden WAO, Meera Samanther, berkata bagaimanapun kebanyakan isteri terbabit enggan membuat laporan polis, antara lain kerana masih dibelenggu perasaan keliru sama ada pihak suami sebenarnya berhak atau tidak untuk memperlakukan mereka sedemikian. Selain itu, beliau berkata, ada juga mangsa yang tiada atau kurang mempunyai pendedahan mengenai perlindungan undang-undang bagi isteri yang menjadi mangsa penderaan seksual suami, di samping faktor tidak mahu perkara memalukan dalam rumah tangga mereka diketahui umum.


Ulasan Saya :

Saya rasa sangat sedih dengan keadaan ini. Allah menganugerahkan kita seorang isteri adalah untuk kita melayaninya dengan baik. Kebanyakan lelaki yang kurang pendidikan agama dan selalu menonton video lucah sering menjadikan isteri mereka sebagai mangsa untuk diperlakukan sesuka hati. Malah, perbuatan meliwat isteri yang jelas haram itu pun sanggup mereka lakukan tanpa rasa berdosa. Sebab itulah, sebelum seseorang wanita ingin memilih calon suami, mereka harus memerhatikan terlebih dahulu latarpendidikan agama bakal suami mereka itu dengan teliti. InsyaAllah, dengan memilih suami yang benar-benar beriman, keganasan seks mungkin dapat dielakkan - tetapi itu bukan jaminan. Ada juga ustaz-ustaz yang ganas dan tidak berperikemanusiaan dalam hubungan seks mereka dengan isterinya, akibat terpengaruh dengan cerita lucah. Yang penting menurut hemat saya, bakal-bakal isteri harus mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan berkenaan hak-hak mereka dalam Islam dan perundangan negara, agar mereka kelak tidak mengikut hawa nafsu suami mereka yang melampaui batas sehingga sanggup "melayak" isteri mereka sesuka hati, seperti meliwat. Dalam hubungan seks suami isteri, Islam sudah mengaja etika dan adabnya, maka ikutlah cara Rasulullah. Kesimpulannya, dalam apa-apa juga perbuatan kita, Allah tidak menyukai orang yang melampaui batasan. Wallahualam.

Di Sini Jalan Berliku


Di Sini Jalan Berliku


SHAH ALAM 6 Ogos - Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid menyatakan sokongannya terhadap mana-mana pihak yang memperjuangkan larangan menjual arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di negeri ini. Beliau menegaskan, pendiriannya adalah jelas bahawa walau berapa peratus pun kandungan alkohol dalam minuman tersebut, ia tetap haram kepada orang Islam. ''Kenapa perlu dipersoal lagi kerana ia sudah termaktub dalam hukum Islam, minuman yang mengandungi walaupun setitik alkohol, haram diminum oleh orang Islam. ''Hukum ini tidak perlu disangkal lagi kerana yang haram tetap haram, ia tidak akan berubah sampai bila-bila," tegas beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Mohd. Tamyes menambah, larangan menjual arak di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam sudah lama dikuatkuasakan sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi, tetapi sehingga kini perbuatan itu masih belum ada penghujungnya. ''Sebab itu, saya bersetuju apabila pihak berkuasa tempatan dan JAIS diberi kuasa merampas arak di premis berlesen jika menjualnya di kawasan majoriti penduduk Islam," katanya. ''Tindakan menghalang perbuatan tersebut (menjual arak) seperti membuka 'ikatan tali yang diikat erat'," jelas beliau.


Ulasan Saya : Sudah jelas selama ini pun kerajaan BN/UMNO sudah menguatkuasakan larangan menjual arak di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Arak hanya dibenarkan dijual kepada orang bukan Islam, malangnya terdapat penyalahgunaan kuasa sehingga arak boleh terlepas untuk dijual dikawasan orang Melayu. Pada hemat saya, sudah tiba masanya pihak kerajaan mengambil langkah tegas dalam soal ini. Namun demikian, untuk menyalahkan pihak kerajaan semata-mata adalah tidak adil. Semua orang bertanggungjawab. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam hal ini. Menuduh kononnya kerana kerajaan mengeluarkan lesen arak adalah punca kepada segala masalah, adalah tidak benar. Sudah jelas, kerajaan mengeluarkan lesen arak hanya untuk golongan bukan Islam. Hal ini tidaklah bermaksud bahawa arak adalah halal. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dari semasa ke semasa memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tidak mengira agama berkenaan keharaman dan bahayanya arak kepada kesihatan manusia. Begitu juga dengan rokok. Sudah tiba masa ia dikurangkan pengeluarannya. Malah, tanaman tembakau juga harus dikurangkan. Kita sedia maklum orang yang merokok jauh lebih ramai daripada orang yang meminum arak di Malaysia, namun mudaratnya jelas hampir sama iaitu - mencampakkan diri ke arah kebinasaan. Rokok dan Arak adalah musuh utama rakyat Malaysia, selain daripada larangan menjual arak di kawasan orang Melayu, kita juga memohon agar syarat untuk mendapatkan lesen arak diperketatkan. Begitu juga dengan rokok. Saya lihat baik orang UMNO mahu pun orang PAS - merokok sudah menjadi satu santapan. Padahalnya, merokok juga adalah haram. Adalah tidak adil jika kita hanya meminta agar pihak kerajaan mengurangkan pengeluaran lesen arak semata-mata, sebaliknya semua jenama rokok mudah diperoleh di mana-mana sahaja. Kita harus faham, orang yang meminum arak akan bermula dan berjinak-jinak dengan rokok terlebih dahulu, dan orang yang meminum arak jarang sekali kita jumpa tidak merokok. Dan pengambilan ganja atau dadah, kebiasaannya bermula dengan merokok. Wallahualam.

August 6, 2009

Pemuda UMNO 2009 : Jangan Terikut Rentak Pembangkang


PEMUDA UMNO 2009
Jangan Ikut Rentak Pembangkang


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini melahirkan kesanggupan mereka untuk turun padang menyertai demonstrasi aman yang dianjurkan oleh Pemuda Pas Jumaat ini bagi mendesak Kerajaan Selangor menukar portfolio Exconya, Ronnie Liu. Bagaimanapun, menurut pergerakan itu, Pemuda UMNO hanya akan menyertai perhimpunan tersebut sekiranya Pas berjaya mendapat permit daripada polis untuk mengadakan demonstrasi aman tersebut. Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Pas akan menganjurkan demonstrasi itu di kawasan masjid pada Jumaat ini. "Kami Pemuda UMNO ingin bertanya kepada Pemuda Pas, di masjid mana akan diadakan demonstrasi itu pada pukul berapa? Adakah sudah mendapat permit? "Jika sudah mendapat permit, Pemuda UMNO bersedia untuk menyertai demonstrasi bersama Pas mendesak supaya Liu meletakkan jawatannya," katanya selepas mengiringi tiga persatuan peniaga membuat laporan polis terhadap Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) di Balai Polis Tun H.S Lee di sini hari ini. Pas Selangor semalam mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang oleh Liu berikutan beberapa masalah yang ditimbulkan oleh wakil rakyat DAP itu. Menurut Tengku Azman, dalam perkara ini, Pemuda Pas boleh berkerjasama dengan Pemuda UMNO untuk sama-sama melahirkan kemarahan terhadap tindakan Liu itu. "Kami yakin polis akan memberi permit untuk demonstrasi ini jika Pas gunakan saluran betul," katanya.


Ulasan Saya :


1. Saya tidak tahu apakah pandangan blogger yang lain dalam hal ini. Namun demikian, saya berpandangan bahawa dalam keadaan sekarang tidak perlu rasanya Pemuda UMNO menyertai demostrasi yang dianjurkan oleh PAS itu. Hal ini pasti akan menimbulkan beberapa implikasi.